Saturday, December 24, 2022

Jamadilawal 1444: Cerita dari sebuah hospital swasta (2)

 Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)


Bahagian 2

SAYA dijadualkan menjalani pembedahan membuang batu karang di pundi kencing berukuran tiga sentimeter (pakar urologi kata besar) pada pagi Jumaat, 2 Disember. 


Sehari sebelum itu, doktor mengingatkan saya supaya berpuasa mulai jam 3.00 pagi dan mendaftar di hospital jam 6.30 pagi.


Selepas dimasukkan ke kamar (wad) yang dikongsi bersama tiga pesakit lain pada jam 7.00 pagi, bermulalah penantian saya untuk dimasukkan ke dewan pembedahan. 


Saya fikir saya akan dibedah pagi itu kerana telah disuruh memakai baju khas bertali yang diikat di bahagian belakang , tetapi tidak demikian halnya. 


Menjelang tengah hari Jumaat itu (saya terbayang Muslimin sibuk ke masjid),saya tak dipanggil lagi, lantas saya buka 'baju bedah' itu dan mencampakkannya ke hujung katil.


Saya menunggu dan terus menunggu...ya, betul 'kata' penyanyi Zubir Ali (kini Allahyarham) bahawa penantian itu suatu penyeksaan. Di samping ujian sabar menunggu, perut dan tekak pun terpaksa 'dikekang nafsu' kerana pesakit yang akan menjalani pembedahan tidak boleh makan dan minum.


Siang hari sudah berlalu, hampir jam 8.00 malam baharulah seorang pembantu hospital datang memberitahu saya akan dibawa ke dewan bedah. Saya minta tangguh sebentar kerana hendak solat Isyak dahulu.


Kira-kira jam 9 malam, pembantu itu datang sekali lagi, membawa sebuah kerusi roda. Saya ditolak ke lif dari tingkat tujuh ke dewan bedah di tingkat satu. 


Sebelum memasuki dewan bedah, saya dipindahkan ke sebuah katil beroda yang kemudian ditolak untuk dibariskan dengan pesakit lain. Ada dua pesakit lain di situ. 


Di atas katil, mulut saya komat kamit membaca surah pendek al-Quran, berzikir, berzikir, dan berzikir...bimbang saya, mana tahu di dewan bedah ini 'perjalanan terakhir' saya.


Di sini baharulah belakang tapak tangan saya dicucuk jarum untuk dibuat tapak bagi dimasukkan air (drip). Pengalaman saya di hospital kerajaan sejak masuk wad lagi tapak itu sudah dibikin...ini menyusahkan kita tatkala mengambil wuduk...ada ustaz menyatakan cukuplah untuk 'menyapu air' di atas bahagian itu manakala ada pula yang menyatakan ia perlu disempurnakan dengan bertayamum.


Apabila sudah 'dibariskan' di situ dan diperkenalkan dengan pakar bius, tahulah saya bahawa giliran saya untuk 'dikerjakan' akan bermula. Pakar bius itu seorang perempuan Cina pertengahan usia, jelas kelihatan kepenatan di wajahnya. Saya meneka mungkin dia sudah bekerja sejak awal pagi dan kini sudah hampir tengah malam.


Pakar itu bertanya adakah saya ada alami alahan ubat dan bila kali terakhir saya mengambil ubat cair darah. Dia juga menerangkan prosedur pembedahan, mengemukakan beberapa soalan lagi dan apabila sudah berpuas hati, meminta saya menurunkan tandatangan pada dokumen disertakan. 


Katanya, saya akan dibius separuh badan sahaja...pesakit akan sedar sepanjang operasi itu. Jarum akan dicucuk di bahagian tulang belakang...katanya, akan 'ada sakit sikit'...lepas tu awak boleh rehat sambil lihat di skrin apa yang pakar (urologi).sedang lakukan.


Lama juga saya dibiarkan di katil itu. Saya tinggal seorang selepas dua pesakit  tadi sudah dibawa pergi. Doktor bius berkata, pakar urologi belum sampai. Mungkin dia juga sudah kepenatan, saya difahamkan dia bekerja sejak awal pagi lagi. 


Selepas lama menunggu, saya terasa 'nak kencing'. Apabila seorang 'nurse' (jururawat)  lalu, saya memanggilnya dan menyatakan saya mahu qada hajat.


'Nurse' bertanya adakah saya nak kencing di situ (heh, heh, heh jangan salah faham, 'nurse' akan bawakan bekas) atau saya nak ke tandas. Saya kata saya nak ke tandas. 


'Nurse' kemudian memberikan saya sepasang kasut khas dan menyelimutkan badan saya; al-maklumlah di dewan bedah kita mengenakan pakaian terdedah di belakang.supaya mudah ditanggalkan. Lagi pun di dewan bedah keadaannya tersangat sejuk.


"Saya akan 'escort' pakcik ke tandas," katanya. Benar dia mengiringi saya ke tandas...tiba-tiba saya terasa menjadi orang penting pula...nak ke tandas pun kena 'escort'. Yalah, mana tahu pesakit lari, nanti susah 'nurse' dibuatnya.


Hakikatnya pesakit nak dibedah mana ada 'power' lagi. Mereka terbaring sahaja di katil, kalau nak kencing 'nurse' akan suakan bekas. Ini tak, saya sudah bangun dan bergegas ke tandas, mengikut 'nurse' yang menunjukkan arah. 


Akhirnya, saya masuk tandas, 'nurse' duduk di luar, menunggu saya. Eekk, nak kencing pun kena tunggu! Sebenarnya, 'nurse' bukan takut pesakit lari tetapi mana tahu pesakit tumbang (jatuh atau pengsan) dia juga akan susah..

No comments: