Saturday, April 3, 2021

Syaaban 20, 1442: Negara berjaya jika pemimpin, rakyat bertakwa (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


BERHUBUNG kemelut politik sekarang, saya teringat antara ungkapan terbaik seorang sarjana Islam, Abul A'Ala Maududi bahawa tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.   


Maududi berkata kuasa mutlak hak Allah...kita jangan cuba sesekali LARI daripada hakikat ini. Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah. 


Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. 


Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan. 


Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. 


Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. 


Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin. 


Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut. 


Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya. 


Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah). 


Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah. 


Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran. 


Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri. 


Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah. 


Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini. 


Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam. 


Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat. 


Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. 


Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. 


Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. 


Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. 


Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. 


Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. 


Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. 


Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. 


Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. 


Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. 


Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. 


Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. 


Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. 


Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. 


Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. 


Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. 


Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik.

Friday, April 2, 2021

Syaaban 19, 1442: Usah jadi samseng, hidup-mati tersangatlah dekat...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


TIDAK lama dahulu seorang anak buah saya meninggal dunia. Ketika membantu menyempurnakan pengkebumian jenazah, terutama ketika menimbus kuburnya, insaflah saya bahawa keberadaan kita di atas dunia ini dan di bawah sana (dalam bumi) adalah tersangat dekat, jadi mengapa kadang-kala kita (termasuk penulis sendiri) begitu sombong dan samseng dalam menjalani kehidupan.


Sebagaimana sebuah iklan biskut menyebut "kejap ada, kejap tiada" - demikianlah hidup kita di dunia ini terlalu singkat untuk kita berbuat zalim termasuklah dalam berpolitik. Mengapa kita terlalu terkejar-kejar akan matlamat kita hendak mendapat 'segala yang dilihat sebagai keindahan dunia' sedangkan jika direnungkan bersungguh-sungguh dengan hati terbuka, apa yang kita buru itu  bukanlah benar-benar kita perlukan.


Saya terpanggil untuk menukilkan kembali kisah yang kerap diulang-ulang ini - perbualan seorang hartawan dengan doktor peribadinya dalam satu sesi rawatan. Bertanyalah si hartawan yang menderita pelbagai penyakit termasuk kencing manis itu, "Boleh saya makan daging?" "Tak," kata si doktor. "Ayam?" "Tak boleh." "Durian?" "Tak boleh." "Burger?" "Tak boleh." "Ketam?" "Tak boleh." "Udang?" "Tak boleh." "Kambing?" "Apa tuan nak..."


"Habis apa boleh saya makan?" laung si hartawan geram. "Tu biskut kering sana," kata sang doktor selamba.


Berlawanan dengan si hartawan, seorang lelaki pokai pula boleh 'baham' apa saja. Ayam, durian, rambutan semuanya boleh 'dirembatnya'. Pantang jumpa, namun masalahnya duitnya tidak sentiasa cukup pula untuk membeli makanan tersebut.


Demikianlah, dunia ini bukanlah kita punya untuk kita berdabik dada bangga termasuk dalam politik sehingga kita membenarkan matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli) termasuklah menggunakan kaedah samseng, almaklum kuasa berada di tangan kita yang berada di puncak.


Kadang-kala ketika duduk sendirian atau memandu kereta termenung panjang saya selepas menghayati lagu 'Terbang Helang' nyanyian Allahyarham Dato' Sharifah Aini yang berkumandang di corong radio; saya berpendapat ia sangat tepat untuk ditujukan kepada orang dan pihak sombong termasuklah diri penulis ini.


Terbang helang 

Di angkasa nan luas

Terbang sang helang bebas

Menebarkan sayapnya

Sungguh megah lagaknya

Helang mendabik dada

Membelahi angkasa

Dengan gaya perwira


Bila saja engkau menghampiri 

Burung lain terbang lari

Kau merasakan dirimu gagah

Hak yang lain tak kau endah

Mengganas kau di angkasa

Dengan gaya perwira


Terbanglah engkau tinggi 

Sampai ke mana lagi

Ingin engkau jelajahi

Sehingga kau terlupa

Yang tinggi jatuh jua

Bila tiba ketika

Kau ke tanah akhirnya


Usah kau lupa diri 

Bahawa langit itu tinggi

Nanti lemas sendiri

Nanti lemas sendiri



Thursday, April 1, 2021

Syaaban 18, 1442: Buat silap, jangan salahkan orang lain...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


SERONOK benar saya mendengar celoteh Tuan Guru dalam kuliah maghrib-isyak di sebuah masjid berhampiran rumah saya baharu-baharu ini. Beliau mensyarahkan punca iblis laknatullah binasa dan sebab Nabi Adam a.s. bahagia. 


Iblis jatuh celaka kerana dia tidak mengaku sudah berbuat dosa, tak sedih selepas melakukan dosa, tak mencela diri sendiri, tidak ada niat serta azam bertaubat dan putus asa atas rahmat Allah. Ringkasnya iblis sombong dan takabur. 


Sebaliknya Nabi Adam a.s. berbahagia sebab mengaku buat silap, segera bertaubat, tidak putus asa, tawaduk lantas menjadi makluk pilihan. 


Nabi Adam a.s. tersilap melanggar perintah Tuhan dengan memakan buah kuldi. Baginda bertaubat bersungguh-sungguh. Dia tidak berputus asa, taubatnya bukan setahun dua tetapi puluhan tahun. Akhirnya taubatnya diterima Allah, maka berbahagialah dia dan isterinya Hawa sehingga ‘membenihkan’ zuriat yang kini dinamakan manusia.


Adam a.s. mengaku silap dan memohon keampunan Allah SWT sekalipun baginda seorang Nabi. Berhubung topik Nabi Adam a.s. secara kebetulan seorang lagi tuan guru dalam ruangan Tafsir al-Qurannya tidak lama dahulu mengulas perkara yang sama antara lain menulis: “Qotadah berkata, Adam a.s. merayu kepada Allah SWT: ‘Wahai Tuhanku, apakah pendapat-Mu jika aku bertaubat dan minta ampun dengan-Mu atas keterlanjuran aku lakukan sebelum ini’?” 


Allah berfirman: “Kalau begitu Aku akan masukkan engkau ke dalam syurga (semula suatu hari nanti.” Adapun iblis, dia tidak pernah bertaubat kepada Allah SWT selepas insiden perintah sujud hormat kepada Adam a.s. Kerjanya hanya menghasut anak Adam a.s. supaya mereka sesat sebagaimana dirinya sesat. 


Nah, jika Adam a.s. mencela diri baginda dan tidak salahkah orang lain; bagaimana pendirian pendirian dan sikap diri kita termasuk pemimpin dalam menangani kesilapan yang sudah kita lakukan? Kebanyakan daripada kita mencari kambing hitam dalam hal yang sepatutnya kita bertanggungjawab atau dipertanggungjawabkan. 


Dalam rumah tangga misalnya, si suami asyik menyalahkan si isteri jika anak-anak bermasalah; jarang benar dia mengaku tersilap lantas mencela dirinya sendiri seterusnya bertaubat. Begitu juga dalam negara, pemimpin asyik salahkan pihak lain jika berlaku masalah sedangkan ikhtibar daripada kisah Nabi Adam a.s., baginda tak salahkan sesiapa pun tetapi salahkan diri sendiri lantas bertaubat kepada Allah SWT. 


Negara kita kini dilanda masalah sosial tenat – daripada kes pembunuhan yang menjadi-jadi kepada kegiatan samseng parti politik – namun pemimpin tidak melihat apatah lagi mengaku bahawa perkara menyimpang ini puncanya terletak di tangan mereka. Apa yang berlaku dalam masyarakat adalah cerminan kehidupan pemimpin. Jika pemimpin baik, insya-Allah rakyatnya akan baik, begitulah sebaliknya. 


Dikatakan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang amat warak, negara begitu aman damai sehinggakan serigala boleh menggembala kambing! Kutipan zakat sukar diagihkan kerana hampir tiada orang berhak menerimanya.


Namun begitu jika pemimpin berperangai ‘macam syaitan’, rakyat lagi teruklah keadaannya. Kata pepatah Melayu, bapa borek anak rintik atau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari. 


Pemimpin mempunyai saham dalam cara hidup negatif ini, jadi usahlah mereka menuding jari kepada pihak lain seperti menuduh pembangkang kerana apabila mereka berbuat begitu, tiga lagi jari menuding ke arah mereka sendiri. Insaflah kuasa kini di tangan awak bukan pembangkang!


Ambil contoh semasa, pemimpinlah yang menyuburkan budaya berhibur dalam masyarakat sehingga seorang pembesar sanggup merendahkan martabatnya untuk menyertai rakyat menyaksikan tarian gangnam (kuda) oleh artis luar Psy dan bagi membolehkan hal ini berlaku jutaan ringgit terpaksa dihabiskan. Tak kiralah siapa membuat pembiayaan, hakikatnya rakyat mahu dilekakan dengan perkara yang jelas tiada kepentingan. 


Jika seseorang pemimpin tidak bijak membuat penilaian apa yang baik (menguntungkan) dan tidak baik (tidak menguntungkan) bagi dirinya dan orang dipimpinnya di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengaku kesilapannya dan bertaubat seperti dilakukan oleh Nabi Adam a.s., maka apakah sewajarnya dia terus dimartabatkan sebagai pemimpin? 


Perkara ini amat bahaya dan merugikan orang bawahan kerana di akhirat kelak seseorang itu akan dikumpulkan bersama orang dikasihinya termasuk pemimpin. Bertanya dan jawablah secara jujur kepada diri kita sendiri apakah di akhirat nanti kita mahu dikumpulkan dengan pemimpin yang menyemarakkan tarian kuda atau kita mahu menyertai pemimpin yang mengajak kita kepada pengamalan ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan?