Friday, September 11, 2020

Muharam 23, 1442: Ketelusan pemimpin perlu dilihat rakyat...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA kuliah subuh baharu-baharu ini, antara lain ustaz di sebuah masjid berdekatan rumah saya, membicarakan kepentingan untuk pemimpin bukan saja telus tetapi dilihat ketelusannya.


Ustaz membawakan kisah Sayidina Umar Al-Khattab ketika membahagian harta rampasan perang, memberikan bahagian rakyat sama seperti dirinya iaitu sepotong kain yang tidak cukup untuk dibuat sehelai pakaian lengkap. Namun pada suatu hari ketika hadir di satu majlis di masjid, beliau dilihat memakai pakaian yang lengkap daripada kain yang dibahagikan tempoh hari.


Melihatkan keadaan itu, bangunlah seorang sahabat, Salman Al-Farisi menyoal khalifah (sekarang ini ibarat presiden atau perdana menteri) bagaimana beliau boleh membuat pakaian yang lengkap sedangkan kain diagihkan dulu tidak cukup untuk tujuan itu. Salman berkata dia dan orang Islam lain tidak akan taat dan menjunjung perintah khalifah jika benar khalifah melakukan penyelewengan.


Lantas bangunlah Abdullah anak Khalifah Umar bagi menjelaskan bahawa pakaian atas ayahnya dibuat daripada kain milik khalifah sendiri manakala pakaian bawah dibuat daripada kain miliknya. Salman dan sahabat serta rakyat bersyukur di atas kejujuran khalifah dan menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepadanya.


Demikianlah khalifah dituntut bukan hanya untuk telus tetapi dilihat telus manakala rakyat pula berhak mempersoalkan perkara yang mereka tidak puas hati. Khalifah Umar pula yang memiliki kuasa dari timur dan barat (wilayah Islam sudah menjangkau Afrika Utara dan Parsi) terbuka untuk menerima kritikan dan kecaman rakyat sendiri tetapi apa yang berlaku hari ini? 


Pemimpin besar hatta kecil pun langsung tidak mahu menerima pandangan sisi (pihak) lain (termasuk rakyat) tetapi sentiasa menganggap dia dan gerombolannya saja yang betul hatta mendabik dada mereka saja yang pandai memerintah negara sehingga disanjung seantero dunia!


Pemimpin perlu terbuka menerima kritikan dan kecaman seperti dicontohkan Khalifah Umar yang tokoh Barat, Michael H Hart meletakkan 'ranking'nya yang ke-52 dalam bukunya 'The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History'.


Pemimpin dengarlah salah satu keluahan rakyat pada harga barangan dan perkhidmatan naik 'bagai nak gila' sekarang ini. Pelbagai insentif dan hadiah (bantuan) ditawarkan kepada rakyat daripada wang berbilion-bilion ringgit belanjawan itu, tetapi apa yang ingin dikomen adalah ketelusan sistem penyampaian bagi membolehkan rakyat yang berhak menerimanya. 


Adalah lumrah kebanyakan kerajaan di dunia berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat masing-masing; persoalannya adakah peruntukan atau bantuan itu sampai kepada kumpulan sasaran. 


Tidak guna kita bercakap mengenai jumlah wang berbilion-bilion ringgit tetapi akibat sistem penyampaian yang tidak telus, kantung wang telah bocor dengan banyak wang tercicir sepanjang perjalanan dan akhirnya penerimanya hanya mendapat tulang, dagingnya telah dibaham oleh buaya di daratan (sungai) dan jerung di lautan. 


Kita tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan perkara ini, di sekitar kita ada bangunan awam seperti sekolah, hospital, stesen bas dan stadium; sekalipun pembinaannya mendapat peruntukan berbilion-bilion ringgit daripada kementerian berkaitan; ketidak-telusan dengan jerung-jerung berkeliaran, menyebabkan bangunan berkenaan rosak atau runtuh dalam tempoh singkat selepas digunakan. Mungkinkah bangunan berkenaan tidak menepati spesifikasi dan piawai kerana dibina dengan kos dikurangkan bagi 'memberi makan' kepada jerung dan buaya terbabit. 


Demikian juga bantuan terus kepada rakyat; disebabkan terlalu ramai orang tengah yang menangguk di air keruh, ada kemungkinan penerima layak mendapat separuh daripadanya sedangkan separuh lagi sudah dimakan jerung. Orang yang menepati syarat juga ada yang tidak menerimanya kerana pelbagai faktor seperti sentimen politik tetapi yang tidak layak pula tersenarai; ini semua disebabkan sistem penyampai yang sarat dengan masalah.


Kegagalan Baitulmal sesetengah negeri dalam sistem penyampaiannya sehingga ada golongan daif yang terpaksa meraih simpati kepada organisasi lain, sewajarnya mengingatkan kita bahawa wang berjuta atau berbilion ringgit yang ada jika tidak dapat diagihkan secara baik, tidak dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat sebaliknya mengemukkan tembolok jerung dan buaya. 


Bagi kita jerung dan buaya inilah yang perlu dihapuskan dan yang lebih mustahak dihapuskan pihak yang membela mereka (penguasa korup). 


Kita lihat keperluan untuk kita membina insan bukan semata-mata membina bangunan hebat seperti yang berlaku hari ini. Jika kita dapat melahirkan golongan penyampai yang amanah, insya-Allah rakyat marhaen akan dapat sama-sama merasai nikmat kekayaan negara. Pengagihan akan dilakukan secara adil dan saksama menepati peribahasa 'hati kuman sama dicicip, hati gajah sama dilapah'. 


Berdasarkan porak perandanya masyarakat yang hidup nafsu nafsi hari ini, marilah kita kembali kepada hukum Allah termasuklah bagi membanteras pembela jerung dan buaya serta buaya dan jerung itu sendiri bagi membolehkan kekayaan negara berbilion dan berbilion ringgit itu dikembalikan kepada rakyat!

Thursday, September 10, 2020

Muharam, 22, 1442: Benih ni dah penuh, mana mahu taruh'...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


BERITA sedih dua beradik rentung dalam rumah sedangkan ayah mereka berada di luar manakala si ibu jauh di negara asing bertugas sebagai jururawat menggembalikan ingatan kepada celoteh ayah, ibu dan saya tidak lama dulu mengenai nasib keluarga yang hidup 'terpisah-pisah' dek hambatan tertentu.


Takziah diucapkan kepada keluarga ini, kita berdoa semoga Allah SWT merahmati kita semua termasuk keluarga ini; dan pada kesempatan ini izinkan 'hamba' mencelotehkan pandangan yang 'tak seberapa ini'. Bukanlah niat 'hamba' untuk menghiris perasaan sesiapa, tetapi mengharapkan pembaca dapat membuat sedikit renungan, ya lakukan muhasabah diri.


Sekarang ini jika jutaan pendatang asing sama ada yang secara halal atau haram memasuki negara kita untuk bekerja, sejumlah warga kita termasuklah golongan wanita, khasnya di kalangan isteri dan ibu yang meninggalkan suami dan anak-anak 'menyahut seruan' untuk bertugas di luar negara.


Ramai pendatang asing bertarung hidup, mereka ke sini mencari sesuap dua nasi kerana kesukaran hidup di negara masing-masing tetapi 'orang kita' ke luar negara sebahagiannya kerana mahu merebut peluang memperolehi pendapatan berganda-ganda daripada pekerjaan asal mereka di sini.


Golongan ini termasuklah jururawat, sebahagiannya sudah mempunyai pekerjaan di sini tetapi memilih untuk 'berhijrah' - bekerja di negara asing termasuklah Arab Saudi. 


Salah seorang daripadanya adalah saudara penulis, jadi hal inilah yang mencetuskan 'polemik' (bahan celoteh) penulis, ayah serta ibu penulis ketika minum pagi tidak lama dulu.


Selepas lama 'berbahas', ayah penulis mengungkapkan "orang lelaki ni (suami) jika benih sudah penuh, mana mereka mahu buang (taruh)?" Kata-kata ini menyebabkan kami terdiam sebentar kerana maksudnya sungguh mendalam. Ia kelihatan 'satu lawak kasar' tetapi adalah hakikat. 


Ya, jika seorang isteri sudah memilih untuk meninggalkan keluarga buat masa yang sangat lama (ada yang balik enam bulan atau setahun sekali) apa yang akan jadi kepada suami dan anak masing-masing?


Kita ambil 'hal ehwal suami' dulu. Kebanyakan orang lelaki (saya sebut kebanyakan kerana tidak semua lelaki begini) yang sudah berkahwin 'tidak betah' hidup tanpa sang isteri di sisi. Mereka begitu manja dan berlagak macam raja. Semuanya hendak disediakan oleh isteri. Soal makan minum, pakaian dan maaf cakap 'soal seks' adalah 'keutamaan mereka'.


Bercakap 'soal seks', marilah kita akui bahawa naluri kebanyakan manusia (terutama lelaki) adalah ke arah itu. Cuma yang membezakannya adalah hubungan (perlakukan) halal dan haram. Yang halal...'fadhal' (silakan)...ya ada lelaki yang pening kepala jika lama tak dapat 'benda tu'...seperti yang bapa saya katakan," kalau benih (kantung) sudah penuh..mana mahu buang (taruh)" kerana si isteri tidak berada di sisi. Apakah si suami 'boleh tahan' menunggu sampai enam bulan atau setahun?  Itu pun sekejap cuma...mungkin si isteri bercuti seminggu dua atau sebulan pada hujung tahun.


Mungkin ada orang berkata, lelaki ini mementingkan dirinya sendiri; kenapa tak tanya apa nasib isteri yang 'berkorban' untuk bekerja di luar negara? Mereka berkata isteri pun kesepian, menanggung derita berpisah dengan suami dan anak-anak tetapi 'ada orang ambil kisah pengorbanan mereka'?


Seperti yang diutarakan pada awal celoteh ini, orang kita kebanyakannya ke luar negara untuk bekerja adalah untuk mendapatkan pendapatan yang berganda banyaknya. Di sini mereka sudah ada kerja, bukan menganggur. Soal material menjadi keutamaan mereka; ya apa sebenarnya mereka mahu daripada perolehan yang berganda itu...rumah besar, kereta besar, peralatan rumah yang hebat-hebat; ya apa lagi...bukankah semuanya mahu besar-besar belaka?


Hakikatnya wang bertimbun tidak semestinya mendatangkan bahagia. Amat malang jika si isteri bertungkus-lumus bekerja di rantau orang tanpa menyedari si suami yang kesepian 'sudah terbang' ke pangkuan wanita lain sama ada secara halal (dia berkahwin lain) atau yang kurang iman 'membuang benihnya di tempat-tempat haram'.


Ohh, kalau 'suami menderita', si anak apatah lagi. Mereka hilang kasih sayang ibu...si bapa pula bukan boleh diharapkan sangat...kejap-kejap tinggalkan rumah...ke kedai kopilah dan yang lebih teruk ke disko dan 'nightclub', subhanallah amat malang nasib anak-anak. Ada yang ditinggal bersendiran, menumpang kasih kepada nenek dan datuk dan tak kurang juga kepada pengasuh (orang gaji).


Bercakap pasal orang gaji teringat saya 'ngomelan' seorang teman mengenai kawannya: "Gaji banyak, buat rumah besar dan hebat...tetapi yang 'sedap' duduk dalam rumah mewah itu orang gaji...dia mana ada masa nak berehat kerana siang malam kerja, kerja, kerja...Ya kerja, kerja dan kerja sampai masuk 'rumah paling sempit' (kuburlah tu)!

Wednesday, September 9, 2020

Muharam 21, 1442: Kos hidup tinggi: Belajarlah menikmati bukan memiliki...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


SEMASA budak-budak dulu salah sebuah cerita yang menarik perhatian saya adalah kisah seorang kaya kurus dan jirannya yang miskin tetapi gagah perkasa. Puas sudah si kaya memikirkan bagaimana dia tetap kurus dan kurang sihat sekalipun makanan dihidangkan kepadanya sedap-sedap belaka sedangkan si jiran makan seadanya.


Suatu hari sedang si kaya duduk-duduk di beranda rumahnya, terbau masakan sungguh menyelerakan dari dapur. Tukang masaknya sedang menyediakan makanan paling sedap. Tiba-tiba dia terpandang sosok si miskin di depan rumahnya. Timbul perasaan jahat di hatinya. Mungkin si miskin segar bugar kerana dia mencuri makananku; iaitu baunya. Lantas si kaya menyaman si miskin.


Di mahkamah, selepas mendengar dakwaan si kaya dan keterangan si miskin, hakim memutuskan bahawa si miskin bersalah. Si hakim bertanya si kaya nilaian ganti rugi dituntutnya. Dia berkata 100 keping emas. Hakim memerintahkan dibawa kepingan emas itu dan kemudian beliau memisahkan si kaya dan si miskin dengan sehelai tabir.


Hakim kemudian memerintahkan si miskin menjatuhkan kepingan emas itu satu persatu dan menyuruh si kaya dan miskin mengiranya kuat-kuat. Selepas kiraan ke-100, hakim memerintahkan kepingan emas itu disimpan balik dan berkata kepada si kaya dan si miskin bahawa kes itu sudah selesai.


Si kaya terkejut, lantas bertanya, "Mana wang saya?" Jawab hakim; "Jiran kamu hanya menikmati bau makanan kamu; sebentar tadi bukankah kamu sudah mendengar bunyi wang kamu? Kes selesai, pulanglah kamu berdua!"


Demikianlah, si miskin boleh 'menikmati' tetapi tidak 'memiliki'. Hari ini boleh dikatakan hampir semua anggota masyarakat kita gila memiliki harta dan segala perkara bersangkutan dunia tetapi gagal menikmati kehidupan.


Kita juga biasa dengan cerita bagaimana si miskin dapat tidur lelap berdengkur sedangkan si kaya yang tidur dengan tilam empok Maya Karin dan bilik 'air-cond' tidak dapat melelapkan mata. Ya, peralatan 'kesedapan' seperti tilam gebu boleh dibeli tetapi tidur iaitu sebahagiaan daripada kenikmatan dunia tidak boleh dibeli hatta dengan emas seluruh dunia!


Perhatikan rumah tangga moden hari ini, saban hari sang suami dan isteri bekerja 'macam nak mati', mengumpulkan wang ringgit. Esoknya sama juga, lusa pun macam itu. Minggu bertukar bulan, bulan bertukar tahun. Mungkin duit mereka banyak tetapi mereka tidak ada masa menikmati wang itu. Mungkin untuk makan dan bermesra dengan anak-anak pun mereka tidak ada masa apatah lagi pergi bercuti.


Pada era kos hidup tinggi sekarang ini, makin ramai orang bekerja 'macam nak mati'. Bukan saja suami isteri bekerja, bagi mereka satu kerja tak cukup. Mereka buat dua atau tiga kerja ditambah pula dengan bisnes 'online'. Hampir 24 jam mereka bekerja, jadi pada masa bila mereka hendak menikmati hidup ini?


Pada pendapat saya yang 'naif' ini, untuk menikmati kehidupan kita perlu perlahankan rentak (slow down) hidup kita. Tidak perlulah kita bekerja 'macam nak mati'. Subhanallah, kalau betul-betul kita mati, orang lain pula akan menikmati wang dan harta yang kita kumpulkan macam nak mati.


Salah satu cara untuk kita menikmati kehidupan ini adalah dengan mensyukuri apa saja yang ada lantas mengaitkannya dengan kehebatan Illahi di samping menjalani kehidupan secara berjemaah. Misalnya kita tidak perlu memiliki sendiri sebuah taman bunga yang indah di rumah kita sebaliknya keindahan ciptaan Allah di dunia ini termasuk taman-taman awam sudah dapat 'membungakan' hati kita.


Dari segi kehidupan berjemaah pula, sebagai contoh kita tidak perlu memiliki penghawa dingin sebaliknya dengan pergi ke masjid untuk solat berjemaah lima kali sehari kita dapat menikmati kedinginan 'air-cond'. Di masjid pun kita boleh nikmati 'karpet tebal terbenam kaki', air 'water cooler' yang dingin dan banyak kemudahan lain.


Kita juga tidak perlu memiliki surat khabar, majalah dan buku tetapi boleh menikmatinya dengan pergi ke perpustakaan. Ini sebagai contoh saja, sebenarnya ada banyak perkara yang kita tidak perlu memiliki tetapi boleh menikmatinya.


Mengenai menikmati dan memiliki ini, saya ada terbaca sebuah artikel dari seberang (Indonesia) yang antara lain penulisnya mengungkapkan (ejaan dan istilahnya dikekalkan): "Banyak orang salah kaprah dan beranggapan bahwa memiliki itu jauh lebih penting. Karenanya, mereka berusaha mendapatkan harta lebih banyak dan lebih banyak lagi. Padahal, harta yang banyak itu membuat mereka senantiasa diliputi rasa takut. Akibatnya, mereka tak bisa lagi menikmati hidup yang aman, damai dan sejahtera.


"Banyak orang yang memiliki, tapi tak sempat menikmati. Sebaliknya, banyak juga orang yang tak memiliki tapi bisa menikmati. Cobalah lihat vila-vila yang kini menjamur di kawasan Puncak. Siapakah yang memiliki vila tersebut? Namun, siapakah sebenarnya yang selalu menikmatinya? Bukankah si pembantu rumah yang selalu di situ sedangkan pemiliknya ke sana sini berbisnes?


"Ada juga cerita mengenai seorang pengacara terkenal yang suatu ketika mengunjungi pameran mebel. Ia tertarik dengan meja makan berharga ratusan juta dan tanpa pikir panjang langsung membelinya. Yang menarik, setelah meja tersebut dikirim ke rumahnya, ia menjadi kebingungan. Perabot di rumahnya sudah sangat banyak dan tak ada lagi tempat tersisa. Inilah contoh dari memiliki tetapi tidak menikmati.


"Kunci kebahagiaan kita sebenarnya tidak terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita nikmati. Bahkan, orang yang kaya dalam arti yang sesungguhnya bukanlah orang yang memiliki banyak hal, tetapi orang yang dapat menikmati apa pun yang ia miliki."