Tuesday, August 11, 2009

Petunjuk di Mina, kesengsaraan di Xinjiang

Ibadah haji memerlukan pengorbanan dan kesabaran tinggi. Misalnya ketika berada di dalam khemah di Mina selama tiga hari tiga malam, ribuan jemaah terpaksa berkongsi tandas dan bilik air. Pada hampir setiap masa (kecuali dinihari), ada barisan panjang jemaah menunggu giliran; jadi berlakulah pelbagai kejadian, ada melucu dan ada menyakitkan hati. Hanya sabar dapat menenangkan diri.

Ada jemaah berlakon menunjukkan dia sudah tidak tahan lagi, lalu terus berlari ke depan, mempamerkan muka ‘seposen’, ada pura-pura bersembang dan kemudian masuk barisan, dan apa pula mengambil masa terlalu lama dalam tandas sehingga mereka di luar menjerit dan menggoncang pintu tandas.

Semasa beratur, menunggu giliran memasuki tandas di Mina ketika saya menunaikan haji pada 1426 Hijrah (2005) saya perhatian, beberapa jemaah lelaki dari negara China menyelusup menyertai barisan. Khemah dan tandas di situ adalah untuk kegunaan jemaah Tabung Haji Malaysia, tetapi saya berpendapat tidak salah membenarkan jemaah China yang sudah terdesak menggunakannya.

Bagaimanapun nasib malang menimpa jemaah itu apabila ada jemaah Malaysia yang berbaris panjang, menjerit-jerit, meminta mereka meninggalkan tempat itu. Jemaah China mengangkat tangan, tanda memohon izin tetapi jemaah Malaysia tidak mempedulikannya, mereka mendesak jemaah China beredar.

Maka terpaksalah mereka pergi, saya berasa kasihan kepada mereka yang tidak mendapat simpati langsung sesama jemaah. Memang secara zahirnya jemaah haji China dilihat agak daif di Makkah; pemergian mereka ke Tanah Suci dengar khabarnya terpaksa melalui proses amat ketat; daripada kira-kira 50 juta umat Islam di sana hanya segelintir berupaya menunaikan rukun Islam kelima.

Di Tanah Suci, penulis berpeluang berinteraksi dengan sejumlah jemaah China, tetapi tiada apa dapat dibualkan. Seorang cakap bahasa itik, seorang bahasa ayam. Apa yang mampu saya ucapkan: “China? Good, Good,” sambil menunjukkan isyarat jari tanda bagus sambil menepuk-nepuk bahunya.

Si jemaah China mengangguk-angguk kepala sambil tangannya dirapatkan ke dada. Saya perhatian kebanyakan jemaah dari China tua-tua belaka, tidak pernah saya ketemui yang muda, manalah tahu golongan muda ini dapat berbahasa Inggeris, bolehlah saya bertanya khabar.

Kini Muslim China, khususnya orang Uighur yang mendiami Xinjiang dilaporkan ditekan pemerintah. Orang Uighur dikatakan mempunyai persamaan keturunan dengan orang Afghan, tetapi ada juga yang menyatakan mereka berketurunan Turki dan itulah sebabnya sesetengah pihak mendakwa mereka berjuang bagi mewujudkan sebuah negara merdeka bernama Turkestan Timur.

Penulis yang pada tahun 1992 dulu berpeluang ke beberapa negara bekas republik Soviet Union di Asia Tengah yang bersempadanan atau berhampiran dengan China iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turmenistan; menyedari bahawa penduduk rantau ini condong kepada Turki dan ada mendakwa mereka berketurunan Turki.

Rantau Asia Tengah di mana terletak Laluan Sutera menyaksikan penduduknya memeluk Islam sejak ekspedisi Saad Ibnu Waqas ke negara China pada abad ke-7. Orang Turkmen, Kyrgyz, Uzbek, Kazakh, Tajik dan Uighur, Tatar adalah penganut Islam yang taat di rantau Asia Tengah yang menyaksikan kuasa besar silih berganti sehinggalah wilayah itu dikuasai gergasi dunia Soviet Union dan China.

Soviet meletakkan orang Islam Turkmen, Kyrgyz dan sebagainya di bawah kekuasaannya manakala orang Uighur tertakluk di bawah China melalui Parti Komunis pimpinan Mao Zedong pada 1949. Komunis China berusaha mengasingkan umat Islam berdasarkan latar belakang etnik dan bukan agama, menyebabkan orang Islam begitu tertekan termasuk tidak dapat mengamalkan ajarannya seperti solat, apatah lagi haji.

Sepanjang Revolusi Budaya, identiti umat Islam semakin terhakis berikutan serangan bertalu-talu kerajaan komunis China. Sama seperti di bawah kuasa Soviet Union yang menekan Muslim Kazakh, Tatar, Uzbek dan sebagainya, pemerintah China bertindak serupa. Di Soviet Union, republik yang bermajoritikan orang Islam seperti di Uzbekistan, masjid ditutup atau dijadikan setor; demikian juga halnya di republik yang bermajoritikan orang Islam di China seperti Xinjiang.

Berdasarkan satu statistik lama (1936), jumlah penduduk Islam di China dinyatakan hampir 50 juta tetapi kerajaan komunis China kemudian menyatakan jumlahnya antara 10-20 juta orang. Persoalannya, mana pergi 30-40 juta penduduk Muslim itu? Perkara yang amat memeranjatkan ini tidak pernah dijelaskan oleh kerajaan komunis China dan Kuomintang.

Orang Islam China menghadapi tekanan demi tekanan seperti orang Islam minoriti di negara bukan Islam lain seperti Myanmar (Burma), selatan Thailand, selatan Filipina, Kashmir (India), tetapi apakah yang telah dilakukan oleh saudara seagama terutama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang memayungi mereka?

OIC dari sehari ke sehari semakin lemah, dan dalam kes terbaru di Xinjiang, tiada langsung kenyataan dikeluarkan oleh pertubuhan 47 negara Islam ini. Dulu semasa krisis di Bosnia (1992-1995) ada dikeluarkan kenyataan menyelar; tetapi kini sepi tanpa sebarang berita.

Dulu pada persidangan kemuncak OIC dan juga mesyuarat tergempar, ada dibincangkan krisis Palestin, Kashmir dan selatan Filipina; tetapi hari ini apabila umat Islam dizalimi di selatan Thailand, di selatan Filipina, di Myanmar dan di Xinjiang (China), OIC membisu manakala umat Islam keseluruhannya masih dalam mimpi.

Sama seperti apa yang penulis saksikan di Mina di mana jemaah dari China dihalau; demikianlah yang berlaku kepada umat Islam seluruh dunia hari ini. Derita umat Islam China, Myanmar (kaum Rohingya), Chechnya, Kashmir dan sebagainya bukan masalah mereka, jadi untuk apa mereka mengambil tahu, apatah lagi melakukan sesuatu. Itulah nasib ummah hari, masing-masing membawa hal sendiri, menepati peribahasa bagai enau melepaskan pucuk masing-masing!

1 comment:

mr edz said...

OIC sama dengan oh i see.. hanya mampu melihat.. rasullullah pernah bersabda tentang hal ini..