Monday, September 30, 2019

Rumah tangga 11: Berhijrah dengan muhasabah diri, keluarga...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan, yang telah menciptakan manusia daripada bibit ('alaq). Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, yang mengajarkan dengan qalam (dengan alat tulis baca), mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq, 96: 1-5)

TANGGAL 1 September lalu bermulalah tahun baru 1441 Hijrah. Tahun baharu bermakna semakin kuranglah umur kita - diri kita semakin hampir untuk menemui Allah SWT, kata seorang ustaz dalam tazkirahnya di masjid berhampiran rumah penulis.

Sempena tahun baharu ini, alangkah eloknya kita bermuhasabah diri, merenung apa yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dan sebelumnya serta berusaha untuk melakukan yang terbaik sekarang ini, selagi hayat masih dikandung badan.

Bijak pandai membahagikan masa kepada tiga keadaan - semalam, hari ini dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok hanya Dia yang mengetahuinya. Apa yang ada pada kita adalah hari ini, itulah modal kita yang perlu digunakannya semaksimum mungkin untuk mencipta bahagia pada hari muka.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, dalam mengharungi kehidupan kita memerlukan panduan-Nya. Panduan itu telah pun disampaikan kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Daripada sinilah kita dapat mengukur sama ada kehidupan kita berada di jalan benar atau sudah terpesong jauh kerana Nabi s.a.w. pernah mengungkapkan bahawa jika kita berpandukan al-Quran dan hadisnya kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Bagi memulakan muzakarah, eloklah kita mulai menyemak diri sendiri dan keluarga kita. Disebabkan dalam dunia moden ini, hampir semua orang bercakap mengenai pendapatan (anak-anak muda sekarang menamakannya wang masyuuk), bertanyalah kepada diri sendiri secara jujur apakah sumber perolehan kita halal.

Berdasarkan pengamatan kita, ramai juga orang Islam tidak peduli akan sumber halal/haram pendapatan mereka. Ada yang terbabit dalam maksiat secara nyata seperti merompak, melacurkan diri, terbabit dalam operasi najis minuman keras, dadah dan perjudian tetapi sejumlah lagi walaupun mempunyai pekerjaan mulia seperti pemimpin negara, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ketua kampung, malahan guru, ustaz dan penulis juga terbabit dalam amalan keji seperti rasuah, menerima wang haram, menyalahgunakan kedudukan dan sebagainya.

Jika rezeki kita daripada sumber yang haram bagaimana kita mahu membina keluarga bahagia atau istilah polular sekarang, rumahku syurgaku? Pada peringkat ini saja kita sudah sangkut, jadi usahlah sibuk untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang sekali gus anak soleh yang doanya akan menjadi dambaan ibu bapa apabila kita berada dalam kubur nanti jika kita masih bergelumang, bermati-matian mencari rezeki di lubuk yang haram.

Kemudian marilah kita mengkoreksi keluarga kita, adakah kehidupan yang kita jalani menepati jalan hidup Rasulullah s.a.w. Kita ambil bab paling penting iaitu solat. Jika ibu bapa liat untuk solat, bagaimana anak-anak mahu solat? Ambil waktu subuh sebagai contoh. Ada pak haji boleh bangun awal untuk ke masjid, tetapi anak siapakah itu yang masih dibuai mimpi bersama syaitan sehingga matahari sudah tersembul di langit? Apakah pak haji seorang saja mahu masuk ke syurga sedangkan anak-anak dibiarkan mencari jalan ke neraka?

Mak aji juga bagus, dapat bersolat subuh awal waktu, tetapi bagaimana anak-anak dan cucu-cucu?  Mak aji ketika ke bandar, berpakaian tudung labuh, bagus tetapi siapakah anak gadis di sisinya yang berpakaian seluar sendat dengan baju-T tanpa lengan dengan rambutnya berwarna bulu jagung (diwarnakan)? Apakah mak aji sahaja mahu ke syurga, anak dan cucu dibiarkan menempah laluan ke neraka?

Selain koreksi diri, koreksilah si anak-anak, apakah mereka solat lima waktu sehari? Jawapannya sangat mendukacitakan, satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus anak-anak muda solat, bakinya bagaimana? Kemudian periksa rukun Islam lain, sudah disempurnakan oleh kita dan anak-anak?

Bagaimana puasa kita, bagaimana zakat kita; sudah hajikah kita? Apakah kita tergolong dalam jenis orang yang sudah ke London, Paris, New York dan Hatyai tetapi ke Makkah saja saya belum?

Sesudah puas kita mengkoreksi diri sendiri dan keluarga, renunglah rumah jiran kita. Apakah kita hidup berjiran berpandukan ajaran Rasul. Apakah kita daripada jenis yang makan kenyang, jiran kelaparan kita tidak 'ambil pot'? Ataupun kita tidak langsung kenal jiran kita, ataupun kita jenis suka berkelahi dengan jiran membabitkan hal-hal seperti rumput karpet, pokok, bunyi bising dan binatang peliharaan.

Kemudian tanyalah diri sendiri sama ada kita jenis yang tidak boleh kalah dengan jiran. Jika jiran pakai Kancil kita pakai Rusa; jika jiran pakai Wira kita pakai Perdana; jika jiran berperabot jati, kita order perabot dari Itali. Persaingan ini memerlukan wang yang banyak, jika wang gaji tidak cukup, kita pun 'bedal' wang rasuah, wang pelincir, wang ehsan dan sebagainya.

Demikianlah manusia dilahirkan tamak, tidak akan puas sehingga tanah memasuki hidung dan mulut (berada dalam kuburlah) atau sudah diberikan satu gunung atau lembah emas, dia mahu tiga atau empat lagi. Sehubungan dengan nafsu jahat diri saya dan tuan puan ini, sempena tahun baru Hijrah 1441, marilah melakukan muhasabah dengan mengkoreksi diri dan keluarga sendiri dulu sebelum terjun ke gelanggang masyarakat, bangsa, negara dan ummah.

Friday, September 27, 2019

Rasuah, perkauman ancaman utama negara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


TIDAK lama dulu penulis berpeluang berbual mengenai masa depan negara dengan seorang pemuda Cina berkelulusan ijazah sarjana muda pengkhususan bahasa Inggeris Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penulis tertarik apabila dia memberitahu ada dua perkara utama yang jika tidak ditangani secara bijaksana akan mengugat masa depan negara. Hal itu adalah rasuah dan isu perkauman yang boleh menyebabkan masalah besar kepada negara.

Katanya, rasuah belum berada pada tahap terburuk seperti di sesetengah negara terlalu korup tetapi ia boleh menuju ke arah itu. Rasuah di Malaysia dari persepsi umum masih dilihat sebagai suatu kesalahan jijik dan syukurlah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat serius dalam memeranginya.

Janganlah hendaknya jenayah ini tahapnya menghampiri sesetengah negara yang mana ia sudah menjadi cara hidup (budaya); tiada rasuah semua kerja tidak dapat dibereskan. Mereka tidak melakukan sogokan (rasuah) di bawah meja, tetapi di atas meja!

Di negara kita, sesetengah parti politik bermain bahasa; mereka menamakan rasuah sebagai politik wang; hal ini perlu dihentikan segera. Istilah politik wang telah mengurangkan kejijikan kepada rasuah; sesetengah orang dan pihak melihatnya sebagai tidak ada apa-apa (bukan satu kesalahan), jadi mereka yang terbabit masih kekal di jawatan tertinggi parti.

Bagi pemuda ini perkembangan ini sangat bahaya; pihak terbabit seolah-olah membenarkan perlakukan rasuah dalam masyarakat, sepatutnya rasuah dibanteras habis-habisan. Mereka yang bersalah sewajarnya dihukum tanpa mengira bulu. Jika ini tidak dilakukan, lambat laun, rasuah bukan lagi dilakukan di bawah meja tetapi di atas meja. Apabila ini berlaku, maka punahlah negara, katanya.

Selain rasuah, polirasi kaum yang semakin ketara juga membimbangkan masa depan negara, katanya. Beliau berpendapat generasi muda yang sentiasa terdedah kepada maklumat terkini tetapi kurang mengetahui apatah lagi menghayati sejarah pembentukan negara mahu melihat kesamaraataan dalam segenap segi.

Dalam bahasa mudah, generasi muda berpegang kepada meritokrasi; mereka gagal melihat keperluan mengutamakan atau memberi keistimewaan kepada golongan tertentu. Hal ini perlu disedari kerana generasi muda ini lahir, kemudian membesar di negara ini, jadi sebarang perbezaan layanan dan keistimewaan kepada kumpulan tertentu tidak dapat diterima mereka.

Sekalipun sensitif, jalan keluar perlu dicari bagi meleraikan permasalahan ini, katanya. Beliau berpendapat kanak-kanak di tadika, yang suci bersih itu, bebas daripada polirasi kaum, tetapi semakin mereka membesar; suasana dan persekitaran melebarkan jurang antara kaum.

Misalnya dalam mengharung dunia pendidikan, seseorang kanak-kanak Melayu akan ke sekolah kebangsaan; kanak-kanak Cina berkemungkinan besar ke sekolah jenis kebangsaan Cina manakala kanak-kanak India akan ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Pengasingan ini akan menyebabkan jurang antara kaum meluas tahun demi tahun dan akhirnya di pusat pengajian tinggi, kecenderung untuk bergerak sesama kaum adalah besar sehinggalah tertubuhlah persatuan-persatuan membabitkan kaum.

Kemudian apabila memasuki alam pekerjaan, golongan dewasa ini berkemungkinan besar menyertai parti politik berasaskan perkauman; orang Melayu menyertai Umno, Cina menyertai MCA manakala India menyertai MIC. Sehubungan itu perjuangan mereka adalah berdasarkan kepentingan dan keperluan kaum masing-masing.

Pemuda itu berkata polirasi kaum perlu diatasi segera, jika tidak ia akan sentiasa menjadi duri dalam daging, sekali gus menjejaskan masa depan negara. Beliau berpendapat usaha kerajaan baharu HARAPAN  dalam penyatuan kaum amat baik, dan jika pihak ini dapat bertindak cemerlang dalam perkara ini, berkemungkinan besar mereka berupaya terus mengekalkan kuasa.

Pemuda itu memberi amaran, syak wasangka dan ketidak-fahaman tindakan setiap parti HARAPAN perlu diatasi, jika tidak ia akan menimbulkan banyak masalah. Anasir buruk yang mulai berputik dalam HARAPAN perlu dicantas dan ditangani segera, jika tidak ia akan membarah seterusnya merosakkan masa depan negara.

Sunday, September 22, 2019

Rumah tangga 10: Di kaki lima badan tercampak...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

PERSOALAN remaja begitu merungsingkan. Sebagai bapa lima anak  saya juga diselubungi kerisauan memanjang. Teringat saya daripada sebuah buku yang telah saya baca, Sayidina Ali karamah wahja antara lain berkata didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka.

Ya, zaman sekarang era IT, tak sama masa saya remaja dan di IPT dulu. Ketika itu antara harta paling bernilai adalah mesin taip buruk. Kini kelengkapan IT anak-anak sangat canggih. Mereka terdedah kepada segala kemungkinan. Itulah yang saya bimbangkan.

Sebahagian ibu bapa tersepit antara memberi kebebasan (peluang) kepada anak-anak remaja ini atau menyekat mereka daripada akses gajet moden ini. Misalnya, kemudahan internet termasuk telefon selular, nak menyekat mereka daripada mempunyai aksesnya tentu merugikan mereka sendiri tetapi membenarkannya kita tidak tahu apa yang anak kita lakukan. Yalah depan kita, segala-galanya nampak okay, tetapi belakang kita terutama ketika bersama kawan-kawan mereka, siapa tahu. Mana kita ada masa nak kontrol mereka 24 jam sehari.

Kalau mak bapak mendidik sendiri anak-anak boleh tahan; tetapi berdasarkan apa yang saya lihat di persekitaran kehidupan saya, anak-anak yang diserahkan kepada datuk nenek, sebahagian besar daripada mereka gagal dalam kehidupan. Ada seorang pemuda saya lihat hidupnya tidak keruan sejak datuk dan neneknya meninggal dunia; itulah mungkin dulu dia terlalu dimanjakan menyebabkan dia tidak tahu hidup berdikari. Dia kini menjadi orang gelandangan, tidur di kaki lima dengan pakaian tak ditukar berhari-hari lamanya.

Ada seorang pemuda pula sudah jadi kaki dadah. Kerja sehari dua untuk mendapat seringgit dua selepas itu hanyut berminggu-minggu dalam dunia dadah bersama-sama kawan-kawannya. Mereka menjadikan sebuah pondok kosong sebagai syurga dunia.

Demikianlah betapa ramai anak-anak muda hanyut; selain dua contoh yang dinyatakan ini, di manakah remaja lain lain berada? Jika anda ke masjid sama ada untuk solat waktu berjemaah atau mengikuti kelas pengajian antara maghrib dan isyak, adakah ada anak muda menyertainya? Jawapannya mereka sukar dilihat, jadi ke mana agaknya mereka pergi?

Ramai muda-mudi kita (sebenarnya bukan muda-mudi saja tetapi seluruh umat Islam) sudah tersasar, jadi apakah jalan penyelesaiannya? Seorang pembaca menulis: “Islam sahaja tamadun penyelamat dunia. Mana tidaknya? Bayangkan, ketika peperangan melawan musuh sekalipun, prinsip perang itu sendiri jelas; bunuhlah mereka yang menentang sahaja, tawanan perang hanya diminta menebus diri, syiar agama pihak musuh seperti gereja dan kuil haram diceroboh, apatah lagi diruntuhkan, dan setelah berkuasa, mestilah berdamai, bukan menjajah walaupun dengan tertegaknya pentadbiran Islam.

“Mungkin masih banyak lagi yang saya jahil tentangnya, namun, rasanya dengan itu sahaja pun memadai untuk mengisyaratkan Islam adalah tamadun perdamaian dan kesejahteraan untuk semua, sesuai sekali dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat kepada sekalian alam. Begitulah juga dengan segala hukum-hakam serta peradaban yang digariskan Islam, daripada sekecil-kecil dan remeh perkara seperti ke tandas, tidur dan bangun tidur, sehinggalah ke urusan hubungan insani sejagat dan antara hanba dengan Allah SWT, pasti berkesan menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran kiranya dihayati seluruhnya, sesuai dengan firman-Nya yang meminta agar kita menjadi Muslim yang mukmin secara total.

“Namun begitu, persoalannya, dengan pelaksanaan Islam oleh pentadbir ‘sekular’ yang Islam keturunanlah, kesucian Islam telah dinodai. Ia diburukkan lagi dengan kedapatan segelintir mereka yang diiktiraf sebagai ‘ulama’" yang turut rakus terhadap keduniaan sebagaimana para pendita Yahudi dan Nasrani. Mana tidaknya, ada ustazah dan ustaz pandai memfitnah orang termasuk melalui tulisan.

“Gejala keruntuhan akhlak remaja sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa secara langsung. Nah, bukankah mereka yang dalam kepimpinan itu adalah ibu dan bapa kepada anak-anak mereka? Sekali gus, bukankah mereka juga merupakan ibu dan bapa kepada rakyat yang dipimpin? Bukankah dengan penajaan program dan aktiviti hiburan melampau dan pentafsiran agama menurut pemikiran dangkal menyebabkan akidah masyarakat runtuh, kesucian wanita dan gadis ternoda, bangsa jadi leka dan alpa terhadap ilmu, dan bermacam-macam kejahilan dan keruntuhan moral berlaku?

“Dengan itu, mari kita bersama kembalikan kegemilangan tamadun Islam dahulu untuk kini dan selamanya. Semoga usaha kita nan sedikit lagi tak seberapa ini dihitung antara kaedah jihad serta bukti pengabdian kita kepada-Nya sahaja."

Ya, benar apa yang ditulis pembaca ini. Pemimpin mempunyai saham dalam mencorak anak muda kita. Teringat penulis betapa ada pemimpin sanggup turun ke gelanggang konsert sekalipun berlaku hujan dengan kilat dan guruh berdentam-dentum dan langkah beliau dikuti ribuan anak-anak muda. Muda-mudi ke konsert hiburan rupanya, sebab itu mereka tiada di masjid.

Apabila guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid kencing berlari, itulah sebabnya pada malam itu ramai anak muda bergelimpangan di kaki lima, hujung tahun ramailah yang masuk sekolah mengandung yang disediakan pemimpin berkenaan!