Thursday, September 15, 2011
11 September: Apa khabar Nakbibi, Naim?
*************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************Renungan
*****************Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan." "Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)
***********************
TANGGAL 11 September 2001, Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York diserang dan dimusnahkan menyebabkan hampir 3,000 maut. Tanggal 11 September 2011, Presiden Barack Obama dan isteri serta bekas Presiden George W Bush dan isteri melawat tapak bangunan itu (Ground Zero) dalam satu majlis khas, dengan Obama membacakan ayat 46 Psalm, yang bererti: "Tuhan adalah tempat berlindung dan kekuatan kami." Serangan ke atas WTC menyebabkan Osama ben Laden dan rangkaian al-Qaeda menjadi sasaran.
**************************Diberitakan Osama bersembunyi di Afghanistan, maka perburuan Amerika pimpinan Bush laknatullah menyaksikan bumi Afghanistan yang serba daif yang ketika itu dikuasai Taliban pimpinan Mullah Omar menjadi medan serangan sofistikated armada perang Amerika. Tentunya tidak setara antara pasukan penyerang dan yang diserang. Jika ribuan mati akibat serangan ke atas WTC, puluhan ribu pula direkodkan mati di Afghanistan. Jutaan orang pula menjadi pelarian, sebahagian besarnya ke Pakistan, negara jiran. Antara kawasan tumpuan pelarian adalah Peshawar, sebuah bandar di wilayah barat laut Pakistan.
***************************
Antara kem pelarian terbesar di sini adalah Jalozai yang terletak 50 kilometer dari sempadan Afghanistan-Pakistan. Kem ini menjadi tumpuan pasukan bantuan pasukan perubatan PAS sejak November 2001. Pasukan ini dihantar secara bergilir-gilir, dan sebagai wartawan saya menyertai kumpulan pertama yang diketuai oleh Dr Hatta Ramli. Turut serta adalah Allahyarham Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali. Di kem inilah saya menyelami nasib anak-anak yang ditempatkan di situ.
*****************************
Saya berkenalan dengan Nakbibi Muhammad Rashid yang ketika itu berusia 7 tahun. Wajahnya bersih dan dia bercita-cita menjadi ustazah. Kini 10 tahun sudah berlalu; jika Nakbibi masih hidup, agaknya kini dia gadis sunti mekar mengharum dalam usia 17 tahun. Apakah Nakbibi sudah hampir kepada cita-cita nya, kini mendoakannya ke arah itu. Saya turut berkenalan dengan Abdul Naim Ibrahim, ketika itu berusia 6 tahun. Dia pula bercita-cita menjadi guru. Sepuluh tahun sudah berlalu, agaknya Abdul Naim sudah jadi remaja tampan. Tentunya dia diharapkan dapat menjadi pejuang bangsa dan agama dalam memartabatkan kembali umat Islam Afghanistan yang sejak berabad-abad lalu menjadi percaturan dan mainan kuasa penjajah Barat termasuklah British, Rusia, Soviet komunis dan kini Amerika.
*************************
Nakbibi dan Abdul Naim 10 tahun lalu adalah antara kira-kira 200 murid Al Khidmat Hamzah School, Jalozai; sebuah sekolah dasar yang berlantaikan tanah dan beratapkan langit. Kehidupan anak-anak ini dan keluarga mereka begitu daif sekali. Jika sekolah mereka berbumbungkan langit, kediaman (khemah) mereka hanya 'beratapkan' kanvas dan plastik. Untuk makan dan minum pun mereka tak pasti apatah lagi untuk bercerita tentang hari esok kecualilah seorang dua seperti Nakbibi dan Abdul Naim yang memberitahu mereka mahu menjadi pendidik.
**************************
Itulah nasib malang pelarian Afghanistan; sebahagian masalah mereka disebabkan gila kuasa negara besar dan pemimpin gila seperti Bush. Dunia Barat dan warganya bercerita sedih mengenai kematian dan kesengsaraan dialami mereka (seperti 3,000 orang yang mati dalam serangan WTC), tetapi tidak ramai peduli akan keganasan rejim pemerintah mereka yang menyebabkan puluhan ribu mati dan jutaan sengsara di negara seberang lautan.
**********************Hanya segelintir mengambil peduli derita warga Iraq dan Afghanistan yang dijarah sepuas-puasnya oleh Amerika. Merekalah insan prihatin; mereka tidak melihat penderitaan di Amerika saja, tetapi ke atas seluruh penghuni dunia. Jika Amerika bersedih di atas kehancuran WTC dan kesengsaraan rakyatnya, apakah ia tidak perlu bersedih terhadap jenayahnya ke atas insan malang seperti Nakbibi dan Abdul Naim?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment