Tuesday, January 24, 2012

Perkhidmatan bas henti-henti di Melaka kronik...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SUDAH puluhan tahun saya tidak menaiki bas berhenti-henti di Melaka. Almaklumlah sudah 'kaya' (kata seorang saudara); sudah ada kereta dan motosikal sendiri. Namun sebagai seorang bekas pengguna bas henti-henti yang memahami suka duka penumpang bas awam, sekarang ini hati saya bagaikan 'luruh' melihatkan datuk, nenek, makcik, pakcik dan anak-anak muda dan kecil menunggu berjam-jam dalam keadaan panas terik atau hujan di tepi jalan; bas yang ditunggu bagai tak kunjung tiba.

Suatu pagi terpandang saya seorang ibu dan seorang kanak-kanak, agak saya berusia 12 tahun berjalan kaki mendaki bukit dari persimpangan jalan dekat Kota Cemerlang menuju ke kompleks bangunan kerajaan di Ayer Keroh, mungkin untuk membuat kad pengenalan si anak. Aduh, terpaksalah mereka meredah panas, berjalan hampir setengah kilometer untuk ke pejabat berkenaan. Mungkin bas yang mereka naiki tiada perkhidmatan ke kompleks berkenaan, jadi terpaksalah mereka berhenti di jalan besar, seterusnya berjalan kaki. Disebabkan saya memandu kereta bertentangan perjalanan, tidaklah saya dapat menumpangkan mereka.

Benar, sebahagian besar pengguna bas awam di Melaka sekarang ini mengalami masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak dapatkan bas sekarang ini." Menunggu satu dua jam di tepi jalan adalah perkara biasa kerana kekerapan perjalanan bas dikurangkan. Seorang pemandu bas berkata, hal itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak pengusaha bas akan mengalami kerugian besar.

Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak menguntungkan. Namun bukan semua orang ada kenderaan sendiri; mereka terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas. Di seluruh Melaka, dilaporkan ada 30,000 pengguna tetap bas awam. Merekalah golongan teraniaya apabila perkhidmatan bas lembap atau tiada langsung.

Pengusaha juga tidak boleh dipersalahkan kerana mereka mendakwa mengalami kerugian demi kerugian setiap hari. Tidaklah saya pasti dakwaan ini benar atau tidak, tetapi berdasarkan keadaan puluhan bas henti-henti yang buruk dan uzur yang dipakir di Melaka Sentral, tidaklah dapat saya menolak dakwaan mereka itu.

Jika seseorang ke Melaka Sentral, akan terlihatlah keadaan yang bagai 'pinang dibelah kapak'. Di bahagian bas antara bandar (ekspres) dipakir puluhan bas daripada model terbaharu termasuk bas dua tingkat tetapi di bahagian bas tempatan, hampir 100 peratus basnya daripada model lama, buruk dan uzur malah salah satu daripadanya (milik Town Bus) hangus terbakar ketika dalam perjalanan di Lebuh AMJ baru-baru ini.

Selain daripada kira-kira 10 pengusaha bas swasta, di Melaka ada perkhidmatan bas kerajaan negeri (bas Panorama yang dikendalikan oleh sayap pelaburannya, Panorama Melaka Cultural and Tourism Sdn Bhd, PMCT) yang menjalankan perkhidmatan di bandar raya Melaka dan kawasan sekitarnya yang dilihat memberi persaingan kepada pengusaha bas kerana dakwa mereka bas-bas Panomara melalui laluan menguntungkan.

Disebabkan kerugian berterusan yang terpaksa ditanggung, pengusaha bas swasta memberi tempoh sehingga 31 Disember lalu kepada kerajaan negeri agar memberi bantuan kepada mereka tetapi hal itu gagal dilaksanakan menyebabkan Persatuan Pengusaha Bas Berhenti-Henti Melaka yang diterajui Razali Endun mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan bas berhenti-henti di Melaka mulai 1 Februari ini.

Ini satu berita yang amat mengusarkan puluhan ribu pengguna bas awam Melaka. Sekalipun kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam berjanji akan membayar pampasan RM7.2 juta kepada pengusaha bas berhenti-henti Melaka dan pekerjanya, tetapi ia tidak sedikit pun akan mengurangkan masalah pengguna bas awam Melaka.

Pengguna bas berhenti-henti Melaka akan 'terus setia' menunggu di tepi jalan raya; menunggu bas yang tak kunjung tiba, jadi di manakah kebenaran cakap berapi-rapi PM Najib Razak kononnya apabila "BN memerintah, semua masalah selesai" seperti dilaungkannya di Selangor baru-baru ini?

No comments: