***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)
***
SEJAK kecil, kehidupan saya diwarnai oleh kisah-kisah kehebatan Hang Tuah. Ini kerana rumah saya hampir dengan sebuah perigi lama yang diberi status Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong, Melaka. Orang-orang tua di persekitaran hidup saya, menceritakan kehebatan pahlawan ini. Percaya atau tidak, antara acara hari raya saya dan beberapa rakan pada zaman kanak-kanak kami dulu ialah melawat Perigi Hang Tuah. Terkini, sebuah masjid di Kampung Duyong yang dulu hanya dikenali sebagai Masjid Jamek Kampung Duyong sudah bertukar nama kepada Masjid Laksamana Hang Tuah (sejak Januari 2010).
Baru-baru ini ketika meronda kawasan sekitar Sungai Duyong berhampiran Perigi Hang Tuah, terlihat saya sebuah kawasan luas diratakan dan dikepung untuk didirikan Perkampungan Hang Tuah. Semua ini membawa maksud pelbagai tempat dan binaan seperti Perigi Hang Tuah, Makam Hang Tuah, Masjid Laksamana Hang Tuah dan Perkampungan Hang Tuah adalah penemuan baru (oleh orang dan pemerintah zaman ini) bagi memanjangkan kisah dan kewujudan pahlawan itu sedangkan pada zaman penjajah dulu, perkara seperti ini tidak diangkat pemerintah manakala orang awam tidak ada kesempatan memikirkan projek seumpama ini kerana masing-masing sibuk mencari sesuap nasi bagi memenuhi keperluan masing-masing. Almaklumlah, orang Melayu kampung pada zaman penjajahan dulu, begitu susah kehidupan mereka.
Kini kewujudan atau tidak Hang Tuah lima bersaudara (sahabat lain Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi) serta mereka yang berpangkal nama Hang seperti Hang Li Po, kembali menjadi perbahasan utama tokoh sejarah dan cendekiawan termasuklah penafian kewujudan mereka oleh sejarawan tersohor tanah air, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim. Pendapat Khoo disanggah cendekiawan lain termasuklah oleh Presiden Persatuan Arkeologis Malaysia, Prof Emeritus Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang antara lain menyebut: "Saya percaya bahawa dia (Hang Tuah) wujud tetapi kita tidak pasti eranya..."
Kita amat-amati apa yang diperkatakan oleh Dr Nik Hassan; "Saya percaya..." Ini membawa maksud beliau percaya kepada kewujudan Hang Tuah tetapi bagi orang lain, tidaklah menjadi kesalahan untuk percaya atau tidak. Orang yang hendak percaya boleh saja; mereka yang tidak hendak percaya pun tidak menjadi kesalahan. Jadi, seperti jawapan yang saya berikan kepada seorang pemuda yang beriya-iya bertanya pada saya di beranda sebuah masjid baru-baru ini sama ada Hang Tuah wujud atau tidak (Celoteh, Harakah 6-8 Januari 2012 dengan tajuk 'PAS perlu pasukan boleh menang di Melaka'), 'percaya atau tidak kepada kewujudan Hang Tuah tidak penting, yang penting percaya dan yakin kepada Allah SWT'; saya berdoa dan berharap sebuah kerajaan yang menjalankan segenap undang-undang Islam dapat ditegakkan di bumi yang didakwa pernah menyaksikan kehebatan Hang Tuah ini.
Dengan hasrat membuak-buak dan keyakinan ini, sekali lagi kita menyentuh perjuangan parti Islam, PAS di bumi Melaka. Artikel-artikel saya mengenai peluang PAS pada pilihan raya mendapat sambutan pembaca, kali ini disiarkan satu lagi pandangan yang diharapkan dapat membantu merealisasikan kembalinya daulah Islam termasuk undang-undangnya di bumi Hang Tuah ini. Jadi kepada pejuang, jangan diperhabis tenaga untuk membahas kewujudan Hang Tuah, sebaliknya bersemangatlah untuk menegakkan hukum Islam di bumi tercinta ini. Ikutilah pandangan pembaca K ini:
"Saya ini orang Melaka tetapi telah lebih 10 tahun merantau ke Johor. Saya ini orang kampung dan dibesarkan dalam keluarga yang menyokong PAS. Usrah, ceramah agama, ceramah politik, usrah mingguan semuanya ibu-bapa saya bawa walaupun ketika saya masih kecil. Bayangkan dalam satu kampung hanya kami yang menyokong PAS. Orang lain semua sungguh pekat biru BN-nya. Pada pendapat saya memang payah hendak mendekati orang-orang Melaka yang menyokong Umno. Mereka tersangatlah taksub dengan Umno.
"Ini kerana pertama, mereka agak jahil (kurang ilmu) dan kedua mereka kurang roh Islam dalam jiwa mereka. Orang Melaka memang peramah tetapi mereka terus dibodohkan dan dikhayalkan oleh Umno. Yang kita boleh berharap sekarang anak-muda yang telah sedar dan mendapat maklumat yang betul daripada media baru agar membuat pencerahan kepada ibu-bapa mereka.
"Ceramah PAS harus diadakan selalu. Orang PAS juga haru melupakan semangat berpuak-puak mereka untuk memajukan PAS Melaka. Ikhlaskan hati dan teguhkan jiwa. Jaga akhlak. Mesrakan diri dengan masyarakat sekeliling. Selebihnya kita bertawakallah pada Allah. Orang-orang Cina telah beralih undi, apa nak jadi dengan orang Melayu. Mahu tak mahu jika Pakatan Rakyat menang, orang Cina yang akan memegang jawatan Ketua Menteri. Tapi sebenarnya saya tak kisah KM Melaka di pegang oleh orang Cina. Selagi dia benar dan adil. Apa-apalah, Asalkan bukan Umno, ABU!ABU! ABU!"
1 comment:
Salam..maafkan saya jika saya bersikap skeptikal selama ini terhadap orang-orang di Selatan semenanjung Malaysia, terutamanya Melaka dan Johor (sehingga terbawa-bawa dalam urusan perkahwinan dan pilihan jodoh)..semoga perjuangan Islam yang dibawa PAS diberikan kemenangan oleh Allah swt
Post a Comment