Monday, September 12, 2011

Giliranku menunaikan haji 2028!

******************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ******************** Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim) ******************** KEBANJIRAN buku dengan topik khusus di sesetengah kedai buku adalah mengikut musim. Ramadan lalu, begitu banyak buku mengenai fadilat Ramadan dilambakkan. Kini musim haji datang lagi; maka buku mengenai haji pula memenuhi bahagian depan kedai, almaklumlah bagi menarik minat pembaca dan pembeli. ************************ Bercakap mengenai haji, baru-baru ini saya terjumpa slip pendaftaran haji yang telah buat pada tahun 2009 lalu. Giliran yang diberi bagi saya menunaikan haji adalah pada tahun 2028, ertinya ketika saya berusia 66 tahun! Punyalah lama saya perlu menunggu iaitu 17 tahun lagi. Entah hidup entah sudah jadi allahyarham pada masa itu; namun istiqamahlah kita berdoa akan dipanjangkan umur dan diberkahi kehidupan. Namun syukurlah kerana sebenarnya saya sudah dua kali menunaikan haji, yang dijadualkan pada 2028 itu adalah pemergian haji untuk kali ketiga, insya-Allah. *********************** Namun simpati juga saya kepada saudara dan rakan yang begitu teruja menunaikan haji pada masa terdekat ini, namun gagal berbuat demikian; salah satu faktornya mereka lambat mendaftarkan nama di pejabat Tabung Haji; bayangkan mereka yang mendaftar pada tahun 2009 gilirannya pada 2028 (seperti saya). Berdasarkan perbualan saya dengan teman-teman dan saudara-mara, ada di kalangan mereka tersilap perkiraan kerana berpendapat dengan membuka akuan simpanan di Tabung Haji mereka sudah didaftarkan untuk menunaikan haji, sebenarnya itu satu kesilapan besar yang akan membawa kekecewaan apabila mereka mahu menunaikan haji dalam masa terdekat. *********************** Pendaftaran bagi menunaikan haji perlu dilakukan khusus bagi tujuan itu dan apabila ini dilakukan wang simpanan kita sebanyak RM1,300 dalam buku akaun tidak boleh 'diusik' lagi. Itulah jumlah minimum bagi pendaftaran menunaikan haji. Jika membuat pendaftaran sekarang, mungkin giliran menunaikan haji anda adalah pada 2030 nanti! ************************* Berceloteh mengenai haji termasuk pengalaman di Tanah Suci (Makkah dan Madinah), saya begitu teruja menyaksikan siaran langsung solat tawarih dari Masjidilharam di kaca TV pada dinihari Ramadan lalu. Jika ada insan mampu beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, bagi saya yang bagaikan menepati pantun 'buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya ini budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan' dalam bab agama ini, mencuri sedikit kesedapan tidur bagi menghayati siaran solat itu sudah cukup bermakna. *********************** Suasana di Masjidilharam yang penuh sesak dengan jemaah bersolat dan ada kalanya siaran difokuskan kepada wajah seorang insan yang bercucuran air matanya menghayati bacaan al-Quran penuh bertenaga oleh imam, membuatkan hati ini terus tersayat, menangis dan merintih. Lalu datanglah kekuatan diri, lantas bergeraklah kaki untuk ke bilik air, mengambil wuduk seterusnya bersembahyang malam sendirian. **************************** Antara malam-malam itu, mengharapkan kedatangan Lailaturqadar. Dan seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada ditemui sebarang kelainan pada malam-malam terakhir Ramadan itu (seperti kata orang, pokok seolah-olah bersujud, malam bersinar terang dan air laut tidak masin) bagi membolehkan hati ini mengesyakinya malam qadar. Sedarlah akan hakikat diri ini, tidak sekelumit pun layak menerima anugerah hebat-hebat itu; hanya mereka yang bertaraf wali atau yang hampir pada-Nya dianugerahi kelebihan berkenaan. ****************************** Manusia yang banyak dosa dan berhati busuk seperti diri ini perlu terus disental segala daki-daki yang sudah melekap di hati. Jika tingkatan nafsu masih berada di peringkat amarah atau setingkat lebih atas daripada itu (seperti lawamah), masih banyak pembersihan perlu dilakukan; bukan mudah untuk mencapai tingkatan mutmainah yang memberi harapan kepada sesorang hamba untuk menuju ke jannnah (syurga)-Nya. **************************** Ada satu peristiwa pada subuh 27 Ramadan yang mengingatkan bahawa hati saya sebenarnya masih jahat, masih perlu diberus dan diberus lagi. Selepas sahur saya bergegas ke masjid untuk solat subuh. Untuk segera sampai ke masjid, saya memandu kereta mengikut arah berlawanan arus trafik sejauh 200 meter (jika tidak terpaksa membuat pusingan U sejauh satu kilometer) sebelum sampai ke sebuah persimpangan lampu berisyarat. Saya sedar perbuatan saya itu salah, berdosa kerana membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Tapi saya buat juga. Itu namanya bernafsu amarah namanya. Nafsu tingkatan terendah masih menguasai diri walaupun berada di bulan Ramadan yang mulia. ********************************* Sejurus sebelum sampai di persimpangan itu, saya perasaan ada seekor ayam jantan yang kelihatan cedera, 'menghalang' laluan kereta saya. Saya berfikir sejenak untuk bertindak. Saya mengundur kereta, mengelak daripada melanggar ayam itu dan terus burrr, memecut laju ke masjid. Di masjid, barulah saya berfikir, betulkah perbuatan saya itu? Sepatutnya saya turun daripada kereta, menangkap ayam itu dan membawanya ke tempat selamat bagi mengelakkannya digilis oleh kenderaan lain. ******************************** Saya rasa tidak sedap hati. Benarkah yang saya lihat dalam suasana samar-samar itu 'ayam jantan'. Mungkinkah ia 'jelmaan malaikat' pada 27 Ramadan bagi menguji hati saya - sama ada busuk atau tidak? Selepas solat, saya bergegas ke tempat kejadian. 'Ayam' itu malah bekasnya tidak ada sama sekali. Terasa seram sejuk tubuh ini; tersedarlah saya bahawa diri ini tidaklah baik seperti yang disangka. Terlalu banyak yang perlu dikoreksi!

2 comments:

Zul Salleh said...

Saya pi daftar anak-anak saya (5 orang) hari isnin 5/9/2011 lalu ...dapat giliran ke Tanah Suci,Insha Allah tahun 2041 (30 tahun lagi laaaa)(Terfikir gak RM1300 x 5 = RM6500 tu akan tersimpan selama 30 tahun dalam Tabung Haji tanpa gangguan - banyak ooo untung kat Tabung Haji)

Lanh Sr. said...

assalamualaikum sdr zul, waduh sudah 2041, anak saya tiga lagi belum daftar, agaknya kalau daftar lagi lewat 2050, lagi waduh