Tuesday, April 30, 2019

Setahun berlalu, bagaimana nasib rakyat?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

MEI ini akan genaplah setahun Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa. Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita semua (rakyat) masih menjalani kehidupan yang hampir sama seperti sebelum ini; tidaklah kita makan ubi kayu atau negara menjadi kucar-kacir seperti 'ditrumpetkan' pemimpin Umno-BN jika mereka disingkirkan daripada kuasa.

Kepada pemimpin HARAPAN diucapkan tahniah dan syabas di atas usaha keras untuk membangun dan memajukan negara tetapi tidak salah rasanya untuk pemimpin dan rakyat sama-sama bermuhasabah diri lebih-lebih lagi selepas HARAPAN tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam pilihan raya kecil, yang terbaru di Rantau, Negeri Sembilan.

Kenapa tewas begitu sekali? Penganalisis boleh mengutarakan banyak sebabnya...saya memilih mengemukakan kondisi rakyat yang nasib mereka tak banyak berubah sekalipun pemerintah sudah bertukar tangan.

Sebagai contoh, bagi diri saya yang sudah bersara ini bolehlah difirkan apa 'keuntungan' dan 'kerugian' diperolehi selepas HARAPAN berkuasa? Sekarang ini harga barangan keperluan terus melambung tinggi, bayaran elektrik sudah dikenakan bagi penggunaan kurang RM20, perolehan hiba Tabung Haji (TH) sedikit (1.25 peratus) berbanding dulu (5-7 peratus), yuran sekolah anak tetap tinggi...demikianlah banyak lagi perkara menyebabkan 'pemikiran rakyat terus berserabut'!

Demokrasi telah menaikkan pemerintah baharu. Demokrasi memelihara hubungan pemimpin-rakyat. Rakyat memilih pemimpin, maka timbullah slogan seperti 'daripada rakyat untuk rakyat' dan 'daripada rakyat kepada rakyat'. Di sini jelas sekali kepentingan rakyat...dan berhubung perkara ini saya sangat tertarik dengan kata-kata bernas yang kerap diungkapkan oleh seorang pemimpin HARAPAN (usahlah namanya dinyatakan)..."tidak guna pemimpin (pemerintah) berubah jika rakyat terus susah."



Antara lain beliau mengungkap bahawa; "kita bukan bermatlamat menukar pemimpin...ya buat apa tukar pemimpin jika pemimpin baharu itu sama seperti pemimpin lama yang terus menyusahkan rakyat." 

Ya, dalam konteks rakyat, apa yang menjadi keutamaan mereka? Tentunya kehendak kebanyakannya menepati pandangan ahli ekonomi (malah kehidupan) bahawa mereka mahu memenuhi keperluan asas manusia itu soal makan-minum, pakaian dan tempat tinggal. Namun ada yang meletakkan 'persoalan ketuhanan' di kedudukan tertinggi kerana makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu diperolehi secara 'telus' (halal). Selepas itu barulah manusia bergerak ke depan dengan memikirkan mengenai soal kekeluargaan, hubungan sesama manusia (berkerajaan dan bermuamalat), pendidikan, keadilan dan sebagainya.

Demikianlah, wahai pemimpin buat permulaan jagalah persoalan makan minum, pakaian dan tempat tinggal (rumah) rakyat. Dan bagi pemerintah yang gagal 'berlaku adil' dalam hal ini seperti terus menekan rakyat. Namun amat malang jika pemerintah baru 'berperangai sama' yang mengakibatkan kehidupan rakyat semakin susah - jadi apa ertinya jika pemimpin sudah bertukar tetapi rakyat tetap susah. 

Membicarakan soal pemimpin berubah rakyat tetap susah ini, kita cukup tertarik dengan kritikan tajam pelbagai pihak di Indonesia termasuk media massanya pada Pemilu lalu. Media massa ini dengan keras mengingatkan pemimpin bahawa tidak guna pemerintah saja berubah tetapi nasib rakyat tetap sama - tidak berubah, miskin di dalam sebuah negara yang mewah sumber alamnya.  Mereka berkata, kebanyakan pemimpin tetap sama, belum dapat kuasa banyaklah janji dan pameran kebaikannya tetapi selepas itu janji tinggal janji...

Sebuah akhbar mengingatkan: "Para pemimpin yang baharu terpilih...jangan hanya 'bisa' membuat program kerja baru, tapi 'bisa' melaksanakannya." Rakyat sudah muak dengan janji-janji, mereka mahu menikmati hasil daripada program dan projek kerajaan tetapi hal itu tidak berlaku - kehidupan mereka masih sama seperti dulu sekalipun pemimpin sudah acap kali berubah.

Ya kebanyakan pemimpin sama saja (kecuali segelintir), tidak kira di mana, malah di serata dunia, belum dapat kuasa banyak saja janjinya, sudah berkuasa habuk pun tak ada!

Monday, April 29, 2019

Semarak Ramadan...(2): Palestin yakini 'Salahuddin Al-Ayubi' muncul tidak lama lagi...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
TIBA-TIBA Negara Brunei Darussalam menjadi fokus dunia. Timur dan Barat. Ini berlaku selepas negara kesultanan Melayu di utara Borneo itu mula melaksanakan hukum hudud termasuk hukuman rejam terhadap penzina dan pelaku hubungan seks gay dan lesbian.
Undang-undang syariah di negara yang diperintah oleh Sultan Hassanal Bolkiah itu dikuatkuasakan awal April selepas penangguhan selama beberapa tahun. Langkah Brunei ditentang pelbagai pihak - daripada yang paling berkuasa kepada yang paling lemah, termasuklah oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai organisasi terbesar dan tertinggi dunia.
Ketua Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet berkata pelaksanaan undang-undang yang disifatkannya sebagai drakonian itu hanya akan menandakan kemunduran perlindungan hak asasi manusia kepada rakyat Brunei.
Alhamdulillah kemuculan dan keberanian pemerintah dan rakyat Brunei untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah dirasakan sebagai sekelumit jawapan dan suntikan semangat kepada permasalahan orang Palestin yang kini bagaikan terpenjara dalam negara mereka sendiri. Mereka hidup dalam 'deep state' iaitu negara dalam negara.
Ramai daripada orang Palestin mengharapkan kemunculan tokoh hebat Islam seperti Salahuddin Al-Ayubi (pembebas Baitulmaqdis daripada Tentera Salib) malah pemimpin masa depan yang dijanjikan iaitu Imam Mahadi yang akan membebaskan mereka serta tanah suci Baitulmaqdis dan bumi Palestin yang barakahi daripada cengkaman kezaliman rejim ganas Zionis Israel.
Tentunya tokoh-tokoh ini akan mendaulatkan hukum-hukum Allah; dan bersyukurlah ada pemimpin dari Timur (seperti Brunei) telah mengorak langkah itu. Kata orang Palestin pemimpin yang dijanjikan boleh datang dari ceruk dunia mana sekalipun (ya sesiapa pun boleh dipilih Allah SWT) termasuklah dari Timur.
Mereka berkata waktu kemunculan pemimpin itu sudah terlalu dekat - mungkin dalam tempoh setahun dua ini...ya orang Palestin bagaikan tidak sabar menunggu kemunculan tokoh ini. Bagi sesetengahnya, kejayaan orang Palestin membuka semula Masjid Bab Al-Rahma (masjid keenam di Haram Al-Syarif / Al-Aqsa) pada Mac 2019 adalah antara petanda itu.
Ada penduduk Palestin melihat sikap sesetengah pemimpin Palestin terlalu bergantung kepada Barat termasuk usaha damai dilakukan mereka begitu merugikan. Misalnya sehingga kini Palestin masih belum diterima sebagai anggota PBB sekali gus menjadikannya sebagai sebuah negara berdaulat selepas permohonan dikemukakan presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas.
Sikap berdolak-dalik PBB itu adalah berikutan tekanan Amerika Syarikat dan kuncu-kuncu dalam Majlis Keselamatan seperti Britain dan Perancis. Malah Perancis menambah garam di luka apabila mencadangkan Palestin diberi status pemerhati dalam PBB, bukannya sebuah negara beridentiti sendiri. 
Isu pengisytiharan negara Palestin merdeka bukanlah baharu malah tokoh masa lalunya seperti Yasser Arafat mati dengan berputih mata kerana impinan itu tidak terlaksana. Isu Palestin adalah sandiwara Barat, terutama oleh pemimpin Amerika Syarikat yang berterusan menjalin hubungan kejap dengan rejim Zionis pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang pada 8 April lalu menang pilihan raya. Netanyahu berikrar merampas lebih banyak tanah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Kini Palestin dan rakyatnya terumbang ambing tidak bernegara dan beridentiti (berdaulat) dan akan berterusan menghadapi kekangan, cengkaman, serangan serta pencabulan rejim ganas Zionis.
Demikianlah mengapakah agaknya nasib rakyat Palestin dan umat Islam minoriti di rantau lain seperti di Kashmir, Xinjiang (China), Selatan Thailand, Selatan Filipina, Chechnya, Arakan (Myanmar-Burma) tidak dihirau masyarakat antarabangsa termasuk badan dunia seperti PBB.
Hakikatnya selepas kebanyakan tanah air umat Islam dijarah penjajah dan daulah Khilafah Islam terakhir, Uthmaniyah tersungkur pada 1924, kehidupan umat semakin jauh daripada panduan Allah dan Rasul-nya termasuk dari segi pemerintahan.
Selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya (termasuk melaksanakan semua hukum hakam Islam tidak terkecuali hudud seperti ditunjukkan pemerintah Brunei) selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, insya-Allah semua termasuklah orang Palestin akan selamat dunia dan akhirat. Amin

Monday, April 22, 2019

Bukti toleransi beragama: Muslim diamanah kunci gereja

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

* Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.*  

ALHAMDULILLAH akhirnya saya sampai ke Baitulmaqdis (Jerusalem) - kota suci tiga agama - Islam, Kristian dan Yahudi (Judais). Sekali lagi, Alhamdulilah dapatlah saya beribadat di sejumlah masjid di Haram Al-Syarif (kawasan Al-Aqsa yang dalam bahasa Inggeris selalu disebut Temple Mount) seperti Masjid Jamek Qibli (Al-Aqsa), Masjid Kubah Batu (Dome of the Rock), Masjid Marwani serta Bab Al-Rahma.

Selain itu, rombongan kami dibawa melawat tapak suci penganut Kristian seperti Gereja Holy Sepulchre iaitu tempat paling suci bagi penganut agama itu kerana mereka percaya ia sebagai lokasi penyaliban Kristus (Jesus) dan kuburan beliau.

Gereja ini yang juga dikenali sebagai Gereja Makam Suci dan Gereja Kebangkitan merakamkan pelbagai catatan sejarah antaranya membabitkan kejatuhan kota Baitulmaqdis dan penyerahan kuncinya ke tangan Khalifah Umar Al-Khattab pada 637 Masihi. 

Setelah kekalahan Byzantium, Jerusalem perlu diserahkan kepada khalifah sendiri. Umar datang ke Jerusalem untuk memenuhi undangan Patriac Sophronius, penguasanya, bagi melakukan serah terima kota Jerusalem. 

Maka termeterilah 'Perjanjian Aelia' yang terkandung jaminan Islam bagi kebebasan, keamanan dan kesejahteraan penganut Kristian beserta lembaga-lembaga keagamaannya.

Selesai membuat perjanjian, Umar hendak melaksanakan solat, Sophronius mempersilakan khalifah untuk solat di dalam Gereja Holy Sepulchre. 

Umar menolak, beliau solat di tangga gerbang timur gereja. Beliau berkata, “Patriac, tahukah kamu mengapa aku tidak mahu solat di gereja kamu? Kamu akan kehilangan gereja ini kerana setelah aku pergi, orang Islam akan mengambilnya daripada kamu dan berkata, “Di sinilah Umar dahulu pernah bersolat”. Penolakan Khalifah Umar inilah yang selanjutnya menyelamatkan gereja tersebut hingga utuh sampai sekarang.

Sebuah masjid didirikan berdekatan tempat Umar solat, yang masih utuh hingga hari ini. Menara Masjid Umar jelas kelihatan dari pekarangan Gereja Sepulchre.

Sekarang ini dua keluarga Islam terbabit dalam menyimpan kunci dan urusan membuka dan menutup gereja ini. Menurut pembimbing rombongan kami, langkah ini selain membuktikan tolerasi antara penganut agama, ia juga menyelamatkan sengketa mazhab dalam agama Kristian berhubung pentadbiran dan pengurusan gereja tersebut.

Dua keluarga Muslim ini diberi kepercayaan berkenaan sejak abad ke-12. Keluarga Joudeh diberi amanah untuk menyimpan kunci gereja itu sementara keluarga Nuseibeh pula bertanggungjawab membuka pintu gereja setiap awal pagi dan menguncinya semula pada sebelah petang.

Di gereja ini ada sekurang-kurangnya enam mazhab Kristian iaitu Ortodoks Yunani, Ortodoks Armenia, Katolik, Ortodoks Syria, Ortodoks Koptik Iskandariah-Mesir, dan Ortodoks Habsyah Tewahedo. Katolik Rom, Yunani, dan Armenia memegang 70% pemilikan gereja ini.

Demikianlah wujud toleransi dalam mengamalkan agama masing-masing antara penganut Islam dan Kristian di tanah Suci Baitulmaqdis terutamanya selepas ditunjukkan contohnya oleh Khalifah Umar Al-Khattab dan kemudian penguasa Islam lain seperti Salahuddin Al-Ayubi yang sewajarnya 'difikir-fikir' dan 'direnung-renung' oleh 'orang kita'.

Namun kita jangan lupa bahawa sebenarnya yang berkuasa di kota Baitulmaqdis sekarang adalah rejim Zionis (Israel atau Tel Aviv) yang terkenal dengan kezalimannya. Adalah penting untuk kita 'merenung sejenak' perbezaan rejim ganas ini dengan orang Yahudi. 

Bagi orang Islam, sepanjang penelitian kita terdapat sejumlah hadis yang menunjukkan bahawa Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. pernah berhubungan dengan orang Yahudi. Antaranya sebuah hadis yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi s.a.w. menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya." - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Sebuah lagi hadis bermaksud: “Daripada Aisyah r.a. berkata Nabi s.a.w pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w. menyerahkan baju besinya." - Riwayat Al-Bukhari

Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?” - Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961)



Berdasarkan ini, adalah tidak benar untuk menyatakan tidak boleh berhubungan (termasuk bermuamalat) dengan orang Yahudi; tetapi yang tidak bolehnya meniru perangai dan sikap sesetengah orang Yahudi yang kini terkenal dengan rejim Zionisnya yang membelasah penduduk Palestin/Islam semahu-mahunya. Zionisme diwujudkan pada 1897 oleh Theodor Herzl dan daripadanya terdirinya 'negara' (rejim) haram Israel di atas tanah Palestin pada 1948 dan kemudian mereka 'menjarah' pula tanah suci Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari 1967.

Thursday, April 18, 2019

Semarak Ramadan...(1): Menjejakkan kaki di Baitulmaqdis

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
AKHIRNYA baru-baru ini saya sampai ke Baitulmaqdis; kota suci tiga 'agama Samawi (wahyu atau langit)' - Islam, Kristian dan Yahudi (Judais).  Alhamdulillah saya sampai ke bumi barakah ini pada penghujung bulan Rajab yang kerap dikaitkan dengan tarikh Israk Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.
Ketika bertugas sebagai pengarang luar negara sebuah akhbar harian nasional dulu, saya ditawarkan ke sana untuk membuat pilihan raya umum pertama Palestin pada 1996 malangnya saya tidak dapat pergi disebabkan masalah tertentu jadi pemergian kali ini bagaikan 'terubat kerugian' masa lalu.
Berhubung Israk Mikraj,  Allah SWT merakamnya dalam al-Quran - Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
Akhir-akhir ini kita cukup gusar apabila Zionis Israel membina lebih banyak penempatan haram dalam kawasan Palestin di Baitulmaqdis.

Kegusaran ini bertambah kerana berdasarkan perkembangan semasa, umat Islam sedunia membisu hatta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mendakwa memayungi ummah, tidak berkutik pun.

Pencerobohan ini (pembinaan penempatan) bukanlah kali pertama Zionis Yahudi menjalankan tindakan ‘unilateral’ (sebelah pihak) yang turut dibantah sekutu rapatnya seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Umum mengetahui sejak sekian lama rejim Tel Aviv sudah dan akan terus meluaskan tanah penempatan Yahudi.

Cita-cita ‘expansionism’ (perluasan wilayah Yahudi) bukan semata-mata untuk merampas tanah air Palestin seluruhnya tetapi memenuhi impian sebuah ‘Greater Israel’ (Israel Raya) yang bersempadankan Sungai Nil (di Mesir) di sebelah barat dan Sungai Furat (di Iraq) di sebelah timur.

Sempadan ‘expansionism’ dari sebelah barat ke timur ini sudah diketahui banyak pihak tetapi tidak ramai menyedari rancangan perluasan di sebelah selatan yang menjangkaui rantau Madinah al-Munawwarah di mana terdapat Masjid Nabawi dan makam semulia-mulia makhluk iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Sesetengah Yahudi mendakwa mereka keturunan Bani Nadir dan Bani Quraizah yang pernah mendiami Yathrib (Madinah) pada zaman Rasulullah s.a.w. sebelum mereka diusir dari sana selepas melanggar perjanjian yang dimeterai dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Berdasarkan pendedahan cita-cita besar Zionis Israel ini, umat Islam perlu bangkit daripada lena yang panjang kerana ancaman Yahudi bukan menyangkut orang Palestin saja tetapi ummah termasuk mempertahankan tanah suci Madinah dan Makkah. 

Jika pencabulan Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa di al-Quds (Baitulmaqdis) tidak cukup untuk menyemarakkan semangat perjuangan ummah, kini dengan tergugatnya Madinah dan kota suci Makkah di mana terdapat Kaabah iaitu kiblat ummah; apakah umat Islam masih mahu terus menyepikan diri; masing-masing tenggelam dengan permasalahan negara dan bangsa sendiri sehingga tiada masa memikirkan nasib agama sendiri.

Sebelum rejim Zionis melangkah lebih jauh, kita berpendapat sekaranglah masa untuk umat Islam berganding bahu, berbuat sedaya upaya untuk menghentikan kezalimannya di bumi Palestin. Kejahatannya untuk menghancurkan al-Aqsa dan kawasan persekitaran perlu dihentikan segara; di sinilah ummah diperlukan untuk menyumbang tenaga semaksimum mungkin sama ada melalui pemikiran, pemboikotan, penggunaan kekuatan dan sebagainya.

Jika ancaman Zionis di Palestin ini tidak dapat ditangani, kita bimbang cita-cita perluasannya kian dekat untuk direalisasikan apatah lagi selepas jatuhnya Iraq ke tangan Washington, sekutu kuat Tel Aviv. Jika seluruh Palestin jatuh, terpalitlah seluruh dunia Islam dengan dosa tidak membantu saudara seagama.

Jatuhnya Masjid Al-Aqsa, tercemarlah maruah umat Islam tetapi bahaya lebih besar, terbukalah peluang Zionis laknatullah untuk menyampaikan cita-cita ‘expansionism’nya, menjarah negara-negara umat Islam sehingga akhirnya sampai ke Madinah Al-Munawwarah.

Inilah fitnah terbesar akan dihadapi ummah; oleh itu bangunlah, bangunlah wahai umat Islam sedunia, marilah kita mulakan sesuatu, menutup ruang-ruang yang membolehkan Zionis laknatullah merealisasikan cita-cita besarnya. 

Mulai sekarang kejutkanlah ummah yang kerap bersengketa itu bahawa kota suci Nabi itu pun semakin hampir untuk digapai oleh musuh. Tidak ngerikah kita memikirkan perkara itu, tidak malukah kita nanti kitalah ummah yang membenarkan musuh Allah ini menghina dan mencerca Nabi kita tatkala mereka menguasai kota kesayangan Nabi itu?

Oleh itu, marilah kita umat Islam, tidak kira dari Barat atau Timur bersatu hati, menghadapi ancaman Zionis di bumi Palestin. Halang mereka di bumi barakah ini sebelum mereka bergerak jauh, menghancurkan negara umat Islam satu persatu sehingga terbalaslah dendam Bani Quraizah dan Nadir lebih 1,400 tahun dulu.

  

Tuesday, April 9, 2019

Jangan lari... (32): Tegakkan hukum Allah walau pada akhir usia...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DALAM Surah Al-Israk Ayat 1, Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

Saban tahun umat Islam di Malaysia menyambut Israk dan Mikraj pada penghujung Rejab (ulama berselisih pendapat mengenai bulannya) dengan di kebanyakan masjid dan pejabat diadakan ceramah mengenainya. Ini bermakna sekali gus umur kita semakin berkurangan tahun demi tahun sehinggalah kita dipanggil untuk menghadapi Illahi. Nabi s.a.w. yang kita kasihi meninggal dunia dalam usia 63 tahun, demikian juga sahabat dan pengganti baginda Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab, mereka meninggal dalam usia yang hampir sama dengan baginda Rasul.

Jika diandaikan umur kita sama juga dengan umur Nabi s.a.w. dan sahabatnya, bayangkanlah berapa baki umur kita di alam fana ini. Jika kita sudah berusia 60 tahun, baki umur kita hanya tiga tahun; jika umur kita 50 tahun, bakinya 13 tahun lagi. Itu mengikut perkiraan tahun Masihi, jika berdasarkan kiraan tahun Hijrah, mereka yang berusia 60 tahun sebenarnya sudah berusia kira-kira 63 tahun (tahun Hijrah kurang 11 hari berbanding tahun Masihi), jadi hidupnya adalah berdasarkan 'umur subsidi' seperti diungkapkan kebanyakan orang sekarang.

Jika selama 60 tahun, kita hidup 'tanpa apa-apa' (maksudnya terlalu mengikut nafsu dunia) bayangkan apa yang kita dapat lakukan dalam masa baki usia kita. Bayangkan juga kita cuma berpeluang menyambut hari raya sebanyak tiga kali saja lagi (kiasan ini kerap digunakan di kampung-kampung). Persoalannya apa yang dapat kita lakukan dalam masa tiga tahun itu?

Namun ada satu pesanan ulama yang dapat menguatkan azam kita untuk menempuh secara bermanfaat baki umur kita yang sangat singkat itu. Ulama berpesan masa itu sebenarnya ada tiga saja iaitu semalam, hari ini dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah; esok belum pasti. Yang kita ada hanya hari ini; jadi maksimumkan masa yang ada sekarang ini untuk menjadi insan terbaik dan insya-Allah, di akhirat nanti kita akan golongankan bersama para salihin, syuhada dan anbia.

Tahun demi tahun kita mendengar kisah Israk dan Mikraj. Namun adakah kita melakukan perubahan drastik, menjadi insan tawaduk dengan berusaha mematuhi semua perintah Allah SWT dalam semua bidang kehidupan? Jika selama 60 tahun kita hidup, kita gagal melihat hukum-hukum Allah terlaksana di bumi-Nya, masanya semakin singkat untuk kita menyaksikan saat paling bermakna itu. Kita tetap tertanya-tanya bila dan bila tetapi masa yang kita ada semakin lama semakin habis.

Kita cukup mengerti, saban tahun selepas majlis Israk dan Mikraj, kita akan memasuki Syaaban dan kemudian Ramadan di mana hampir semua umat Islam akan berpuasa sejajar dengan ayat 183 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Tetapi bagaimana pula penerimaan kita apabila membaca ayat 178 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukum qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”

Persoalannya di sini, adalah selama 60 tahun kita hidup itu, kita telah menggunakan segala kesempatan diberikan Allah SWT itu untuk berusaha menegakkan hukum-hakam-Nya termasuk perintah dalam ayat 178 Surah al-Baqarah itu.

Jika ya, alhamdulillah; tetapi jika tidak, marilah kita bermuhasabah diri, memanfaat baki masa yang sungguh singkat itu untuk menegakkan segala perintah Allah SWT dengan harapan menggunung agar Dia menerima segala amalan walaupun ia dilakukan pada sisa akhir umur kita.

Wednesday, April 3, 2019

Rakyat marhain Melaka damba bas mini ke hospital

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

DARI segi infrastruktur pengangkutan, tahniah diucapkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka kerana telah menyiapkan pelbagai projek kemudahan rakyat antaranya; jejambat 'mega' Ayer Keroh dan Peringgit; memulakan pelbagai destinasi penerbangan di LTA Melaka di Batu Berendam dan menaik taraf operasi perkhidmatan bas di Melaka Sentral.
Insya-Allah kita yakin banyak lagi kemudahan awam untuk rakyat akan muncul tetapi tidak salah rasanya untuk pemimpin kerajaan HARAPAN mendengar pandangan dan keluh kesah rakyat marhain khasnya dalam bab mengenai pengangkutan awam di negeri ini.
Baru-baru ini saya memandu kereta membawa ibu saya ke Hospital Melaka; dalam perjalanan saya terlihat seorang 'nenek' di sebuah perhentian bas. Saya berhentikan kereta dan selepas bertanya destinasinya, saya menumpangkannya.
'Nenek' berusia lebih 70 tahun ini meluahkan rasa hatinya - katanya sekarang ini susah 'mendapatkan' bas awam. Kekerapan bas ke Melaka Sentral yang lalu di jalan raya depan rumahnya adalah 'teruk' - selalunya lebih daripada sejam menunggu, malah ada kalanya sehingga dua atau tiga jam!
Seterusnya di Melaka Sentral tiada bas yang terus ke atau 'masuk' ke kawasan Hospital Melaka. Bas yang ada ke Ayer Keroh, yang selalunya 'lambat' hanya berhenti di jalan besar dan dia terpaksa menapak mendaki bukit ke hospital. Orang 'dah tua', 'kaki dah tak kuat' pun kena menyeberang jalan besar dan menapak bukit.
'Nenek' ini terbayang kisah lampau - dulu bas 'Town Bus'  yang berwarna hijau mendaki bukit kawasan hospital dan selepas membuat 'pusingan' barulah bas ini 'turun'. Sekarang dengan bas Panorama milik syarikat kerajaan negeri, hal ini tidak lagi berlaku...
Itu kisah dulu, bas besar 'naik' kawasan hospital; sekarang ini tak mungkin dapat diulang kerana jalan mendaki ke hospital sudah sempit dan di kiri kanannya penuh dengan kenderaan. Bagi yang mampu 'berkereta' ke hospital ini pula akan menghadapi masalah 'pakir' - awal-awal pagi lagi kawasan letak kenderaan sudah penuh!
'Nenek' ini berharapkan ada perkhidmatan bas sampai ke 'pintu' bangunan hospital. Menggunakan bas besar mungkin mustahil, tetapi ada pengguna mencadangkan penggunaan bas mini - mungkin boleh dicadangkan di bandar raya Melaka diadakan perkhidmatan bas mini yang tambangnya murah sesuai untuk golongan marhain dan boleh membawa ke pelbagai destinasi penting dengan cepat tetapi selesa.
Selain hospital yang 'tiada khidmat' bas, Pasar Besar Melaka (baharu tetapi berstatus sementara) di Bachang demikian juga halnya. Tiada bas ke sini, jadi susahlah rakyat marhain - jadi kalau ada bas mini yang 'round' seluruh bandar raya Melaka, mungkin masalah ini dapat diselesaikan.
Sekarang ini, terlalu jarang saya menaiki bas awam, tetapi sebagai seorang bekas pengguna bas henti-henti yang memahami suka duka penumpang bas awam, hati saya bagaikan 'luruh' melihatkan datuk, nenek, makcik, pakcik dan anak-anak muda dan kecil menunggu berjam-jam dalam keadaan panas terik atau hujan di tepi jalan; bas yang ditunggu bagai tak kunjung tiba.
Suatu pagi terpandang saya seorang ibu dan seorang kanak-kanak, agak saya berusia 12 tahun berjalan kaki mendaki bukit dari persimpangan jalan dekat Kota Cemerlang menuju ke kompleks bangunan kerajaan di Ayer Keroh, mungkin untuk membuat kad pengenalan si anak. 
Aduh, terpaksalah mereka meredah panas, berjalan hampir setengah kilometer untuk ke pejabat berkenaan. Mungkin bas yang mereka naiki tiada perkhidmatan ke kompleks berkenaan, jadi terpaksalah mereka berhenti di jalan besar, seterusnya berjalan kaki. Disebabkan saya memandu kereta bertentangan perjalanan, tidaklah saya dapat menumpangkan mereka.

Benar, sebahagian besar pengguna bas awam di Melaka sekarang ini mengalami masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak dapatkan bas sekarang ini." 
Menunggu satu dua jam di tepi jalan adalah perkara biasa kerana kekerapan perjalanan bas dikurangkan. Seorang pemandu bas berkata, hal itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak pengusaha bas akan mengalami kerugian besar.

Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak menguntungkan. 
Namun bukan semua orang ada kenderaan sendiri; mereka terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas. Di seluruh Melaka, dilaporkan ada lebih 30,000 pengguna tetap bas awam. Merekalah golongan teraniaya apabila perkhidmatan bas lembap atau tiada langsung. Jadi kepada pemimpin yang bertanggungjawab dalam hal ini, diharapkan dapat mengusahakan sesuatu...insya-Allah, Allah SWT akan membantu jika anda ikhlas dan amanah!