Sunday, November 14, 2021

Rabiulawal 8, 1443: Usia kian ke penghujung...(U)


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


JAM 3.00 pagi suatu malam saya tersedar. Pergi ke bilik air, membersihkan diri. Selepas membuka daun pintunya jenis 'kuak dua', saya menghulurkan kaki kiri ke dalam. Kaki kanan masih di luar. Entah di mana silapnya, kaki kiri itu tergelincir, agaknya lantai licin.


Saya hampir terjatuh dengan posisi terlentang, tetapi alhamdulillah, Allah SWT menyelamatkan saya. Saya sempat memaut pintu jenis kuak itu...akhirnya bersama-sama dengan pintu itu saya terjatuh.


Namun disebabkan saya dapat memegang daun pintu itu, alhamdulillah walaupun kaki dan badan saya telah 'menghentam' lantai, keadaan saya yang terlentang itu tidak menyeluruh. Dengan kedua-dua siku, saya dapat menahan kepala daripada terhempas ke lantai.


Saya terkejut besar dan berada dalam posisi itu 'sekian lama'....ya detik-detik berlalu, saya dalam keadaan begitu...mulut tidak 'bisa' bersuara. Sungguh tak disangka, saya boleh jatuh begitu. Saya mengucap syukur kerana kepala saya tak apa-apa, 'otak saya masih berjalan lancar',


Perlahan-lahan saya cuba angkat kaki. Boleh, tetapi sakit sikit-sikit. Kemudian dengan kekuatan siku, saya cuba bangun. Alhamdulillah, boleh, walaupun ada terasa sakit-sakit.


Selepas bangun, saya mengangkat daun pintu itu. Ia sudah tercabut daripada relnya. Saya cuba masukkannya balik. Tak boleh. Ada bahagian bawahnya sudah patah.


Peristiwa dinihari sebelum subuh itu, saya lihat sebagai ingatan (amaran) Allah SWT kepada saya. Segera saya insaf akan diri yang banyak dosa ini. Kau tak sekuat mana. Jangan 'eksyen' (sombong). Bertaubatlah, apatah lagi sekarang ini umur kau dah dekat 60.


Ingatlah, jika kamu boleh jatuh terlentang di lantai tandas tanpa disangka-sangka; demikian juga kematian - kamu boleh mati bila-bila masa saja. Tanpa tanda, tanpa apa-apa. Saat ini kau hidup, saat berikut tak tahu lagi. Hari ini kamu hidup, besok tak tahu. Hidup macam papan sekeping. Kalau hidup di atas, kejap lagi papan itu terbalik, kita sudah masuk kubur...


Sepengetahuan saya, ada sejumlah orang mati terjatuh dalam bilik air. Kita tak tahu apa menyebabkan mereka 'terjatuh' (kerana mereka sudah mati), tetapi ada kebarangkalian sesetengahnya terkejut dengan kehadiran Malaikat Maut (Izrail)... 


Ya, terkesan saya dengan kematian beberapa rakan seusia baharu-baharu ini. Ada yang meninggal pada usia 50 tahun, 55 tahun, 60 tahun dan sebagainya. Saya cukup bimbang, giliran saya akan sampai jua...persiapan kematian tiada...itulah yang mencemaskan...tetapi mati tetap menyusul!


Cendekiawan ada mengesyorkan kita menghitung dan muhasabah kehidupan berdasarkan bahagian tujuh tahun. Tujuh tahun pertama kita dalam usia kanak-kanak (7), kemudian remaja (14), anak muda (21), dewasa dan tua (28, 35, 42, 49, 56 dan 63 tahun). Nabi s.a.w. yang kita kasihi meninggal pada usia 63 tahun (ikut tahun Hijrah) iaitu tahun pertama tujuh tahun kesembilan.


Jika hayat diikut berdasarkan umur Nabi s.a.w., saya ada baki beberapa tahun untuk hidup. Katakan tiga tahun; ia bersamaan kira-kira 1,000 hari. Buatlah 'countdown' - 1,000 hari, kemudian 999, 998, 997..........seterusnya 100 hari dan 0 hari. Subhanallah, masanya tak lama lagi...apakah dalam tempoh pendek ini kita perlu dedahkan diri melakukan kesilapan termasuk dalam berpolitik? Ya politik Melaka sedang memuncak; kita ulaslah sikit.


Berpolitiklah tetapi kita perlu berada dalam landasan betul. Namun ramai daripada kita, perbuatan dan tindakan kita (seperti jatuh menjatuhi atau singkir menyingkir)  seolah-olah mengesahkan tanggapan bahawa politik itu kotor; untuk berkuasa seseorang itu perlu bijak mencuri peluang sekalipun haram kerana matlamat menghalalkan cara (Machiavelli). Hakikatnya, politik tidak terlepas daripada hukum-hakam Islam yang menjadi adden (cara hidup) seseorang Muslim, tidak kira bangsa, kedudukan dan pangkatnya.


Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Buatlah apa sekalipun, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Mendapat kuasa secara batil, tidak membawa apa-apa keuntungan, sama ada di dunia apatah lagi di akhirat. Merujuk kepada perkembangan semasa, kita berasa dukacita kerana tindak tanduk sesetengah pihak dan pemimpin tidak menepati undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan.


Kini seluruh rakyat, termasuk generasi muda di bangku sekolah dan pusat pengajian tinggi sedang memerhati. Sesetengahnya didedahkan dengan urusan pentadbiran dan pengurusan negara antaranya membabitkan Perlembagaan Persekutuan dalam Pengajian Am Pra-Universiti. Mereka tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Tetapi apa yang berlaku, mencabar minda; apa yang pelajari tidak selari dengan tindakan sesetengah pemimpin.


Generasi muda tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan sebuah dokumen yang merupakan sumber segala perundangan lain yang wujud dalam negara dan mengandungi undang-undang tertinggi untuk mewujudkan satu sistem kerajaan yang teratur.


Jika undang-undang tertinggi ini dilanggar, tentunya ia mencelaru dan merosakkan pemikiran generasi muda yang bakal menjadi pemimpin. Jika pemimpin negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Inilah yang kita bimbangi kerana bapa borek, anak rintik; guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.


Kini terbukalah rahsia mengapa sesetengah pemimpin ini menolak mentah-mentah hukum-hakam Islam, malah memperlekehkan hukum hudud. Jika hukum manusia (Perlembagaan Persekutuan) pun tidak dapat dipatuhi malah dieksploitasi, bagaimana mereka dapat menerima hukum Allah SWT.


Apabila tidak melaksanakan hukum Allah SWT manusia jauh daripada barakah-Nya kerana di dalam undang-undang-Nya ada kehidupan.


Apa yang kita bimbangi penyakit rakus menjadi pemimpin dan gila kuasa golongan ini akan menyebabkan rakyat terheret sama kerana seluruh negara akan menjadi keluh kesah manakala fitnah bermaharajalela.


Kepada orang beriman, ingatlah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan diberi kepadamu kerana permintaan engkau, nescaya ia akan diserahkan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan." (al-Bukhari: kitab al-Ahkam)

Saturday, November 13, 2021

Rabiulakhir 7, 1443: Bekas pemimpin, usah 'menyibuk' pada hari tua...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


PENULIS  ke Segamat dari Melaka baharu-baharu ini; ketika memandu di kaki Gunung Ledang terkenang penulis akan kisah Laksamana Hang Tuah. Selepas gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, Hang Tuah yang telah tua, 'ghaib' - cerita-cerita mengenainya selepas itu tiada. 


Kisah 'kehebatan' pahlawan ini setakat itu saja, mungkin segala perkara mengenai 'kesedihan dan kelemahan' dirinya pada waktu tua sengaja tak dirakam agar orang akan mengenang dirinya hanya sebagai seorang pahlawan gagah perkasa. Bagi menambah 'keluarbiasaan' Hang Tuah, dia dikhabarkan sebagai ghaib dan tidak mati sebagaimana orang biasa.


Hang Tuah 'lenyap' sebagai seorang hebat tetapi hari ini mengapa sesetengah pemimpin kita 'masih sibuk' pada usia senja. Bagi penulis, contohilah Hang Tuah, 'senyaplah' (ghaib) dalam kehebatan...jangan cuba dipamerkan kekuatan diri kerana itu hakikatnya sudah hilang...kalau dibuat begitu semakin lama semakin banyaklah kelemahan, tembelang dan dosa terbuka.


Raja Singa di rimba yang telah tua juga tidak lagi mempamerkan kekuatannya (hakikatnya kekuatan itu memang sudah tiada). Ia banyak diam saja. Namun singa sekalipun sudah tua adalah pemaging; tidak makan dedaun. Singa tetap mahu makan daging sekalipun ia tidak lagi tangkas mengejar mangsa, jadi singa tua hanya 'duduk diam-diam' sambil memperdaya binatang kecil untuk menjadi santapannya. Ia tidak lagi ke sana sini mencari mangsa kerana tahu ketangkasannya sudah hilang, bimbang juga 'diketawakan' oleh binatang buruannya.


Berceloteh mengenai detik-detik tua ini, teringatlah penulis akan sajak A Samad Said berjudul 'Tetamu Senja'. Antara lain katanya, kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, bila cukup detik kembalilah kita kepadanya. Kita datang ini kosong tangan dada, bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.


Seorang ustaz pula mengingatkan, sedarlah insan semua, kehadiran kita di dunia ini adalah hanya sebagai anak dagang - oleh itu usahlah bersenang lenang sebaliknya 'ragutlah' apa saja yang patut untuk dijadikan bekalan di 'kampung kita' yang kekal di alam sana.


Mengenai kisah hari tua ini, izinkan penulis menyiarkan titipan seorang pembaca tidak lama dulu. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh; semoga Saudara dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa sihat bahagia senyum sentiasa dalam masa kecederaan menunggu pembubaran Parlimen. 


Syukur kepada Maha Pencipta dan rantaian terima kasih buat Saudara yang sudi menyiarkan pandangan rakyat biasa ini yang tiada kepentingan kecuali rasa kasih melimpah-ruah buat agama dan anak bangsa. 


Justeru apabila berhadapan adegan masyarakat hari ini termasuk ibu bapa yang sanggup mengheret guru ke mahkamah, sungguh terkilan rasa di hati ini.


Itulah hakikatnya orang Melayu beragama Islam pada hari ini. Ada ustaz dan ustazah di sekolah dituduh menyibuk sekiranya bertanya anak-anak, solat subuh pagi tadi? Ingin juga hati tua ini bertanya, murid yang tidak cukup sembahyang lima waktu, berada di 'band' mana dalam pentaksiran berasaskan sekolah? 


Justifikasi kita orang tua, senang sahaja Saudara. Tidak sembahyang, tidak berterima kasih kepada Allah. Tidak cukup solat sehari semalam, tidak adalah rasa syukur, terima kasih kepada Tuhan bukan saja pada rezeki hatta oksigen yang disedut. 


Fikiran tua ini berpandangan, mengingatkan sembahyang (detik berterima kasih rasmi kepada Maha Pencipta) ini bukan kerja ustaz ustazah sahaja tetapi semua terutama ibu bapa. Guru tugasnya menambah, mak dan bapalah guru pertama anak-anak.


Sekarang ini mak, bapa, nenek, datuk akan menuding pada tuan guru dan ulama, ini autoriti tuan guru, mufti, kata mereka. Tok guru pula kata, ini kerja pemimpin dan pemerintah. Pemimpin tak jaga solat, rakyat pun ikut sama. 


Oleh sebab itu, mohon sangat kepada Saudara agar dihebah kepada rakyat jelata, hidup berkat disayangi Allah SWT lebih diutama. Pilihlah pemimpin yang sayang dan takut akan Maha Pencipta. Pemimpin inilah ulul-amri yang orang awam seperti hamba tua ini wajib dan mohon sentiasa diberi ingat akan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Manusia berada di maya pada ini bersebab, bukan mati terus menjadi tanah. 


Kepada mak dan bapa beragama Islam, jangan marah ustaz, ustazah yang menegur anak-anak Dato', Datin, Tuan, Puan dalam pelbagai bab agama seperti aurat dan amal ibadat mereka terutama solat. 


Jangan naik angin dengan soalan, solat tak subuh pagi tadi? Bukan saja anak-anak perlu ditanya, mak bapak pun perlu ditanya. Malah pemimpin pun perlu ditanya, solat subuh tak pagi tadi? Kalau tak solat subuh, tidak hairanlah selepas itu ketika bekerja, sanggup 'songlap' duit.


Oleh hal yang demikian, pemerintah setaat Umar Abdul Aziz sangat diperlukan di Malaysia. Pemerintah yang sangat takut akan Tuhannya, sangat menjaga perbendaharaan negara, sangat menjaga keluarga daripada menggunakan harta milik negara, sangat memikirkan jawapan yang akan diberikan di Padang Mahsyar, pemimpin Malaysia yang akan menjawab di hadapan Allah SWT bagi pihak 30 juta rakyat. 

Friday, November 12, 2021

Rabiulakhir 6, 1443: Hukum Allah penyelamat manusia (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA suatu majlis ilmu antara waktu maghrib dan isyak di sebuah masjid berhampiran kediaman saya tidak lama dahulu, tok guru mengingatkan bahawa setiap Muslim tidak akan terlepas daripada ditanya usaha mereka dalam menunaikan kewajipan agama termasuklah menjayakan hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.


Tok Guru berkata, dalam menunaikan kewajipan beragama ini ada yang boleh dilakukan sendiri seperti solat dan ada yang tidak boleh dilakukan sendiri, ia membabitkan negara seperti melaksanakan hukum jenayah hudud, qisas dan takzir. Sekalipun ia membabitkan pihak berkuasa, tidak ada Muslim yang terlepas daripada ditanya oleh Allah SWT mengenai peranannya dalam pelaksanaan hukum jenayah ini, kata tok guru.


"Jadi kepada orang awam seperti kita ini, apa kita boleh buat untuk menghadapi pertanyaan Allah nanti?" tanya tok guru yang sendiri menjawab: "Pertama, kita mesti mengaku bahawa hukum-hakam ini wajib ke atas diri kita kerana ia difardukan Allah sama seperti sembahyang dan puasa. Kedua kita mesti berniat untuk melaksanakannya tetapi memohonlah keampunan bersungguh-sungguh kepada Allah kerana tidak ada daya untuk melakukannya.


"Ketiga kita hendaklah mendoakan agar pemimpin yang memerintah kita hari ini terbuka hatinya untuk melaksanakan hukum Allah ini. Kita berdoa bersungguh-sungguh agar mereka dapat menerima Islam sepenuhnya."


"Keempat," kata tok guru, "kita hendaklah membantu sedaya upaya jika ada pihak yang berusaha ke arah melaksanakan hukum-hakam ini, dan yang kelimanya kita tidak pula berusaha menggagalkan pihak yang mahu melaksanakannya termasuklah membantu pihak berkenaan," kata tok guru.


Tok guru mengingatkan selalulah berbuat kebajikan dan jika kita tidak boleh berbuat baik, janganlah berbuat jahat kerana itu sudah dikira ibadat juga. Jika kita tidak mampu membuat kebajikan, jangan pula menghalang orang yang mahu berbuat kebajikan.


Berbicara mengenai bab hudud ini, sebagai seorang Muslim saya dengan rendah diri ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca bahawa ini hukum Allah, setiap Muslim perlu ada niat dan usaha untuk melaksanakannya dan sebagai penulis saya menyatakannya secara terbuka dalam kolum ini.


Hari ini kes jenayah berleluasa. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Mengapa orang tidak takut berzina dan membuang bayi?


Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.


Ambil contoh ketegasan hukum qisas. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.


Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga. Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.


Allah SWT berfirman maksudnya: " Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (Surah al-Maidah ayat 45)


Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, pencurah asid akan menerima pembalasan dicurah asid ke mukanya pula manakala yang mengelar tubuh mangsa, akan dikelar juga tubuhnya.


Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!


Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.


Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?