Wednesday, January 4, 2023

Jamadilakhir 11, 1444: Bayar dulu, makan kemudian... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila Rasul menyerumu kepada suatu yang memberikan kehidupan kepadamu. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT membatasi di antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan." (Al-Anfal 24)


KEHIDUPAN akan bertambah ceria jika sesekali disulami seloroh. Hal yang sama tidak terkecuali di kalangan jemaah haji dan umrah.


Walaupun kebanyakan jemaah serius, bersungguh-sungguh dalam mencari keredaan Ilahi dengan menghabiskan kebanyakan waktu di masjid dan lokasi manasik haji, sesekali ketika berada di bilik, ketika membeli belah dan menikmati makanan sama ada di hotel atau restoren, terjadi adegan menggeletek hati.


Senario 1


Pada salah satu musim haji, saya ditempatkan bersama enam jemaah lain. Sekalipun jemaah diminta mengelakkan menyentuh politik kepartian, ada tidak peduli. Seorang rakan saja menyindir rakan-rakan lain, dengan mempromosi partinya dengan menyebutnya kuat-kuat.


Apabila ada saja kawan mengajak dia melakukan sesuatu, dia akan menjawab kuat-kuat. Contohnya, rakannya berkata: “Jom pergi masjid”, dia akan menjawab: “PAS, PAS.” Apabila ada rakan ‘berbulu’ dengan jawapan itu dia menyambung: “Ok, PAS, Ok PAS.”


Maka terkebil-kebillah rakan yang kurang senang tadi, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana jawapan tadi memang tepat, orang yang diajak ke masjid, menerima ajakan itu dengan menyebut ‘pas’ yang bermaksud ‘aku terima ajakanmu’.


Senario 2


Bagi sesetengah orang, memperbaharui wuduk adalah antara masalah besar di Masjidilharam. Ini kerana tandas dan tempat berwuduk bawah tanah adalah terlalu sesak pada musim haji. Ketika kemuncak, pada pintu tandas mungkin ada 10 orang sedang beratur, demikian juga di paip mengambil wuduk.


Suatu ketika, semasa beratur menunggu giliran mengambil wuduk, saya melihat dua jemaah di depan mengambil wuduk serentak dengan pergerakannya dilakukan selang seli. Seorang sedang membasuh muka, seorang lagi menadah air di tangannya, apabila orang kedua membasuh muka, orang pertama tadi sudah menghulurkan tangannya; demikianlah seterusnya sehingga selesai.


Apabila tiba giliran, saya berpasangan dengan dengan seorang lelaki India berjambang lebat. Inilah kali pertama saya mengambil wuduk cara begitu. Dia membasuh muka, saya menadah air di tangan; dia membasuh tangan, saya membasuh muka. Dia ketawa, saya pun ketawa. Demikianlah dalam keseriusan untuk beribadat, timbul suasana lucu, terasa nikmatnya persaudaraan sesama, susah dan senang diharungi bersama.


Senario 3


Di tanah air, ketika berada di restoren dan warung, sedap saja kita ‘bantai’ makanan di pinggan sedangkan makanan itu belum sah milik kita kerana kita belum membayarnya. Saya bertanyakan seorang ustaz akan hal itu, dia kata okey (tidak jadi hal) sebab sudah termaklum bahawa kita akan membayarnya kemudian.


Tetapi di Tanah Suci, jangan buat hal itu. Di kebanyakan kedai, BAYAR dulu, makan kemudian. Sekalipun, kita mahu makan di kedai, kita tidak boleh ambil makanan dan duduk-duduk enak menikmatinya sebelum membayarnya.

Pekedai Arab akan mengingatkannya dalam bahasa Melayu: “BAYAR dulu.” Lagi pun di sejumlah kedai, disediakan kaunter untuk kita membuat pembayaran ketika memesan makanan. Si Arab akan memberikan kita resit dan dengan resit itu barulah kita boleh mengambil makanan. Minuman pun sama, bayar dulu, dapatkan resit, kemudian barulah kita boleh dapatkan minumannya.



Senario 4


Apabila balik daripada solat di Masjidilharam, salah satu kenikmatan adalah merasai aiskrim. Memang aiskrim Arab sedap, apatah lagi dengan cuaca gurun Arab yang membahang.


Suatu ketika semasa balik, saya terkejut besar apabila peniaga aiskrim melaung memanggil pelanggan dalam bahasa Melayu: “Sedap, sedap, jilat, jilat.” Terkejut besar saya, Melayu mana yang ajar penjual aiskrim Arab bercakap begitu?


Ramai pekedai pandai bercakap dan faham bahasa Melayu. Ketika membeli-belah, berhati-hati dengan perkataan yang diucapkan kepada isteri atau rakan. Jika kita membebel, mengumpat atau merungut harga barangan mahal, si Arab akan tiba-tiba bercakap: “Murah, murah Siti Rahmah, tak mahal!”

Tuesday, January 3, 2023

10 Jamadilakhir 1444: Apabila tercetus "Perang Teluk' ...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


SEKARANG ini bukan saja kes perceraian menjadi-jadi malah krisis rumah tangga bagaikan tidak terbendung sehingga terjadi kejadian tragik seperti membunuh atau membunuh diri di kalangan suami isteri. 


Ada beberapa peribahasa Melayu menyentuh mengenai hal rumah tangga ini; antaranya ‘sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri’ dan ‘pukul anak sindir menantu’. Hal ini membuktikan betapa halusnya orang Melayu dalam menyelami permasalahan hubungan kekeluargaan. 


Pada musim raya misalnya, dikhuatiri ‘suhu’ hubungan suami isteri juga panas, misalnya persoalan balik kampung dan perbelanjaan raya boleh mencetuskan ‘Perang Teluk’. Ya, kehidupan suami isteri amat perlukan panduan agama bagi melahirkan kerukunan rumah tangga yang dalamnya terdapat unsur-unsur mulia seperti keadilan dan tolak ansur. 


Namun dalam kehidupan suami isteri, kerap benar kita (termasuk penulis) tersasar, terjadilah pelbagai perang rumah tangga seperti Perang Teluk, Perang Dingin, Perang Periuk Belanga dan Perang Mulut. Hendaknya semua peperangan ini dapat diselesaikan secara aman; bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak rosak.


Di sinilah panduan dan amalan agama amat diperlukan; kita gembira jika ‘peperangan’ ini membawa kepada kemaafan suami isteri yang insya-Allah akan membawa hubungan lebih harmonis selepas itu yang akhirnya menambahkan zuriat keluarga. Itulah kemanisan dalam rumah tangga, walaupun berlaku ‘peperangan’ tetapi anggota keluarga bertambah juga! 


Namun akhir-akhir ini, kita tidak gembira kerana kerap benar terdengar perang rumah tangga berakhir dengan tragedi menyedihkan sampai pukul memukul atau nauzubillah membunuh atau membunuh diri yang tentunya bagi sesetengah orang Melayu dengan doanya ‘minta dijauhkan, simpang malaikat 44’! 


Berceloteh mengenai perang balik kampung, seorang sahabat pernah bercerita, pernah suatu hari raya dulu dia dan isteri tidak dapat berkompromi menyebabkan dia balik hari raya ke selatan manakala isteri ke utara, meredah lebuh raya di ambang Aidilfitri dengan kereta masing-masing. Aiii, laki ke selatan, bini ke utara! 


Nasib baik ketika itu mereka masih belum ada anak, kalau tak pening juga memikirkan jalan penyelesaian. Tetapi selepas berada di kampung, masing-masing menyesal kerana apa ertinya raya jika tiada pasangan dicintai di sisi. 


Kepada si isteri, keluarga dan orang kampung asyik bertanya; “mana laki kau” dan kepada si suami pula ditanya, “mana isteri kau?” menyebabkan kedua-duanya tak dapat berlama-lama di kampung. Selepas berlaku perpisahan beberapa hari itu, barulah masing-masing sedar mereka saling perlu memerlukan. Mereka memilih berdamai, hasilnya sekarang ini anak sudah berderet! 


Itulah antara kemanisan dalam rumah tangga, kalau asyik berkepit di rumah, bertentang mata 24 jam, akan berlaku pelbagai hal seperti Perang Teluk, Perang Periuk Belanga dan Perang Dingin tetapi apabila berlaku perpisahan seperti si suami atau isteri terpaksa pergi kursus atau ke luar negara, sepeninggalan pasangan masing-masing akan timbul rasa rindu, terasa tak sabar untuk berjumpa semula. 


Pengalaman orang veteran dalam melayari rumah tangga juga boleh dijadikan panduan. Ini bagi membolehkan sesuatu pasangan suami isteri terutama yang masih baru dapat mengelakkan stres atau konflik rumah tangga. 


Bapa saya pernah memberi panduan dengan berkata lebih kurang begini: “Orang lelaki ini jangan duduk lama-lama di rumah. Apabila berlaku ‘ketegangan’ dengan isteri, cepat-cepat angkat kaki, blah…pergi kedai kopi ke, pergi kebun ke, pergi ke bendang ke, jangan dilayan perbalahan itu kerana makin lama makin buruk akibatnya. Nanti apabila ‘dah cool’ baliklah, insya-Allah masalah dapat diselesaikan apabila suasana lebih tenang. 


Seorang datuk saudara saya pun pernah mengamalkan petua ini, tetapi dengar khabar apabila dia ke kebun, habis pisang satu kebun dicantasnya dan apabila balik dia tidak ada tenaga untuk bergaduh lagi. Sudah penatttttttttttt!


Ini nampak teruk, tetapi sekurang-kurangnya tindakannya itu lebih baik daripada mencederakan si isteri atau nauzubillah membunuhnya!

Monday, January 2, 2023

9 Jamadilakhir 1444: Kita mahu yang 'best' sahaja? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SELAMAT menyambut tahun baharu 2023. Pada hari-hari terawal tahun baharu ini, adalah bermanfaat kita merenung dan bermuhasabah prestasi kita sepanjang tahun lalu, terutama usaha kita untuk mendekati Yang Maha Kuasa.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, ada kehendak dan impian kita tercapai dan ada yang tidak. Ya, pada tahun lalu betapa banyak azam kita tidak tercapai-capai jua. Kita merancang, yang menentukannya Allah SWT.

Tidak lama dulu, ketika tertonton 'highlight' (babak menarik) sebuah drama Cina di televisyen, tersentak hati saya sebentar ketika mendengar perbualan dua gadis. Seorang daripadanya merungut-rungut kerana banyak kehendaknya tidak tercapai. Jawapan si temannya mengejut dan menyentak jiwa saya. Antara lain katanya, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu dipenuhi kamu jadilah tuhan!"

Ya, Allah-lah Yang Berkuasa, kita tidak ada (punya) apa-apa. Tidak semena-mena saya menjadi insaf...sekalipun kata-kata ini diucapkan oleh seorang gadis Cina tanpa tauhid, terasa terpukul diri ini bahawa kita ini hanya HAMBANYA; Namun kita 'berlagak', berperasan kita boleh buat itu dan ini, berperasan kita berjaya kerana usaha kita.

Kita terlupa Allah SWT-lah penentu segala-galanya. Dia boleh memberi kita berjaya atau tidak, Dia juga penentu sama ada kita boleh mendapatkan sesuatu atau tidak. Semuanya terletak pada-Nya...namun kita selalu terlupa. Kita nakkan berjaya saja, tak dapat terima gagal atau segala perkara yang dianggap negatif lain seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan hilang pangkat dan jawatan.

Adakah dalam hidup ini kita mahu terima yang 'best' (baik-baik saja)?Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya dilalui secara pergiliran - ada kehendak kita dipenuhi ada yang tidak; ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang. 

Pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat. 

Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk). 

Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari

Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja. 

Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka! 

Kita perlu sedar dunia dan segala isinya sentiasa berubah. Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..." 

Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu). 

Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa!