Thursday, May 5, 2022

Syawal 4, 1443: Kewajipan suami lindungi isteri

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Siapa yang hijrahnya menuju Allah dan Rasul-Nya, maka ia akan mendapati Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya untuk mendapatkan dunia, maka ia akan mendapatkan dunia itu. Dan, siapa yang hijrahnya untuk mendapatkan seorang perempuan untuk dinikahi, maka ia akan mendapatkan perempuan itu." (HR Bukhari-Muslim daripada Umar bin Khathab)


KEWAJIPAN SUAMI MELINDUNGI ISTERINYA

Barang siapa membimbing isterinya meskipun hanya dengan satu perkataan, nescaya Allah membebaskannya belenggu api neraka daripadanya, mewajibkan baginya masuk syurga, ditetapkan baginya 100,000 kebaikan dan diangkat baginya 100,000 darjat.


Ishak bin Ammar bertanya kepada Imam Ja'far al-Shadiq tentang hak isteri ke atas suaminya. Jawab Imam, "Mengenyangkan perutnya (memberi makan), memberikan pakaian, dan memaafkannya jika ia (berbuat) bodoh."


Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidakkah seorang hamba (mencari nafkah), lalu kemudian memberikannya kepada isterinya, kecuali akan membalasnya dengan 700 kali lipat daripada nafkah yang ia berikan kepada isterinya."


Selain itu, Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik umatku, adalah tidak mementingkan diri terhadap keluarganya, sentiasa merindukan mereka, serta tidak menzalimi mereka."


Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan ayat berikut yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerananya Allah telah melebihkan sebahagian mereka (suami) atas sebahagian lainnya (isteri), lantaran mereka (suami) adalah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. 


Kerana itulah, adalah isteri yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana itu Allah telah memelihara mereka." (QS. An-Nisa', ayat 34) - Majalah HIDAYAH Rabiulawal 1432(Mac 2011)

Wednesday, May 4, 2022

Syawal 3, 1443: ‘Usah jadi hamba Ramadan’


ALLAHU AKBAR...Allahu Akbar...Allahu Akbar...Laa ilaaha illallaahu Allaahu Akbar...Allahu akbar wallilaah ilhamd...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

Ayat 96 Surah Al-A’raaf bermaksud: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”


Bersyukur ke atas hadrat Illahi di atas kurnia dan limpah rahmat-Nya maka kita kita berjaya melalui fasa Ramadan dengan jayanya (isya-Allah) dan kita bersama-sama menyambut lebaran, Aidilfitri. Diucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri (Minal aidzin wal faizin), dipohon keampunan bagi segala kesalahan dan kesilapan kami.


Berlalunya Ramadan bukan bermakna berlalunya segala kebaikan dalamnya. Ramadan adalah sebuah universiti atau madrasah yang mendidik atau melatih dan melengkapkan diri untuk menempuh cabaran dalam penghidupan. Alangkah ruginya jika kehadiran Ramadan dijadikan jambatan untuk mengaut segala kebaikan dijanjikan tetapi selepas itu, kehidupan kita adalah sama seperti sebelum kedatangan Ramadan.


Tetapi berdasarkan pengalaman lalu, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita, terutama membabitkan orang Melayu. Salah satu kayu pengukur mengenai perkembangan ini adalah berdasarkan kehadiran jemaah di masjid. Jika sebelum Ramadan, kehadiran jemaah adalah tersangat kurang sehingga untuk memenuhi saf pertama pada solat waktu pun sukar, kehadiran Ramadan menceriakan masjid tetapi selepas solat sunat Aidilfitri, masjid akan kembali menjadi terlalu sepi; mungkin terpaksa menunggu kebanjiran pengunjung pada Ramadan tahun berikutnya.


Ibadat lain yang menjadi kelaziman ketika Ramadan seperti bertadarus dan membaca al-Quran juga seolah-olah sudah sampai ke penghujung, demikian juga amalan kebaikan lain seperti bersedekah. Sebaliknya, sebalik saja fajar senja Ramadan berlabuh, bermulalah atau bersemaraklah kehidupan melalaikan antara lain program hiburan melampau oleh sesetengah pihak termasuk televisyen.


Cendekiawan Islam antaranya, Abul A’laa Al-Maududi dan Sayid Qutb memberi amaran keras kepada ummah agar mengambil Islam sepenuhnya atau meninggalkan Islam semuanya. Ilmuan Islam kontemporari, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi pula mengingatkan janganlah hendaknya umat Islam menjadi hamba Ramadan sebaliknya menjadi hamba Allah SWT. Apa yang dimaksudkan cendekiawan ini, umat Islam perlu mengikuti dan melaksanakan hukum hakam (perintah dan larangan Allah SWT) sepanjang masa dalam kehidupan mereka, bukan hanya beriya-iya pada Ramadan saja.


Tarbiyah Ramadan sewajarnya sudah dapat melengkapkan seseorang atau pihak itu untuk menjalani seluruh kehidupan mereka berdasarkan kehendak Islam. Apa yang dikehendaki Islam itulah diikuti dan patuhi sejajarnya dengan doa dalam solat yang antara lain bermaksud; “Sesungguhnya hidup dan matiku hanya untuk Tuhan seru sekalian alam.”


Apabila perkara ini difahami, kita insaf seluruh tingkah-laku (kehidupan) kita tidak terlepas daripada hukum-hakam Allah SWT. Perkara ini termasuklah kehidupan berpolitik, yang sesetengah pihak masih segan-segan mengaitkannya dengan kehendak agama. Mereka berpendapat politik lain, agama lain. Hakikatnya politik itu terletak di bawah kehendak Islam – semuanya sudah ditunjuki oleh penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang telah membawa segala perkhabaran gembira mengenai Ramadan itu.


Jika janji-janji Ramadan seperti ganjaran berlipat ganda ke atas setiap kebaikan dan kehebatan Lailatulqadar yang melebihi 1,000 bulan kita yakini, maka mengapa tidak tunjuk ajar Rasul dalam segala bidang penghidupan seperti berpolitik? Apakah kita masih mahu menganggap politik itu berasingan daripada kehendak agama?


Sehubungan itu, pada masa kita gembira menyambut Aidilfitri, marilah kita bermuhasabah diri apakah kehidupan kita sekarang 100 peratus mengikut acuan Islam, atau kita pandai-pandai mengurangi dan mencukupinya. Pergunakanlah baki usia kita untuk berada di jalan-Nya kerana kita cukup takut, jangan-jangan Ramadan yang baru berlalu itu adalah yang terakhir buat diri kita. Selamat Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


ALLAHU AKBAR...Allahu Akbar...Allahu Akbar...Laa ilaaha illallaahu Allaahu Akbar...Allahu akbar wallilaah ilhamd...

Tuesday, May 3, 2022

Syawal 2, 1443: Buru 5 lagi raya selepas Aidilfitri...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan


"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


TIDAK lama dahulu, dalam tazkirahnya, seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya, berkata ada lima hari raya perlu diburu oleh setiap Muslim. "Ini adalah hari raya sebenar, bekerja keraslah untuk mendapatkannya," katanya.


"Raya pertama boleh kita raikan jika hari kita berakhir dengan kita bebas daripada melakukan dosa, tidak kira yang kecil atau besar," katanya. "Ini mustahil kerana tiada siapa pun, kecuali Nabi s.a.w., akan senantiasa membuat dosa. Jadi, tiada hari kita dapat raikan hari raya, tetapi kita mesti bekerja keras untuk itu.


"Jika tidak dapat hari ini, cuba lagi keesokan hari, jika gagal cuba lagi pada hari berikutnya sehinggalah kita meninggalkan dunia ini, matilah," katanya.


"Yang kedua, kita boleh meraikan hari raya jika dapat mati dalam iman. Ringkasnya kita mati dalam 'husnul khatimah'.  Inilah hari raya terbesar untuk kita detik kita meninggalkan dunia buat selama-lamanya," kata sang ustaz.


Hari raya ketiga, kata ustaz itu, jika kita berjaya melalui 'siratul mustakim'. Seorang mukmin, insya-Allah dapat minum dari Telaga Khausar Nabi sebelum mereka menuju jambatan 'sirat', katanya.


Raya keempat adalah apabila kita berjaya memasuki syurga Allah SWT manakala raya kelima adalah yang terbesar dan terhebat apabila Yang Maha Berkuasa reda terhadap kita dan Dia memperkenankan kita menatap wajah-Nya Yang Maha Agung.


"Jadi burulah lima hari raya ini sehingga sepenuh keyakinan datang kepada kita (mati). Inilah hari raya sebenar, berusahalah sekuat mungkin selagi hayat masih di badan (berada di dunia)," kata ustaz.


Nasihat ustaz mengenai lima hari raya ini perlu kita jadikan iktibar. Seorang tok guru yang disegani pula berkata menyambut hari raya adalah satu ibadat, jadi untuk berada di landasan yang betul, lakukannya mengikut apa yang disuruh oleh agama dan jauhkan daripada apa yang dilarang oleh agama.


"Kenapa kita sambut hari raya?" tanyanya. "Antaranya kita mahu bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadan. Kita boleh bergembira dalam menyambutnya tetapi bukan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam."


Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa menyambut hari raya adalah satu ibadah, bukan budaya atau menjadi menjadi pak turut seperti yang berlaku sekarang ini. Katanya, hari raya Aidilfitri itu satu hari saja di mana Allah SWT mengharamkan manusia berpuasa pada hari itu. Pada hari kedua Syawal itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa, jadi itulah garis pemisah hari raya itu dan hari biasa.


Tidak menjadi kesalahan untuk meneruskan kemeriahan hari raya seperti kunjung mengunjung saudara dan sahabat handai tetapi semuanya hendaklah dilakukan dalam batasan agama, katanya.


Bagaimanapun, apa yang berlaku, katanya, sambutan hari raya sudah menjadi satu budaya dan bukan berdasarkan tuntutan agama. Banyak perkara dilakukan bertentangan dengan kehendak agama.


"Garis panduan sambutan hari raya mudah saja," kata tok guru. "Lakukan yang disuruh oleh agama dan tinggalkan apa ditegah."