Tuesday, December 13, 2022

Jamadilawal 18, 1444: Perguna '5' sebelum datang '5' (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kalau seseorang kamu sedang sembahyang, maka janganlah membiarkan orang lalu di hadapannya. Jika ada yang lewat, hendaklah dicegah sedapat mungkin. Dan kalau ia enggan, pukullah ia kerana orang itu serupa syaitan." (Sahih Muslim)


SUATU Jumaat penulis hayati benar-benar khutbah Jumaat, antara lain membicarakan sebuah hadis yang bermaksud, perguna lima perkara sebelum datang lima perkara. Kata khatib pada hari kiamat kelak seseorang itu tidak akan dapat bergerak selagi pertanyaan terhadap lima perkara itu tidak beres.


Secara kebetulan, penulis ada membicarakan perkara ini dalam tulisan penulis sebelum ini dalam bahasa Inggeris yang bertajuk 'Take benefit of 'five' before another 'five'.


In a hadith narated by Ibn Abbas: Allah’s Apostle s.a.w., said: “Take benefit of 'five' before 'five': your youth before your old age, your health before your sickness, your wealth before your poverty, your free-time before your preoccupation and your life before your death.”


Terjemahan Melayunya: Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu berada (kaya) sebelum jatuh papa (miskin), masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."


Khatib mengingatkan jemaah bahawa kehidupan manusia sebenarnya adalah satu perjalanan yang cukup singkat (masanya diibaratkan berteduhnya seorang pengembara di bawah sebatang pokok sebelum berangkat pergi) untuk menemui Allah SWT. 


Sehubungan itu dalam perjalanan itu perlulah diisi dengan segala keperluannya agar apabila berlaku pertemuan dengan Allah nanti tidaklah kita membawa tangan kosong, atau lebih malang lagi membawa onar dan keburukan diri.


Beliau mengambil kiasan seorang perantau yang mahu pulang ke kampung berhari raya. Tentunya kepulangan yang menggembirakan itu dihiasi dengan pelbagai persiapannya. Duit, pakaian, kenderaan, semuanya sudah dipastikan dalam keadaan 'tip top' agar keberadaan kita di kampung nanti menggembirakan semua.


Tetapi cuba bayangkan orang yang mahu balik kampung tetapi tidak membuat persediaan. Misalnya, mahu balik kampung tetapi tidak 'booking' tiket bas. Kemungkinan besar dia tidak sampai ke kampung, meranalah dia menyambut hari raya berseorangan di kota, tanpa kaum kerabat dan sahabat handai.


Demikian juga bagi yang berkenderaan, tetapi keadaannya terabai. Nasib baik sampailah ke kampung halaman, jika tidak berhari rayalah di lebuh raya. Demikian juga dengan duit, ada duit adalah yang sayang, tak da duit abang melayang...


Jika untuk berhari raya sehari dua di kampung, kita memerlukan persediaan yang cukup hebat, jadi tentulah persediaan kita untuk ke alam kubur (barzakh) seterusnya akhirat yang menjadi destinasi TERAKHIR kita memerlukan pengorbanan paling besar.


Lengkapkan diri untuk menghadapi saat itu, kerana tidak mungkin kita boleh kembali semula ke dunia bagi menebus semula kesilapan kita selepas berlaku kematian. Jadi pergunakanlah sepenuhnya HIDUPMU sebelum MATIMU.


Bagaimana mahu memastikan kita tidak rugi semasa hidup? Khatib membacakan Surah Al-Asr yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."


Jadi adakah kehidupan kita kini bertepatan dengan ayat ini? Sehubungan itu, marilah kita mengkoreksi dan menghitung diri sebelum diri kita dihitung oleh Allah SWT.

No comments: