***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
***
Berikut disiarkan tulisan Ruzian Syukur Mansor yang terkandung dalam blog http://akademipenulisbebas.wordpress.com.
***
Untuk maklumat pembaca, buku 'Travelog Wartawan Islam' adalah 'penjelmaan segar' daripada buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam'. Penerbit yang mendapati buku tulisan, terbitan serta edaran penulis yang dilakukan secara 'solo' menghadapi masa depan 'suram' bertindak 'menyegarkannya' termasuklah dari segi penwajahan dan publisiti. - LanH
***
Ikhlas dan pengakuan yang jujur.
Itulah kesimpulan terbaik setelah membaca buku Travelog Wartawan Islam bingkisan Roslan Hamid. Beliau dahulunya berkhidmat dengan akhbar harian tersohor Malaya. Sempat berguru dan dibimbing oleh wartawan dan editor senior. Sempat juga beliau menduduki kerusi panas di bahagian editorial dan berpengalaman luas di dalam dunia kewartawanan.
Pengakuannya sangat jelas dan ikhlas. Saya juga terkedu. Adakalanya unsur baik dan buruk bercampur gaul di dalam dunia kewartawanan dan penerbitan. Artikel agama tentang aurat tetapi helaian lainnya memaparkan juga aksi artis bagaikan tidak cukup kain. Lantas! Kontra jadinya! Itu antara yang disebutkan saudara LanH di dalam catatan travelognya.
Jarang sekali seorang wartawan mengakui akan pelbagai sisi kehidupan kerjayanya. Memanglah kerana hidupnya seorang wartawan masanya untuk menulis, membaca malah mungkin mengejar berita. Mana ada masa untuk memikirkan tentang perihal yang lain. Minat mesti ada. Kalau tidak cari saja kerja yang lain. Tetapi di mata saudara LanH ada aspek etika yang harus difikirkan.
Maaf, bukan memperlekehkan kerjaya wartawan. Jasa mereka melaporkan berita sangat memberi manfaat yang sangat banyak. Terbaru di Somalia, nyawa wartawan kita bagaikan diancam peluru tanpa mata.
Saya pun sempat dilatih bagaikan seorang wartawan media. Deadline. Hantar artikel tepat pada masanya atau bye...bye. Dunia penulisan apatah lagi di syarikat akhbar dan majalah menamakan ia sebagai KOMITMEN. Tanpanya, berita atau artikel tidak dapat menemui pembaca tepat pada masanya. Itu sebabnya, isu sesuatu majalah bulanan ditulis 2-3 bulan daripada tempoh isu bulan sebenar. Isu hari guru mungkin sudah ditulis pada bulan Mac.
Bukan saya sahaja. Seorang teman penulis bebas merungut kerana dikejar oleh editor majalah. Beliau mendapat kolum motivasi di dalam sebuah majalah akademik remaja. Tetapi masih tetap hanya diberi 2-3 hari sebagai deadline menghasilkan artikel.
“Itu biasa sheikh. Itu harga saham yang harus dibayar apabila sudah memasuki gelanggan media,” kataku menambah sengat.
Apapun, tulisan tajam berdasarkan pemerhatian adalah senjata menyengat penulis buku Travelog Wartawan Islam ini. Saudara LanH menjadikan pengalaman berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap hari untuk dijadikan bahan tulisan. Ya, penulis yang tajam akalnya harus menjadikan apa juga yang dilihat sebagai ‘modal’ penulisan.
Ragam manusia di dalam bas, serta ragam manusia yang ditemuinya dari rumahnya ke tempat kerja pantas pula disusun dan ditambah dengan sumber ilmu sesuai dengan latar belakangnya sebagai wartawan.
Saya mahu jadi seperti saudara LanH. Mempunyai catatan travelog penulisan. Tetapi apa yang saya kumpul adalah cebisan travelog penulis bebas. Bila terbit? Belum masak lagi untuk diterbitkan. Insya-Allah suatu hari nanti, apabila sudah diterbitkan saya maklumkan di muka buku...Facebook.
Insya-Allah..Travelog penulis bebas di dalam pembikinan. Tiada niat ingin bersaing tetapi niat untuk meninggalkan legasi penulisan untuk tatapan akan dan cucu
Ruzain Syukur Mansor
No comments:
Post a Comment