Tuesday, April 30, 2019

Setahun berlalu, bagaimana nasib rakyat?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

MEI ini akan genaplah setahun Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa. Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita semua (rakyat) masih menjalani kehidupan yang hampir sama seperti sebelum ini; tidaklah kita makan ubi kayu atau negara menjadi kucar-kacir seperti 'ditrumpetkan' pemimpin Umno-BN jika mereka disingkirkan daripada kuasa.

Kepada pemimpin HARAPAN diucapkan tahniah dan syabas di atas usaha keras untuk membangun dan memajukan negara tetapi tidak salah rasanya untuk pemimpin dan rakyat sama-sama bermuhasabah diri lebih-lebih lagi selepas HARAPAN tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam pilihan raya kecil, yang terbaru di Rantau, Negeri Sembilan.

Kenapa tewas begitu sekali? Penganalisis boleh mengutarakan banyak sebabnya...saya memilih mengemukakan kondisi rakyat yang nasib mereka tak banyak berubah sekalipun pemerintah sudah bertukar tangan.

Sebagai contoh, bagi diri saya yang sudah bersara ini bolehlah difirkan apa 'keuntungan' dan 'kerugian' diperolehi selepas HARAPAN berkuasa? Sekarang ini harga barangan keperluan terus melambung tinggi, bayaran elektrik sudah dikenakan bagi penggunaan kurang RM20, perolehan hiba Tabung Haji (TH) sedikit (1.25 peratus) berbanding dulu (5-7 peratus), yuran sekolah anak tetap tinggi...demikianlah banyak lagi perkara menyebabkan 'pemikiran rakyat terus berserabut'!

Demokrasi telah menaikkan pemerintah baharu. Demokrasi memelihara hubungan pemimpin-rakyat. Rakyat memilih pemimpin, maka timbullah slogan seperti 'daripada rakyat untuk rakyat' dan 'daripada rakyat kepada rakyat'. Di sini jelas sekali kepentingan rakyat...dan berhubung perkara ini saya sangat tertarik dengan kata-kata bernas yang kerap diungkapkan oleh seorang pemimpin HARAPAN (usahlah namanya dinyatakan)..."tidak guna pemimpin (pemerintah) berubah jika rakyat terus susah."



Antara lain beliau mengungkap bahawa; "kita bukan bermatlamat menukar pemimpin...ya buat apa tukar pemimpin jika pemimpin baharu itu sama seperti pemimpin lama yang terus menyusahkan rakyat." 

Ya, dalam konteks rakyat, apa yang menjadi keutamaan mereka? Tentunya kehendak kebanyakannya menepati pandangan ahli ekonomi (malah kehidupan) bahawa mereka mahu memenuhi keperluan asas manusia itu soal makan-minum, pakaian dan tempat tinggal. Namun ada yang meletakkan 'persoalan ketuhanan' di kedudukan tertinggi kerana makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu diperolehi secara 'telus' (halal). Selepas itu barulah manusia bergerak ke depan dengan memikirkan mengenai soal kekeluargaan, hubungan sesama manusia (berkerajaan dan bermuamalat), pendidikan, keadilan dan sebagainya.

Demikianlah, wahai pemimpin buat permulaan jagalah persoalan makan minum, pakaian dan tempat tinggal (rumah) rakyat. Dan bagi pemerintah yang gagal 'berlaku adil' dalam hal ini seperti terus menekan rakyat. Namun amat malang jika pemerintah baru 'berperangai sama' yang mengakibatkan kehidupan rakyat semakin susah - jadi apa ertinya jika pemimpin sudah bertukar tetapi rakyat tetap susah. 

Membicarakan soal pemimpin berubah rakyat tetap susah ini, kita cukup tertarik dengan kritikan tajam pelbagai pihak di Indonesia termasuk media massanya pada Pemilu lalu. Media massa ini dengan keras mengingatkan pemimpin bahawa tidak guna pemerintah saja berubah tetapi nasib rakyat tetap sama - tidak berubah, miskin di dalam sebuah negara yang mewah sumber alamnya.  Mereka berkata, kebanyakan pemimpin tetap sama, belum dapat kuasa banyaklah janji dan pameran kebaikannya tetapi selepas itu janji tinggal janji...

Sebuah akhbar mengingatkan: "Para pemimpin yang baharu terpilih...jangan hanya 'bisa' membuat program kerja baru, tapi 'bisa' melaksanakannya." Rakyat sudah muak dengan janji-janji, mereka mahu menikmati hasil daripada program dan projek kerajaan tetapi hal itu tidak berlaku - kehidupan mereka masih sama seperti dulu sekalipun pemimpin sudah acap kali berubah.

Ya kebanyakan pemimpin sama saja (kecuali segelintir), tidak kira di mana, malah di serata dunia, belum dapat kuasa banyak saja janjinya, sudah berkuasa habuk pun tak ada!

No comments: