Friday, December 30, 2022

Jamadilakhir 6, 1444: Cerita dari sebuah hospital swasta (3)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

“Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai kerongkongan. Dan dikatakan (kepadanya): “Siapakah yang dapat menyembuhkan”. Dan dia yakin bahwa sesungguhnya itulah waktu perpisahan. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan). Dan kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau." (Maksud ayat 26-30 Surah Al-Qyamah)


KETIKA menulis celoteh ini, sudah tiga minggu saya menjalani prosedur perubatan bagi membuang batu karang di pundi kencing saya. Alhamdulillah, kini saya rasa lebih sihat dan badan lebih ringan, jazakumullah khairan kathira kepada semua yang membantu dan mendoakan saya. 


Doa tuan puan amat mustajab; bukankah ada hadis Rasulullah s.a.w. yang sedemikian. Daripada Abi Darda’ r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:yang bermaksud: "Tidak ada seorang hamba yang Muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)”. (Riwayat Muslim (4912)


Daripada Safwan bin Abdillah r.a. pula berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Doa seseorang Muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.(Riwayat Muslim (4914).


Pengalaman saya menjalani prosedur membuang batu karang ini menakjubkan - sebahagiannya disebabkan saya dibius separuh badan - menyebabkan saya mengetahui apa yang berlaku kepada diri saya dan keadaan di sekeliling. 


Apabila berada dalam situasi begitu ia lebih menginsafkan diri ini akan kebesaran Illahi. Jauh di sudut hati, saya rasakan diri ini terlalu kerdil, tidak berdaya...pasrah (berserah diri) kepada ketentuan-Nya. Hidup mati semuanya di tangan-Nya. Kita tak berdaya apa-apa. .Ya, "La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah" (Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata)


Disorong ke dewan bedah saya lihat ada lebih lima petugas wanita beruniform menyambut saya. Agak saya mereka 'nurse' (jururawat) yang membantu prosedur bius dan buang batu. Pakar bius meminta saya duduk dan membongkok, kemudian dia mencucuk jarum ke tulang belakang saya. Subhanallah, sakitttttt-nya.


Kemudian saya diminta berbaring semula. Mereka memasang seakan-akan tabir di bahagian pusat saya. 'Nurse' kemudian beramai-ramai mengangkat kaki saya dan mengangkangkannya. Macam orang nak beranak  Saya sudah berserah diri...aurat saya terbuka sudah. Tak teringat lagi saya akan soal aurat apatah lagi isu wanita bersalin dedah aurat seperti dilaungkan sang ustazah viral! Tak sempat.


Ini kerana dalam beberapa saat selepas itu seluruh tubuh saya daripada paras pusat ke bawah menjadi kaku. Namun tangan saya masih boleh digerak-gerakkan untuk meraba-raba bahagian atas badan. 


Apa yang penting otak saya masih boleh berfikir. Otak saya mengarahkan agar saya mengangkat kaki. Tak boleh. 'Jem'. Cuba angkat bontot tak boleh. Semua sudah 'jem'.


Saya mula berfikir...beginikah keadaan kita apabila nak (hampir) mati. Tok guru berkata roh (nyawa) ditarik mulai dari hujung kaki. Kemudian kaki, paha, badan dan ke atas sampai ke tenggorokan yang dikatakan sebagai sakaratul maut yang tersangat dahsyat itu.


Antara dalil al-Quran yang menjelaskan kadar kesakitan menghadapi sakaratul maut adalah ayat 26-30 Surah Al-Qiyamah, yang bermaksud::“Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai kerongkongan. Dan dikatakan (kepadanya): “Siapakah yang dapat menyembuhkan”. Dan dia yakin bahwa sesungguhnya itulah waktu perpisahan. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan). Dan kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau."


Ketika 'tengah kalut' tu, seorang 'nurse' berkata kepada saya: "Pakcik, tengok atas sana. Tengok skrin tu!"


Ya, dalam keghairahan saya nak tengok apa yang pakar urologi dan 'nurse' yang 'ramai-ramai' itu buat pada bahagian sulit saya, tak perasan saya akan skrin sebesar TV bersaiz sederhana di bahagian atas kepala saya.


Gambar di skrin itu menunjukkan bongkah batu besar - seakan-akan permukaan batu gunung. Dan di bawahnya, kelihatan satu alat - kelihatan seperti pahat yang sekejap-sekejap 'menghentak' batu gunung itu. 


Apabila 'pahat' menghentam batu, terkeluar bunyi bergema kuat (ehh ada sound effect pula), dan selepas dihentak beberapa kali, tercampak serpihan batu yang kemudian seakan-akan disedut keluar. 


Ajaib, ajaib, ajaib...itulah yang dapat saya rasakan ketika itu. Terasa sungguh hebat kebesaran Allah SWT. Ya ada batu besar dalam kantung kencing saya (dari mana datangnya ya) dan sekarang doktor dan 'nurse' dengan kepakaran yang ada pada mereka sedang berusaha mengeluarkannya melalui saluran kencing saya tanpa melakukan pembedahan...

No comments: