Thursday, December 15, 2022

Jamadilawal 20, 1444: Benih ni dah penuh, mana mahu buang'...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


BERITA sedih dua beradik rentung dalam rumah sedangkan ayah mereka berada di luar manakala si ibu jauh di negara asing bertugas sebagai jururawat menggembalikan ingatan kepada celoteh ayah, ibu dan saya tidak lama dulu mengenai nasib keluarga yang hidup 'terpisah-pisah' dek hambatan tertentu.


Takziah diucapkan kepada keluarga ini, kita berdoa semoga Allah SWT merahmati kita semua termasuk keluarga ini; dan pada kesempatan ini izinkan 'hamba' mencelotehkan pandangan yang 'tak seberapa ini'. Bukanlah niat 'hamba' untuk menghiris perasaan sesiapa, tetapi mengharapkan pembaca dapat membuat sedikit renungan, ya lakukan muhasabah diri.


Sekarang ini jika jutaan pendatang asing sama ada yang secara halal atau haram memasuki negara kita untuk bekerja, sejumlah warga kita termasuklah golongan wanita, khasnya di kalangan isteri dan ibu yang meninggalkan suami dan anak-anak 'menyahut seruan' untuk bertugas di luar negara.


Ramai pendatang asing bertarung hidup, mereka ke sini mencari sesuap dua nasi kerana kesukaran hidup di negara masing-masing tetapi 'orang kita' ke luar negara sebahagiannya kerana mahu merebut peluang memperolehi pendapatan berganda-ganda daripada pekerjaan asal mereka di sini.


Golongan ini termasuklah jururawat, sebahagiannya sudah mempunyai pekerjaan di sini tetapi memilih untuk 'berhijrah' - bekerja di negara asing termasuklah Arab Saudi. 


Salah seorang daripadanya adalah saudara penulis, jadi hal inilah yang mencetuskan 'polemik' (bahan celoteh) penulis, ayah serta ibu penulis ketika minum pagi tidak lama dulu.


Selepas lama 'berbahas', ayah penulis mengungkapkan "orang lelaki ni (suami) jika benih sudah penuh, mana mereka mahu buang?" Kata-kata ini menyebabkan kami terdiam sebentar kerana maksudnya sungguh mendalam. Ia kelihatan 'satu lawak kasar' tetapi adalah hakikat. 


Ya, jika seorang isteri sudah memilih untuk meninggalkan keluarga buat masa yang sangat lama (ada yang balik enam bulan atau setahun sekali) apa yang akan jadi kepada suami dan anak masing-masing?


Kita ambil 'hal ehwal suami' dulu. Kebanyakan orang lelaki (saya sebut kebanyakan kerana tidak semua lelaki begini) yang sudah berkahwin 'tidak betah' hidup tanpa sang isteri di sisi. Mereka begitu manja dan berlagak macam raja. Semuanya hendak disediakan oleh isteri. Soal makan minum, pakaian dan maaf cakap 'soal seks' adalah 'keutamaan mereka'.


Bercakap 'soal seks', marilah kita akui bahawa naluri kebanyakan manusia (terutama lelaki) adalah ke arah itu. Cuma yang membezakannya adalah hubungan (perlakukan) halal dan haram. Yang halal...'fadhal' (silakan)...ya ada lelaki yang pening kepala jika lama tak dapat 'benda tu'...seperti yang bapa saya katakan," kalau benih (kantung) sudah penuh..mana mahu buang" kerana si isteri tidak berada di sisi. Apakah si suami 'boleh tahan' menunggu sampai enam bulan atau setahun?  Itu pun sekejap cuma...mungkin si isteri bercuti seminggu dua atau sebulan pada hujung tahun.


Mungkin ada orang berkata, lelaki ini mementingkan dirinya sendiri; kenapa tak tanya apa nasib isteri yang 'berkorban' untuk bekerja di luar negara? Mereka berkata isteri pun kesepian, menanggung derita berpisah dengan suami dan anak-anak tetapi 'ada orang ambil kisah pengorbanan mereka'?


Seperti yang diutarakan pada awal celoteh ini, orang kita kebanyakannya ke luar negara untuk bekerja adalah untuk mendapatkan pendapatan yang berganda banyaknya. Di sini mereka sudah ada kerja, bukan menganggur. Soal material menjadi keutamaan mereka; ya apa sebenarnya mereka mahu daripada perolehan yang berganda itu...rumah besar, kereta besar, peralatan rumah yang hebat-hebat; ya apa lagi...bukankah semuanya mahu besar-besar belaka?


Hakikatnya wang bertimbun tidak semestinya mendatangkan bahagia. Amat malang jika si isteri bertungkus-lumus bekerja di rantau orang tanpa menyedari si suami yang kesepian 'sudah terbang' ke pangkuan wanita lain sama ada secara halal (dia berkahwin lain) atau yang kurang iman 'membuang benihnya di tempat-tempat haram'.


Ohh, kalau 'suami menderita', si anak apatah lagi. Mereka hilang kasih sayang ibu...si bapa pula bukan boleh diharapkan sangat...kejap-kejap tinggalkan rumah...ke kedai kopilah dan yang lebih teruk ke disko dan 'nightclub', subhanallah amat malang nasib anak-anak. Ada yang ditinggal bersendiran, menumpang kasih kepada nenek dan datuk dan tak kurang juga kepada pengasuh (orang gaji).


Bercakap pasal orang gaji teringat saya 'ngomelan' seorang teman mengenai kawannya: "Gaji banyak, buat rumah besar dan hebat...tetapi yang 'sedap' duduk dalam rumah mewah itu orang gaji...dia mana ada masa nak berehat kerana siang malam kerja, kerja, kerja...Ya kerja, kerja dan kerja sampai masuk 'rumah paling sempit' (kuburlah tu)!

No comments: