***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***
Renungan
Keutamaan beriktikaf di dalam masjid
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kerahiban umatku adalah duduk-duduk dalam masjid."
Keterangan
Fahamilah bahawa duduk-duduk itu boleh dimaksudkan sebagai iktikaf. Bagi orang mukmin, tempat paling utama untuk beruzlah ialah di dalam masjid. Bukannya beruzlah di gua-gua batu atau di pondok-pondok di tengah hutan dan sebagainya. - Hidayah
***
SYAWAL sudah berakhir, jadi saya berpendapat polemik sambut Hari Raya sebulan seperti yang saya coretkan sebelum ini tidak lagi relevan, tetapi reaksi pembaca menggalakkan.
Seorang pembaca menulis: "Saya amat bersetuju dengan jawapan ustaz tersebut (dalam 'posting' saya yang lalu) raya hanya sehari sahaja sebab itu pada Hari Raya Aidilfitri, kita takbir lepas maghrib sehingga sebelum sembahyang raya manakala Raya Aidiladha pula kita bertakbir pada 10,11,12 dan 13 Zulhijah. Ini dikatakan ibadat khusus, berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Selepas 1 Syawal, kita disuruh berpuasa sunat enam hari pula, apa yang tersirat dalam suruhan puasa itu, apabila kita berpuasa kita boleh kawal diri kita daripada makan dan minum yang berlebih-lebihan.
"Rumah terbuka tiada kaitan dengan hari raya , cuma adat kita di Malaysia bagi orang berwang, kalau kita imbau kembali tahun 1970-an, 80-an dan 90-an, rasa-rasa saya tiada rumah terbuka ini. Cuma rumah kaum keluarga dan sanak saudara sentiasa terbuka untuk kita berkunjung. Wassalam."
Pada malam Isnin (25 September), saya menghadiri satu majlis kuliah di masjid, ustaz yang bertazkirah menyatakan sebenarnya ada lima hari raya yang perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan istikamah oleh setiap Muslim. Inilah hari raya yang sebenarnya, katanya, menyebabkan sesetengah jemaah seperti saya ternanti-nanti butir-butir mutiara dari mulutnya.
Katanya, kita boleh berhari raya apabila berakhirnya sesuatu hari itu dengan tidak melakukan sebarang dosa pun - sama ada dosa kecil dan besar.
Fikir saya, sebagai insan biasa tentunya ini mustahil kerana semua orang berdosa kecuali Nabi saja yang maksum. Jadi tidaklah dapat kita berhari raya, tetapi teruslah berusaha, jika tidak hari ini, esok, lusa, tulat sehinggalah kematian menjemput diri.
Kedua, katanya, kita boleh berhari raya jika kita menghembuskan nafas terakhir kita sebagai orang beriman, pendeknya mati dalam husnul khatimah. Inilah hari raya paling gemilang saat kita meninggalkan dunia fana ini buat selama-lamanya.
Ketiga, kita boleh berhari raya jika kita selamat melintas titian akhirat, siratal mustakim. Orang mukmin, sebelum melintas titian ini, insya-Allah akan berpeluang minum air daripada telaga Khausar Nabi, katanya.
Keempat, hari raya seterusnya apabila kita berjaya menjejakkan kaki di syurga, katanya.
Dan kelima katanya, hari raya terhebat adalah apabila Allah SWT mengizinkan kita sebagai hamba-Nya melihat wajah dan zat Yang Maha Kuasa.
"Jadi berusaha keras dan berdoa bersungguh-sungguhlah bagi mendapatkan hari-hari raya ini," kata ustaz berkenaan.
No comments:
Post a Comment