Monday, December 31, 2012

Tahun baru, bolehkah dikembalikan maruah wartawan?

*********** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************ "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) ************************ TAHUN 2012 akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2013 dibuka. Sesuai dengan tahun baru, tentulah ramai bersemangat baru. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baru dari sudut positif. Jika ada hal kurang enak, tanganinya dengan baik, bijak pandai Melayu ada mengungkapkan; buang yang keruh ambil yang jernih. *********************** Bagi memulakan tahun baru ini, izinkan saya berbicara mengenai bidang yang saya tahu selok beloknya iaitu dunia kewartawanan. Saya terpanggil membicarakan hal ini selepas pelbagai pihak mempertikai kesahihan laporan akhbar lebih-lebih lagi pada ketika sebuah akhbar harian nasional kerap benar disaman dan kalah dalam kes dihadapkan terhadapnya. *********************** Antara kata-kata kesat dilemparkan yang menghiris hati ini adalah seperti: Akhbar bukan boleh dipercayai sangat, mereka penipu. Laporan akhbar bukannya betul. Daripada membazirkan masa membaca akhbar, lebih baik baca Quran, dapat juga pahala. Wartawan buat laporan betul tetapi editor seleweng fakta. Ya, dalam akhbar dua perkara saja betul – keputusan nombor ekor dan jadual waktu sembahyang. **************************** Sebagai seorang yang terbabit dalam bidang ini saya benar-benar rasa terpukul. Apa sudah jadi dengan bidang kewartawanan sehingga sesetengah anggota masyarakat memandang hina kepada wartawan dan dunia kewartawanan? Benarkah dengan menceburi bidang ini, seseorang itu tidak boleh menjadikannya sebagai saham arau ladang kebaikan untuk dituai di akhirat nanti? Apakah dengan menceburi bidang ini tidak melayakkan seseorang itu menepati konsep ‘kerja itu sebagai suatu ibadah’ yang sering diuar-uarkan. ********************** Selain kerjaya wartawan dipertikaikan, kecenderungan atau kesukaan seseorang membaca akhbar juga dikecam. Ada kalanya pembaca akhbar dilontarkan kata-kata seperti; buat apa menambah koleksi dosa dengan membaca berita fitnah, melihat gambar-gambar tak senonoh dan bersubahat dengan tauke judi (akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor). ******************** Jadi sudah timbul tanggapan di kalangan masyarakat bukan saja kerja sebagai wartawan itu sesuatu yang tidak mendatangkan pahala sebaliknya dosa tetapi juga perbuatan membaca akhbar sebagai satu kesalahan, jadi lebih baiklah tak payah baca akhbar! ************************ Perkembangan ini begitu merungsingkan wartawan jujur yang mahukan bidang mencari makan ini ladang bagi mereka mengumpul pahala. Demikian juga pembaca jujur, mereka mahu menambah koleksi pahala dan bukan dosa melalui kegemaran membaca termasuklah dengan membaca akhbar. *********************** Betulkah kita tidak boleh menambah koleksi pahala dengan bekerja sebagai seorang wartawan? Saya cuba mencari jawapannya termasuklah melalui pembacaan. Seorang cendekiawan memberikan harapan dengan menulis begini: Seorang wartawan Islam perlu sedar dia adalah seorang pelapor yang merakamkan kejadian sebenar seperti lensa kamera; mereka sentiasa merasai diri dalam pemerhatian Allah SWT. ************************ Wartawan Islam dibatasi dengan hukum-hukum syariat halal-haram. Seorang wartawan Islam itu sekali gus seorang pendakwah. Lembut lidah pendakwah dalam menyampaikan risalah Allah, lembutlah bahasa wartawan. Tinggi hemah ulama, tinggilah hemah wartawan. Tajam pandangan ulama,, tajamlah pandangan wartawan. Keras ulama mencegah kemungkaran, begitulah sikap wartawan. Wartawan juga perlu menjawab segala kebohongan yang dilemparkan terhadap Islam. ************************* Berikut adalah sebahagian daripada etika kewartawanan Islam yang boleh dijadikan panduan: ******************** 1. Betulkan niat iaitu bekerja semata-mata untuk mencari keredaan Allah. *************************** 2. Memulakan setiap kerja dengam Bismillah dan apabila selesai mengucap Alhamdulillah. ***************** 3. Berada di medan penulisan kerana melaksanakan kewajipan dan fardu kifayah. ******************* 4. Kekalkan pendirian menulis hanya atas dasar kejujuran. 5. Bercita-cita menegakkan yang makruf dan mencegah/ menentang kemungkaran. *********************** 6. Melaksanakan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia dengan mengambil kira hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Membenci dan meninggalkan perkara yang haram dan makruh. ******************** 7. Menimba ilmu Islam melalui pengajian (berguru) di samping pembacaan dan pemerhatian. *************************** Nah, terbukti sudah bahawa menjadi wartawan boleh menjadi ladang untuk kita menambah koleksi pahala. Demikian juga melalui pembacaan. Namun semuanya terletak di tangan kita, pilihlah akhbar yang menepati kehendak agama sama ada kita sebagai wartawan atau pembaca. *********************** Sempena tahun baru ini yang bermakna umur kita semakin ‘singkat’ marilah kita menambah koleksi pahala sebagai insan Islamik (pengamal ajaran Islam sepenuhnya); termasuklah bagi mereka yang bergelar wartawan dan mereka yang kegemarannya membaca!

Friday, December 28, 2012

Gila pamer gambar, gila mengampu…

********************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ********************* Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." ******************* SEKARANG ini tiang-tiang elektrik di tengah dan tepi jalan raya menjadi sasaran sesetengah pihak yang begitu ghairah mempamerkan gambar pemimpin tertentu. Tiang elektrik digantung ‘banner’ (sepanduk) dan 'bunting' memanjang dengan gambar pemimpin utama negara tersengih di depan manakala pemimpin negeri tersengih di belakang. ************************ Tentunya gambar yang digunakan adalah yang terbaik (mungkin sudah di’touch up’) daripada koleksi pemimpin berkenaan. Kelihatan berseri-seri dan ‘handsome’nya mereka. Latar belakang ‘banner’ itu pula diungkapkan pelbagai kata-kata memancing sokongan atau menunjukkan kehebatan mereka mentadbir negara dan negeri. ******************** Juga kedapatan ‘banner’ serta 'bunting' gambar isteri pemimpin negara dengan ‘wajah ayunya tersenyum’ di tiang-tiang elektrik. Tertera perkataan menyatakan bahawa wanita hebat tersebut adalah penyeri kepada majlis pihak tertentu. Sama seperti gambar si suami yang ‘handsome’, gambar si wanita itu mungkin yang terbaik dimilikinya – berwajah cantik persis primadona. Kemungkinan juga gambar si wanita ini sudah di’touch up’ bagi menampakkan keayuan si pemiliknya. ******************* Demikianlah apabila sudah hampir benar pilihan raya, semakin tak keruan sesetengah pihak yang ada kepentingan. Menyaksikan gambar pemimpin dan isteri (seorang saja yang saya ketahui setakat ini) di tengah-tengah dan tepi jalan raya mengingatkan saya pengajian mingguan seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya yang mengupas hadis-hadis diriwayatkan Imam Tirmidzi dan disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi melalui kitabnya Bahrul Mazi. ****************** Baru-baru ini ustaz itu mengupas hadis berkenaan gambar yang antara lain bermaksud: “Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w. melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu daripada wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w. kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." ********************* Apa yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini adalah sesuatu yang mempunyai roh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yang tidak mempunyai roh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yang membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatat amal dan malaikat maut tiadalah berpisah mereka daripada seseorang anak Adam. *************************** Ya, kata ustaz, malaikat maut iaitu Israil tetap akan mencabut nyawa seseorang dalam rumahnya sama ada di dalam rumahnya ada gambar atau tidak. Demikian juga dalam sesebuah rumah ada patung, malaikat maut tidak peduli itu semua. ************************** Mendengar penerangan ustaz itu, sebaik saja berada di rumah hari itu, segera saya turunkan bingkai gambar saya sekeluarga yang berdiri di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu. Demikian juga beberapa gambar lain termasuk gambar anak-anak menerima sijil dan ijazah mereka. ************************ Seorang sahabat sekuliah di masjid juga mengakui dia sudah menurunkan gambar-gambar yang digantung di dinding rumahnya. Antaranya gambar dia sekeluarga semasa anaknya menerima ijazah universiti. Katanya apabila si anak itu balik, dia marah-marah, bertanya kenapa diturunkan gambar-gambar kenangan itu. Lantas dia berkata, “Itu tak boleh nak, dulu bapak jahil, kini bapak dah dimaklumkan ustaz mengenai hal itu. Jadi kita ikut dan taatlah!” *************************** Ya, jika gantung gambar di rumah ada larangannya, bagaimana kesukaan dan kecenderungan sesetengah pihak sekarang yang gemar sekali mencari publisiti murahan dengan menggantung gambar pemimpin di tiang-tiang elektrik malah di mana saja ada kesempatan. Hampir sudah pasti pihak yang terbabit dalam kerja-kerja penggantungan gambar ini, mempunyai kepentingan masing-masing; ada yang mencari peluang untuk membodek pemimpin, 'moga-moga aku dipilih sekali lagi menjadi calon PRU, lebih baik lagi jika ke kedudukan lebih tinggi'. Jika dulu hanya Adun, manalah tahu tuah badan, jadi ahli Parlimen pula; jika dulu timbalan menteri melalui 'pintu senator' apa kata kali ini jadi ahli Parlimen lantas jadi menteri. Jika dulu ketua menteri atau menteri besar, mana tahu tuah badan akan menjadi menteri. ************************* Hakikatnya, perdana menteri sendiri sudah tercungap-cungap dan cemas akan kedudukannya selepas PRU13 ini, maka tak usahlah 'terover bodek'. PM punya nasib pun dia sendiri tak tahu, jadi tak payahlah terlalu bergantung dan menaruh harapan padanya. Bergantunglah hanya pada Allah SWT (usahlah gantung banyak-banyak gambar di jalan raya tu), nescaya selamat dunia dan akhirat!

Wednesday, December 26, 2012

Kembali ke sekolah dengan pendidikan percuma tawaran Pakatan

******************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ********************** "Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah Ayat 11) ******************* Musim cuti hujung tahun akan tamat dan para pelajar akan kembali ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi meneruskan pengajian. Diucapkan selamat belajar kepada mereka. **************************** Bagi ibu bapa pula, kembalinya anak-anak ke sekolah, bermakna mereka perlu menyediakan peruntukan kewangan yang bukan sedikit. Bagi seorang anak yang bersekolah rendah harian dan sekolah agama rakyat (biasanya pada sebelah petang), persediaan kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan beg serta pembelian buku kerja dan tulis serta yuran PIBG boleh meningkat sehingga RM500. ******************************* Bagi seorang anak yang bersekolah menengah dan menetap di asrama pula, pembayaran yuran seperti PIBG dan makan boleh meningkat sehingga RM1,000. Apa tidaknya, bagi yuran makan saja seorang pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan lebih RM5,000 sebulan, bayaran bagi sehari adalah RM3; jadi sepanjang tempoh persekolahan yang lebih 200 hari setahun, yuran makan mereka saja sudah mencecah RM600. ******************************* Bagi mereka yang baru memasuki atau menyambung pengajian di IPT, peruntukan kewangannya tentu lebih tinggi, yuran pengajian sesetengah universiti awam boleh mencapai RM1,500 satu semester manakala bagi bagi universiti swasta boleh mencecah RM30,000. ******************************* Sudah tentu keadaan ini sangat membebankan pelajar dan ibu bapa mereka. Kini pelajar kita mempunyai akses kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi perlu diingat, ia dalam bentuk pinjaman, pelajar dikehendaki membayar balik selepas menamatkan pengajian, sesetengah bekas pelajar begitu terbeban, apatah lagi ada yang masih tidak mendapat pekerjaan setelah bertahun-tahun menamatkan pengajian. *********************** Berhubung beban pendidikan ke atas ibu bapa dan pelajar ini, kita tertarik dengan tawaran Pakatan Rakyat bahawa mereka berupaya melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi menyediakan pendidikan percuma, pengkaji Pakatan berpendapatan penjimatan seperti penghapusan konsesi tol lebuh raya seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga berupaya menjana sehingga RM5 bilion setiap tahun dapat membantu usaha ke arah itu. Demikian juga dengan penjimatan di bidang lain dan sumber perolehan seperti dana Petronas. *********************** Berhubung pendidikan percuma ini, kita berharap ia benar-benar dilaksanakan bukan hanya gah dari segi ungkapan saja. Dulu diuar-uarkan pendidikan adalah percuma hakikatnya pihak berkenaan hanya memansuhkan yuran persekolahan RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan di sekolah menengah dengan bayaran yang lebih sedikit daripada itu. ************************ Tentunya rakyat berharap pendidikan percuma dalam erti kata sebenarnya dan perkara inilah yang ditawarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat termasuk oleh tokoh yang sering disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika Pakatan menawan Putrajaya, bahawa jika di peringkat pengajian tinggi, pendidikan percuma itu merangkumi pemberian kos sara hidup kepada mahasiswa. ************************* Katanya, “kalau setakat beri yuran percuma, itu bukan pendidikan percuma, itu namanya yuran percuma dan apabila saya sebut pendidikan percuma, ia bermakna kos sara hidup turut diberi dan ini merangkumi penginapan percuma. ********************* "Kita mahu laksana dasar pendidikan percuma difitnah kononnya membankrapkan negara, pemimpin besar yang ‘mentekadarah’ wang rakyat berbilion ringgit diangkat pula konon perjuang orang Melayu. **************************** “Apabila kita laksana pendidikan percuma ia turut dimanfaatkan bukan setakat Dayak, Kadazan, Iban atau Cina miskin, malah Melayu juga turut mendapat faedahnya,” tegasnya yang juga berkata pendidikan percuma tanggungjawab Kerajaan Pusat. ********************* Pakatan Rakyat memberi jaminan akan mereformasi sistem pendidikan negara bagi menjayakan dasar pendidikan percuma itu dan di peringkat pengajian tinggi berazam menghapuskan pinjaman PTPTN. ************************* Tentunya usaha murni ini hanya dapat direalisasikan jika Pakatan Rakyat dapat mentadbir kerajaan Pusat; oleh itu diharapkan rakyat dapat memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada mereka dalam pilihan raya akan datang. Ubah sekarang kerana hanya rakyat saja dapat mengubah nasib mereka!