Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
* Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.*
ALHAMDULILLAH akhirnya saya sampai ke Baitulmaqdis (Jerusalem) - kota suci tiga agama - Islam, Kristian dan Yahudi (Judais). Sekali lagi, Alhamdulilah dapatlah saya beribadat di sejumlah masjid di Haram Al-Syarif (kawasan Al-Aqsa yang dalam bahasa Inggeris selalu disebut Temple Mount) seperti Masjid Jamek Qibli (Al-Aqsa), Masjid Kubah Batu (Dome of the Rock), Masjid Marwani serta Bab Al-Rahma.
Selain itu, rombongan kami dibawa melawat tapak suci penganut Kristian seperti Gereja Holy Sepulchre iaitu tempat paling suci bagi penganut agama itu kerana mereka percaya ia sebagai lokasi penyaliban Kristus (Jesus) dan kuburan beliau.
Gereja ini yang juga dikenali sebagai Gereja Makam Suci dan Gereja Kebangkitan merakamkan pelbagai catatan sejarah antaranya membabitkan kejatuhan kota Baitulmaqdis dan penyerahan kuncinya ke tangan Khalifah Umar Al-Khattab pada 637 Masihi.
Setelah kekalahan Byzantium, Jerusalem perlu diserahkan kepada khalifah sendiri. Umar datang ke Jerusalem untuk memenuhi undangan Patriac Sophronius, penguasanya, bagi melakukan serah terima kota Jerusalem.
Maka termeterilah 'Perjanjian Aelia' yang terkandung jaminan Islam bagi kebebasan, keamanan dan kesejahteraan penganut Kristian beserta lembaga-lembaga keagamaannya.
Selesai membuat perjanjian, Umar hendak melaksanakan solat, Sophronius mempersilakan khalifah untuk solat di dalam Gereja Holy Sepulchre.
Umar menolak, beliau solat di tangga gerbang timur gereja. Beliau berkata, “Patriac, tahukah kamu mengapa aku tidak mahu solat di gereja kamu? Kamu akan kehilangan gereja ini kerana setelah aku pergi, orang Islam akan mengambilnya daripada kamu dan berkata, “Di sinilah Umar dahulu pernah bersolat”. Penolakan Khalifah Umar inilah yang selanjutnya menyelamatkan gereja tersebut hingga utuh sampai sekarang.
Sebuah masjid didirikan berdekatan tempat Umar solat, yang masih utuh hingga hari ini. Menara Masjid Umar jelas kelihatan dari pekarangan Gereja Sepulchre.
Sekarang ini dua keluarga Islam terbabit dalam menyimpan kunci dan urusan membuka dan menutup gereja ini. Menurut pembimbing rombongan kami, langkah ini selain membuktikan tolerasi antara penganut agama, ia juga menyelamatkan sengketa mazhab dalam agama Kristian berhubung pentadbiran dan pengurusan gereja tersebut.
Dua keluarga Muslim ini diberi kepercayaan berkenaan sejak abad ke-12. Keluarga Joudeh diberi amanah untuk menyimpan kunci gereja itu sementara keluarga Nuseibeh pula bertanggungjawab membuka pintu gereja setiap awal pagi dan menguncinya semula pada sebelah petang.
Di gereja ini ada sekurang-kurangnya enam mazhab Kristian iaitu Ortodoks Yunani, Ortodoks Armenia, Katolik, Ortodoks Syria, Ortodoks Koptik Iskandariah-Mesir, dan Ortodoks Habsyah Tewahedo. Katolik Rom, Yunani, dan Armenia memegang 70% pemilikan gereja ini.
Demikianlah wujud toleransi dalam mengamalkan agama masing-masing antara penganut Islam dan Kristian di tanah Suci Baitulmaqdis terutamanya selepas ditunjukkan contohnya oleh Khalifah Umar Al-Khattab dan kemudian penguasa Islam lain seperti Salahuddin Al-Ayubi yang sewajarnya 'difikir-fikir' dan 'direnung-renung' oleh 'orang kita'.
Namun kita jangan lupa bahawa sebenarnya yang berkuasa di kota Baitulmaqdis sekarang adalah rejim Zionis (Israel atau Tel Aviv) yang terkenal dengan kezalimannya. Adalah penting untuk kita 'merenung sejenak' perbezaan rejim ganas ini dengan orang Yahudi.
Bagi orang Islam, sepanjang penelitian kita terdapat sejumlah hadis yang menunjukkan bahawa Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. pernah berhubungan dengan orang Yahudi. Antaranya sebuah hadis yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi s.a.w. menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya." - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Sebuah lagi hadis bermaksud: “Daripada Aisyah r.a. berkata Nabi s.a.w pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w. menyerahkan baju besinya." - Riwayat Al-Bukhari
Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?” - Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961)
Berdasarkan ini, adalah tidak benar untuk menyatakan tidak boleh berhubungan (termasuk bermuamalat) dengan orang Yahudi; tetapi yang tidak bolehnya meniru perangai dan sikap sesetengah orang Yahudi yang kini terkenal dengan rejim Zionisnya yang membelasah penduduk Palestin/Islam semahu-mahunya. Zionisme diwujudkan pada 1897 oleh Theodor Herzl dan daripadanya terdirinya 'negara' (rejim) haram Israel di atas tanah Palestin pada 1948 dan kemudian mereka 'menjarah' pula tanah suci Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari 1967.
No comments:
Post a Comment