Sunday, January 8, 2012

Barakahkah perolehan rakyat, negara?

*******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Sesungguhnya manusia diciptakan bersikap keluh kesah lagi bongkak. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah. Dan apabila dia mendapat kebaikan dia bongkak, kecuali orang yang mengerjakan solat. Yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya." (Surah al-Ma'arij, ayat 19-23)


********************
Kata orang, tahun baru semuanya baru; terkejut besar kita apabila barangan keperluan dapur melambung mendadak Januari ini. Misalnya, harga ikan meningkat tinggi sehingga ikan yang suatu ketika dulu digelar lauk orang miskin seperti selar mencecah RM19 sekilogram manakala kembung sehingga RM17 sekilogram, malahan ikan cencaru pun sudah meningkat sehingga RM10 sekilogram.

Malahan ada pengguna mengadu barangan keperluan seperti minyak masak hilang daripada pasaran. Mungkinkah minyak masak dengan harga RM2.50 sekilogram itu mula disorokkan dalam usaha peniaga menaikkan harganya? Mungkinkah gula dan tepung juga akan 'hilang' daripada pasaran?

Adakah kenaikan harga barangan keperluan ini mempunyai kaitan dengan peningkatan gaji kakitangan kerajaan termasuk pemberian bonus Disember lalu dan juga pemberian RM500 Bantuan Rakyat 1-Malaysia (BR1M) yang dikhabarkan diagihkan Januari ini? Dengan andaian wang di tangan orang ramai agak 'lebat', maka peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan keperluan terutama jenis penggunaan harian seperti ikan, ayam dan daging.

Memang benar pendapatan rakyat mungkin bertambah sedikit tetapi apakah berbaloi dengan kenaikan harga barangan keperluan yang terpaksa mereka tanggung? Apa yang berlaku sekarang, orang lebih gemar melihat kepada keadaan fizikal (mata kasar), misalnya peningkatan dalam perolehan tetapi tersangat jarang orang melihat dari segi kebarakahan pendapatan dan kehidupan mereka.

Dalam mengurus rumah tangga, orang tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.

Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula.

Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda.

Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara.

Jika negara kita mempunyai pendapatan dan kemasukan pelaburan berbilion-bilion ringgit (seperti sering dihebohkan pemimpin negara) ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya, kita boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh barakah atau tidak. Jika negara sendiri pengeluar minyak, tetapi petrol perlu dibeli dengan harga mahal oleh rakyat, apakah erti semua itu?

Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini? Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka?

Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat, harga minyak naik berterusan naik, kadar tol turut meningkat manakala kos perubatan tersangat tinggi?

Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa; maksiat seperti perzinaan dan buang anak makin parah manakala kemalangan jalan raya menjadi-jadi, di mana sebenar kedudukan negara kita, penuh keberkatan atau penuh kebatilan? Ini belum diambil kira kedudukan negeri-negeri yang dilaporkan muflis sana, muflis sini.

Oleh itu, marilah sama-sama kita jawab persoalan ini dengan jujur dan kemudian bertindak segera untuk membetulkan keadaan.

No comments: