Monday, April 29, 2019

Semarak Ramadan...(2): Palestin yakini 'Salahuddin Al-Ayubi' muncul tidak lama lagi...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
TIBA-TIBA Negara Brunei Darussalam menjadi fokus dunia. Timur dan Barat. Ini berlaku selepas negara kesultanan Melayu di utara Borneo itu mula melaksanakan hukum hudud termasuk hukuman rejam terhadap penzina dan pelaku hubungan seks gay dan lesbian.
Undang-undang syariah di negara yang diperintah oleh Sultan Hassanal Bolkiah itu dikuatkuasakan awal April selepas penangguhan selama beberapa tahun. Langkah Brunei ditentang pelbagai pihak - daripada yang paling berkuasa kepada yang paling lemah, termasuklah oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai organisasi terbesar dan tertinggi dunia.
Ketua Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet berkata pelaksanaan undang-undang yang disifatkannya sebagai drakonian itu hanya akan menandakan kemunduran perlindungan hak asasi manusia kepada rakyat Brunei.
Alhamdulillah kemuculan dan keberanian pemerintah dan rakyat Brunei untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah dirasakan sebagai sekelumit jawapan dan suntikan semangat kepada permasalahan orang Palestin yang kini bagaikan terpenjara dalam negara mereka sendiri. Mereka hidup dalam 'deep state' iaitu negara dalam negara.
Ramai daripada orang Palestin mengharapkan kemunculan tokoh hebat Islam seperti Salahuddin Al-Ayubi (pembebas Baitulmaqdis daripada Tentera Salib) malah pemimpin masa depan yang dijanjikan iaitu Imam Mahadi yang akan membebaskan mereka serta tanah suci Baitulmaqdis dan bumi Palestin yang barakahi daripada cengkaman kezaliman rejim ganas Zionis Israel.
Tentunya tokoh-tokoh ini akan mendaulatkan hukum-hukum Allah; dan bersyukurlah ada pemimpin dari Timur (seperti Brunei) telah mengorak langkah itu. Kata orang Palestin pemimpin yang dijanjikan boleh datang dari ceruk dunia mana sekalipun (ya sesiapa pun boleh dipilih Allah SWT) termasuklah dari Timur.
Mereka berkata waktu kemunculan pemimpin itu sudah terlalu dekat - mungkin dalam tempoh setahun dua ini...ya orang Palestin bagaikan tidak sabar menunggu kemunculan tokoh ini. Bagi sesetengahnya, kejayaan orang Palestin membuka semula Masjid Bab Al-Rahma (masjid keenam di Haram Al-Syarif / Al-Aqsa) pada Mac 2019 adalah antara petanda itu.
Ada penduduk Palestin melihat sikap sesetengah pemimpin Palestin terlalu bergantung kepada Barat termasuk usaha damai dilakukan mereka begitu merugikan. Misalnya sehingga kini Palestin masih belum diterima sebagai anggota PBB sekali gus menjadikannya sebagai sebuah negara berdaulat selepas permohonan dikemukakan presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas.
Sikap berdolak-dalik PBB itu adalah berikutan tekanan Amerika Syarikat dan kuncu-kuncu dalam Majlis Keselamatan seperti Britain dan Perancis. Malah Perancis menambah garam di luka apabila mencadangkan Palestin diberi status pemerhati dalam PBB, bukannya sebuah negara beridentiti sendiri. 
Isu pengisytiharan negara Palestin merdeka bukanlah baharu malah tokoh masa lalunya seperti Yasser Arafat mati dengan berputih mata kerana impinan itu tidak terlaksana. Isu Palestin adalah sandiwara Barat, terutama oleh pemimpin Amerika Syarikat yang berterusan menjalin hubungan kejap dengan rejim Zionis pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang pada 8 April lalu menang pilihan raya. Netanyahu berikrar merampas lebih banyak tanah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Kini Palestin dan rakyatnya terumbang ambing tidak bernegara dan beridentiti (berdaulat) dan akan berterusan menghadapi kekangan, cengkaman, serangan serta pencabulan rejim ganas Zionis.
Demikianlah mengapakah agaknya nasib rakyat Palestin dan umat Islam minoriti di rantau lain seperti di Kashmir, Xinjiang (China), Selatan Thailand, Selatan Filipina, Chechnya, Arakan (Myanmar-Burma) tidak dihirau masyarakat antarabangsa termasuk badan dunia seperti PBB.
Hakikatnya selepas kebanyakan tanah air umat Islam dijarah penjajah dan daulah Khilafah Islam terakhir, Uthmaniyah tersungkur pada 1924, kehidupan umat semakin jauh daripada panduan Allah dan Rasul-nya termasuk dari segi pemerintahan.
Selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya (termasuk melaksanakan semua hukum hakam Islam tidak terkecuali hudud seperti ditunjukkan pemerintah Brunei) selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, insya-Allah semua termasuklah orang Palestin akan selamat dunia dan akhirat. Amin

No comments: