Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
DARI segi infrastruktur pengangkutan, tahniah diucapkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka kerana telah menyiapkan pelbagai projek kemudahan rakyat antaranya; jejambat 'mega' Ayer Keroh dan Peringgit; memulakan pelbagai destinasi penerbangan di LTA Melaka di Batu Berendam dan menaik taraf operasi perkhidmatan bas di Melaka Sentral.
Insya-Allah kita yakin banyak lagi kemudahan awam untuk rakyat akan muncul tetapi tidak salah rasanya untuk pemimpin kerajaan HARAPAN mendengar pandangan dan keluh kesah rakyat marhain khasnya dalam bab mengenai pengangkutan awam di negeri ini.
Baru-baru ini saya memandu kereta membawa ibu saya ke Hospital Melaka; dalam perjalanan saya terlihat seorang 'nenek' di sebuah perhentian bas. Saya berhentikan kereta dan selepas bertanya destinasinya, saya menumpangkannya.
'Nenek' berusia lebih 70 tahun ini meluahkan rasa hatinya - katanya sekarang ini susah 'mendapatkan' bas awam. Kekerapan bas ke Melaka Sentral yang lalu di jalan raya depan rumahnya adalah 'teruk' - selalunya lebih daripada sejam menunggu, malah ada kalanya sehingga dua atau tiga jam!
Seterusnya di Melaka Sentral tiada bas yang terus ke atau 'masuk' ke kawasan Hospital Melaka. Bas yang ada ke Ayer Keroh, yang selalunya 'lambat' hanya berhenti di jalan besar dan dia terpaksa menapak mendaki bukit ke hospital. Orang 'dah tua', 'kaki dah tak kuat' pun kena menyeberang jalan besar dan menapak bukit.
'Nenek' ini terbayang kisah lampau - dulu bas 'Town Bus' yang berwarna hijau mendaki bukit kawasan hospital dan selepas membuat 'pusingan' barulah bas ini 'turun'. Sekarang dengan bas Panorama milik syarikat kerajaan negeri, hal ini tidak lagi berlaku...
Itu kisah dulu, bas besar 'naik' kawasan hospital; sekarang ini tak mungkin dapat diulang kerana jalan mendaki ke hospital sudah sempit dan di kiri kanannya penuh dengan kenderaan. Bagi yang mampu 'berkereta' ke hospital ini pula akan menghadapi masalah 'pakir' - awal-awal pagi lagi kawasan letak kenderaan sudah penuh!
'Nenek' ini berharapkan ada perkhidmatan bas sampai ke 'pintu' bangunan hospital. Menggunakan bas besar mungkin mustahil, tetapi ada pengguna mencadangkan penggunaan bas mini - mungkin boleh dicadangkan di bandar raya Melaka diadakan perkhidmatan bas mini yang tambangnya murah sesuai untuk golongan marhain dan boleh membawa ke pelbagai destinasi penting dengan cepat tetapi selesa.
Selain hospital yang 'tiada khidmat' bas, Pasar Besar Melaka (baharu tetapi berstatus sementara) di Bachang demikian juga halnya. Tiada bas ke sini, jadi susahlah rakyat marhain - jadi kalau ada bas mini yang 'round' seluruh bandar raya Melaka, mungkin masalah ini dapat diselesaikan.
Sekarang ini, terlalu jarang saya menaiki bas awam, tetapi sebagai seorang bekas pengguna bas henti-henti yang memahami suka duka penumpang bas awam, hati saya bagaikan 'luruh' melihatkan datuk, nenek, makcik, pakcik dan anak-anak muda dan kecil menunggu berjam-jam dalam keadaan panas terik atau hujan di tepi jalan; bas yang ditunggu bagai tak kunjung tiba.
Suatu pagi terpandang saya seorang ibu dan seorang kanak-kanak, agak saya berusia 12 tahun berjalan kaki mendaki bukit dari persimpangan jalan dekat Kota Cemerlang menuju ke kompleks bangunan kerajaan di Ayer Keroh, mungkin untuk membuat kad pengenalan si anak.
Aduh, terpaksalah mereka meredah panas, berjalan hampir setengah kilometer untuk ke pejabat berkenaan. Mungkin bas yang mereka naiki tiada perkhidmatan ke kompleks berkenaan, jadi terpaksalah mereka berhenti di jalan besar, seterusnya berjalan kaki. Disebabkan saya memandu kereta bertentangan perjalanan, tidaklah saya dapat menumpangkan mereka.
Benar, sebahagian besar pengguna bas awam di Melaka sekarang ini mengalami masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak dapatkan bas sekarang ini."
Benar, sebahagian besar pengguna bas awam di Melaka sekarang ini mengalami masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak dapatkan bas sekarang ini."
Menunggu satu dua jam di tepi jalan adalah perkara biasa kerana kekerapan perjalanan bas dikurangkan. Seorang pemandu bas berkata, hal itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak pengusaha bas akan mengalami kerugian besar.
Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak menguntungkan.
Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak menguntungkan.
Namun bukan semua orang ada kenderaan sendiri; mereka terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas. Di seluruh Melaka, dilaporkan ada lebih 30,000 pengguna tetap bas awam. Merekalah golongan teraniaya apabila perkhidmatan bas lembap atau tiada langsung. Jadi kepada pemimpin yang bertanggungjawab dalam hal ini, diharapkan dapat mengusahakan sesuatu...insya-Allah, Allah SWT akan membantu jika anda ikhlas dan amanah!
No comments:
Post a Comment