Thursday, January 31, 2019

Jangan lari... (28): Masalah sosial: Bapa borek anak rintik...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
DEWASA ini masalah sosial dan jenayah semakin menjadi-jadi termasuk yang membabitkan generasi muda dan di sekolah-sekolah. Gejala gengsterisme di sekolah-sekolah dilaporkan menjadi-jadi sekalipun pihak berkuasa memberi amaran akan bertindak keras ke atas pembuli. 

Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi. 

Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama. 

Kata pepatah Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'. 

Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah persekitaran yang begitu membingungkan. 

Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca. 

Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran. 

Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan. 

Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti internet, televisyen dan radio. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor). 

Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif? 

Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara? 

Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama. 

Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang. 

Akhir sekali pemimpin juga mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda. JANGAN LARI daripada kewajipan ini.

Jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama. 

Kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid pula akan kencing berlari!  





Monday, January 28, 2019

Ringankan beban tampung persekolahan anak-anak...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

BARU-BARU ini seorang anak saya yang belajar di sekolah menengah harian (bukan asrama) meminta saya wang RM330; katanya untuk membayar pelbagai yuran sekolah yang 'dilonggokkan' di bawah PIBG.

Permintaan itu adalah daripada seorang anak; cuba bayangkan jumlah bayaran perlu dibereskan ibu bapa yang mempunyai ramai anak - sama ada di bangku sekolah rendah, menengah, pra-universiti dan institusi pengajian tinggi. Yuran bagi anak-anak di sekolah berasrama penuh 'mengerunkan' kerana ia boleh mencapai RM1,000.

Malahan bagi anak-anak yang hendak dimasukkan ke kelas pra-sekolah (tadika), perbelanjaannya lebih tinggi. Ada mendakwa tadika  'ada kelas sikit' mengenakan bayaran RM1,000!

Demikianlah bukan murah memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak. Namun menjadi harapan kita kerajaan HARAPAN dapat melihat perkara ini dan mencari jalan bagi meringankan bebanan rakyat (khasnya ibu bapa) dalam menyekolahkan anak-anak agar mereka menjadi insan terbaik pada masa depan.
 
Ya, diakui bahawa bagi melahirkan sebuah tamadun hebat, sejajar dengan pengorbanan semua peringkat masyarakat daripada ibu bapa sehinggalah guru, setiap insan perlukan pendidikan terbaik sama ada dari segi keperluan keduniaan atau akhirat. 

Masa depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya. 

Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi, suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat.

Mengapa kos pendidikan yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik;  perkara ini perlu ditangani secara bijaksana oleh pemimpin HARAPAN dalam suasana 'udara segar' Malaysia Baharu.

Kita perlu fikirkan di beberapa negara maju seperti Britain, Sweden dan Finland pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan naik pada sesi baharu persekolahan. 

Selain kos semakin meningkat di sekolah, pengajian peringkat tinggi juga mahal. kita difahamkan setiap pelajar dikehendaki membayar yuran yang mencecah RM1,000. Bagi meringankan beban ibu bapa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pendahuluan pinjaman RM1,500 bagi setiap pelajar baharu. 

Ertinya sebelum seseorang pelajar itu memasuki institusi pengajian tinggi, dia sudah mula mengumpul hutang; selepas tamat pengajian beberapa tahun kemudian, berapa agaknya hutang terkumpulnya kepada PTPTN? 

Hutang pendidikan begitu membebankan rakyat, terutama generasi muda yang baharu menempoh dunia pekerjaan. Akibat terlalu banyak komitmen, pelbagai masalah termasuk dari segi sosial akan membelenggu sekali gus menjejaskan kemajuan dan kesejahteraan negara. Kini timbul desakan agar PTPTN ini dikaji semua termasuk dihapuskan agar diberikan pendidikan percuma kepada rakyat. 

Perkembangan ini membuktikan bahawa tinggi harapan rakyat agar HARAPAN dapat memberi komitmen menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, daripada peringkat tadika sehinggalah ke pengajian ijazah pertama.

Harapan rakyat wajar diusahakan semampu mungkin oleh kerajaan HARAPAN kerana pendidikan percuma itu adalah berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana antara lain menyatakan hak bumiputera untuk berdaya saing dengan kaum lain; salah satu carannya melalui pendidikan. 

Sayogia usaha baik ini diperluaskan kepada semua kaum; semua pihak terutama pelajar yang memerlukan akan dibantu sepenuhnya agar semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan terbaik daripada tadika sehinggalah ke pengajian tinggi.

Kita yakin, 'keberhasilan' negara daripada pencukaiannya dan keuntungan puluhan bilion ringgit oleh Petronas, membolehkan rancangan pendidikan percuma itu dijayakan. Ya dengan syarat, kewangan negara ditadbir dengan telus, maka tidak timbul soal untuk memotong peruntukan dengan banyaknya dalam bidang pendidikan negara sehingga ibu bapa perlu membayar 'yuran besar' bagi pendidikan anak-anak mereka.

Friday, January 25, 2019

Jangan lari... (27): Memutuskan siraturahim mengundang bencana...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
PERBEZAAN pendapat dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.

Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu. 

Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup. 

Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup berpatah arang dengan orang tua mereka termasuklah kerana perselisihan pandangan dalam politik.

Akibat daripada terputusnya hubungan ini, ada anak-anak yang sudah lama tidak menjenguk ibu bapa masing-masing. Mereka tidak peduli kebajikan orang tua mereka di kampung - makan ke, sihat ke, mereka tak ambil kisah lagi.

Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan. 

Seorang tokoh agama berkata ramai anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka. 

Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan. 

Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja. 

Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu. 

Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi. 

Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati. 

Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung. Ya, jangan lari daripada mempelajari dan mengamalkan ilmu agama.

Apabila kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam setiap rakaat solat), insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.  

Monday, January 21, 2019

Kebajikan rakyat: Henti cari alasan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

DULU saya seronok mendengar ceramah tokoh-tokoh pembangkang yang hari ini sudah menjadi pemimpin kerajaan...antara lain mereka mengkisahkan tokoh-tokoh masyhur yang begitu prihatin nasib rakyat, antaranya Umar Abdul Aziz, seorang Khalifah Bani Umaiyah (memerintah 717-719 Masihi) yang kerap dianggap sebagai Khalifah Al-Rasyidin kelima selepas Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

Daripada percakapan mereka, seolah-olah mereka 'mahu menjadi' Umar Abdul Aziz atau setidak-tidak mencontohinya. Mungkin ada yang sudah lupa, jadi 'diputarkan' kembali sedikit sebanyak kisah Umar Abdul Aziz (hidup 682-719 Masihi). Ya, Umar Abdul Aziz hidup lebih kurang 37 tahun dan memerintah dua (2) tahun saja tetapi dapat menjadikan kebajikan rakyatnya yang terbaik pada zaman itu.

Umar Abdul Aziz masyhur dengan 'kisah lampunya' (integriti). Dia memadam lampu kerajaan tatkala melayan anaknya...dialah yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.

Khalifah berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu." 

Sungguh Umar Abdul Aziz telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia pada usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan Khalifah Al-Rasyidin yang empat.

Umar diiktiraf di peringkat antarabangsa. Wikipedia mencatatkan: The short rule of Hazrat Umar Abdul Aziz (717-719 AD) was like an oasis in a vast desert -- a benevolent rain which had fallen on an arid soil. It was the brightest period in the 91-year Caliphate of the Umayyads, which, though short lived, had transformed the outlook of the State and had released such powerful democratic forces that after his death the attempts for the restoration of autocracy under Hishaam failed miserably and ultimately culminated in the fall of the Umayyads at the hands of the Abbasids.  

Kehebatan dan keadilan Umar Abdul Aziz Bagi juga tersebar di Alam Melayu. Pada tahun 718 Masihi, Raja Srivijaya (empayar terbesar ketika itu), Sri Indravarman mengutus surat dengan hadiah-hadiah kepada Khalifah memohon dihantar wakil ke Palembang untuk diajar Islam kepada baginda dan rakyatnya.

Nah, kisah Umar Abdul Aziz yang menjadi 'basahan mulut' pihak tertentu suatu ketika dulu, sekarang ini perlu disemarakkan terus di kalangan pemimpin (yang sudah berkuasa) sekarang. Apabila mengingati Umar Abdul Aziz, sedarlah kita bahawa tokoh ini 'tidak diwariskan kebagusan' ketika mengambil alih pemerintahan.

Umar mewarisi sebuah pemerintahan yang korup, boros, bermewah-mewahan dengan sesetengah khalifah, pemimpin tertinggi termasuk gabenornya amat zalim. Mereka termasuklah Yazid bin Muawiyah dan Al-Hajjaj Ibn Yusuf Al-Thaqafi yang didakwa membunuh ribuan rakyat.

Jadi kepada mereka yang 'menjadikan Umar Abdul Aziz' sebagai rujukan masa lalu, adalah 'tidak bagus' untuk menyalahkan rejim lama yang banyak berhutang atau menjadikan  pemimpin lama yang korup dan perasuah sebagai alasan untuk melambat-lambatkan atau tidak langsung menunaikan 'janji-janji bagus' kepada rakyat. Mereka tidak boleh mendiamkan diri daripada 'bercakap' untuk mencontohi Umar Abdul Aziz.

Mereka juga tidak boleh menjadikan alasan tempoh pemerintahan masih awal atau singkat kerana tokoh yang mereka uar-uarkan dulu (Umar Abdul Aziz) dalam tempoh dua tahun sudah memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Ya, kebajikan rakyat adalah keutamaan pemimin. Kisah Khalifah Harun Al-Rasyid (memerintah 786-803 Masihi) daripada bani Abasiyah ini wajar dijadikan teladan. Baginda bukan hanya terkenal gagah berani, namun sangat mencintai para ulama. Khalifah sering kali menziarahi para ulama untuk mendengar nasihat dan fatwa mereka.

Ketika menunaikan haji, baginda berjumpa  Abdul Aziz Al-'Umari. Beliau adalah seorang ulama alim dan zuhud, Khalifah segera menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan nasihat daripadanya.

Abdul Aziz bertanya: "Wahai Khalifah, adakah tuan melihat kumpulan manusia yang berkumpul di Baitulllah?"

"Ya," jawab Khalifah. "Berapa jumlah mereka?" "Mereka sangat ramai. Bilangan mereka tak terhitung." Al-'Umari berkata: "Ketahuilah wahai Khalifah, setiap orang daripada mereka pada hari kiamat nanti akan ditanya tentang diri mereka sendiri. Akan tetapi engkau akan ditanyakan tentang setiap orang daripada mereka semua."

Mendengar ucapan ini, Khalifah hampir pengsan. Baginda menangis membayangkan betapa beratnya hisab di akhirat bagi sesiapa yang menjadi pemimpin di dunia. Harun Al-Rasyid menangis tetapi bagaimana pemimpin kita termasuk diri ini sebagai pemimpin kecil (seperti mengepali rumah tangga)?

Sunday, January 20, 2019

Jangan lari... (26): Kenapa kasihi yang cantik, 'molek' sahaja?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


KATA bijak pandai sebagai makhluk setiap daripada kita adalah pengemis. Mungkin ada orang terutama yang kaya, berkuasa, ternama dan berpangkat tidak dapat menerima hakikat ini, jadi moleklah saya mengutarakan hal ini yang diharapkan dapat membuka mata dan hati kita semua.

Sekarang heboh kisah seorang artis cantik kehilangan seekor kucing yang juga 'cantik'. Ya, ramai orang 'menyayangi' kucing. Ini kisah seorang daripadanya, tetapi bukanlah membabitkan artis itu. Di rumah orang ini ada sejumlah kucing; dan apabila diberi kucing-kucing makan di luar, maka adalah seekor dua kucing termasuk 'kucing kurap' datang untuk menumpang makan. Apa yang menyedihkan, hanya kucing-kucing kesayangan diberi makan sebaliknya si kucing kurap diusir. Ya, kucing-kucing cantik milik sendiri disayangi tetapi yang kurap tidak dikasihani.

Kenapa manusia membeza-bezakan layanan sesama binatang; menyayangi yang comel dan cantik tetapi membenci yang kurap? Mungkinkah orang ini bukan penyayang binatang tetapi menyayangi 'kecantikan dan kecomelan'. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa Mengetahui; kepada-Nya kita meminta pengampunan.

Apa yang kita amat kita bimbang, jika kita tidak mengasihi makhluknya di bumi atau melakukannya secara terpilih-pilih, yang di langit (seperti malaikat-Nya) apatah  lagi Allah SWT tidak mengasihani kita atau melakukan sikap terpilih-pilih pula. Inilah yang amat kita takuti. Jika kita mengusir si kucing kurap tanpa belas kasihan, ingatlah Yang Maha Berkuasa pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'.

Misalnya, sekali Dia tarik satu 'suis' di tubuh kita, maka menderitalah kita dengan penyakit angin ahmar. Lumpuh satu badan. Terbaring kaku di katil tetapi nafas masih ada. Berhari-hari koma kemudian bertukar minggu dan bulan. 

Bahagian bawah badan akhirnya bertokak. Seluruh tubuh mula berkudis. Kerana lama kita dirawat, banyak harta dan wang kita habis. Boleh jadi kita akhirnya jatuh miskin, papa kedana. Orang termasuk anggota keluarga menjadi benci - mereka bertanya, bila 'orang tua ni' nak mati?

Demikianlah akhirnya kita menjadi 'orang kurap'. Dulu kita mengusir si kucing kurap, kini kita pula menjadi 'manusia kurap'. Takutilah, wahai pembaca budiman terutama diri ini, Allah pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'. Apabila sudah menjadi 'manusia kurap' apakah masih ada harapan kepada kita?

Jawapannya, insya-Allah harapan masih ada, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada semua hamba-Nya. Bertaubatlah dan merintihlah seperti apa yang ucapkan doa pada awal celoteh ini: "Aku memohon kepada-Mu umpama si miskin yang meminta-minta, aku juga tunduk di hadapan-Mu sebagai orang yang berdosa dan hina. Aku memanjatkan doa kepada-Mu umpama orang yang dicengkam rasa takut dan bahaya sebagai hamba yang patuh dan tunduk di hadapan-Mu."

Selain penyakit; sejarah mencatatkan berapa banyak orang kaya, ternama dan masyhur akhirnya menjadi tinggal sehelai sepinggang atau menjadi pengemis disebabkan bencana seperti berlakunya kebakaran dan bencana alam malah 'dijual' sendiri oleh anak-anak, suami atau isteri dan rakan masing-masing. Malah ada yang 'lingkup' kerana kemerosotan ekonomi dan jenayah kewangan mereka sendiri.

Emperor Moghul yang masyhur dan kaya raya, Shah Jahan, yang terkenal dengan 'Taj Mahal'nya, pada penghujung hayatnya dikatakan 'dikurung' sendiri oleh anaknya. Dari 'kamar tahanan', dia melihat penuh sedih Taj Mahal; kuasa akhirnya sudah terlerai daripadanya; dia hidup penuh kesepian dan kehinaan kerana dunia sudah terlepas dari tangannya sekalipun dia belum mati! 

Tuesday, January 15, 2019

Henti keganasan di mana jua...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

TAHUN baharu membawa harapan baru. Demikian jua 2019 yang baharu menyingkap tirai. Namun kita terus disajikan episod keganasan sama ada di peringkat antarabangsa, dalam sesetengah negara malah dalam rumah tangga.

Sebagai contoh; di peringkat antarabangsa negara kuasa besar membuli negara kecil, pemerintah menzalimi golongan minoriti manakala dalam sesebuah keluarga, si suami 'membalun' si isteri (ada laporan menyebut si suami memukul isteri dengan sterika) malah ada anak-anak didera seperti menjirus mereka dengan air mendidih.

Pemimpin kuasa besar Amerika, Donald Trump meneruskan lagak angkuhnya membuli negara kecil termasuk dalam soal perdagangan dan mempamerkan prejudis kepada negara dan orang Islam. Kepada Amerika terutama Presidennya, berhentilah berlagak bagai polis dunia yang memaksa negara dan umat manusia mengikut nilai, kehendak nafsu, corak dan acuannya.

Apabila Amerika mahu memaksakan nilainya ke atas seluruh umat manusia, maka terjadilah keganasan yang memakan korban yang bukan sedikit. Amerika menjarah bumi Iraq sesuka hatinya, menghancurkan kerajaan Taliban Afghanistan, mendukung rejim Zionis Israel melanyak rakyat Palestin dan mutakhir ini bertindak mengikut nafsu di Syria.

Selain rejim Washington yang berlaku ganas terhadap warga dunia ketiga terutama negara umat Islam, kuasa besar lain seperti Rusia, India dan China juga tidak kurang bertindak ganas terhadap warganya termasuk orang Islam yang kurang upaya. 

Rusia menghadapi orang Islam Chechnya bagaikan beruang lapar, India berlaku zalim di Kashmir, begitu juga China yang menzalimi umat Islam Xinjiang manakala negara kuku besi seperti Myanmar bertindak ganas dan mengusir orang Islam Rohingya dari tanah air mereka. 

Dalam sesebuah negara pula, pemerintah yang diamanahkan kuasa oleh rakyat tidak wajar menggunakan instrumen kerajaan untuk bertindak ganas ke atas rakyat. Menggunakan pasukan keselamatan untuk membelasah rakyat termasuk dengan memancutkan gas pemedih mata ke atas mereka yang menuntut sedikit hak seperti gaji minimum atau membantah kenaikan harga barangan asasi seperti petrol dan gula, adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Demikian juga berkelakuan ganas dengan memonopoli media massa bagi membunuh karektor penentang dengan menyebar fitnah adalah bayangan manusia berhati kering yang tidak ada sifat-sifat kemanusiaan. Mereka membenarkan sifat kebinatangan malah kesyaitanan hidup subur dalam jiwa mereka, lantas bertindak ganas untuk terus berkuasa dulu, kini dan selamanya.

Dalam rumah tangga pula, ada suami mengganasi isteri; ada isteri mendera suami termasuk menyimbah asid malah yang sampai membunuh pula, manakala ada ibu bapa mendera anak dan ada juga anak yang mendera ibu bapa mereka termasuk yang sudah tua. Ada pengasuh kanak-kanak pula tidak amanah, mendera si kecil, ada yang sampai mati.

Kita menyeru agar dihentikan semua keganasan ini, agar keharmonian dapat dikembalikan di dunia. Marilah kita semua kembali merujuk contoh yang ditunjukkan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang diiktiraf sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam.

Rasulullah s.a.w. lahir pada zaman kemuncak keganasan (jahiliah). Bunuh membunuh, tindas menindas adalah amalan lumrah pada masa itu. Namun syiar Islam telah merobek-robek segala keganasan ini, maka terpancarlah cahaya keamanan dari Timur dan Barat. Pada kemuncak kekuasaan Islam, diriwayatkan orang perempuan pun boleh melakukan safar (bermusafir) yang aman dari Baghdad ke Makkah.

Tentunya rahsia keamanan ini adalah pegangan yang kukuh kepada ajaran Rasulullah s.a.w. Namun pada hari ini umat Islam yang berjumlah lebih dua billion itu tidak yakin untuk mengamalkan Islam sepenuhnya. Sekalipun ramai, mereka yang bagaikan buih-buih di lautan itu tiada kekuatan untuk menghadapi keganasan yang dihadapkan ke atas mereka.

Berdasarkan situasi memilukan ini, marilah kita mengkoreksi diri, memastikan diri kita, keluarga kita dan seterusnya masyarakat dan negara kita berada di jalan-Nya yang lurus, sekali gus selamat daripada keganasan dan kejahatan syaitan daripada kalangan jin dan manusia.  


Saturday, January 12, 2019

Jangan lari... (25): Yang baharu semuanya akan berakhir...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

SETIAP yang bermula pasti berakhir; termasuklah tahun 2018 Masihi yang digantikan 2019. Itulah ketentuan Yang Maha Kuasa. Tiada apa dan siapa pun yang berupaya menongkat dunia selama-lamanya. Yang kekal abadi hanya Zat Allah SWT Yang Maha Berkuasa, yang lain semuanya akan binasa.

Semua manusia akan berakhir dengan kematian. Tiada siapa terkecuali. Demikian juga pemimpin dan parti yang berkuasa - semuanya akan sirna apabila sampai masanya. Persoalannya apa yang hendak dibuat selepas kita menyedari hakikat bahawa semua yang bermula pasti berakhir. Pastikan sisa umur yang dipinjamkan Yang Maha Kuasa digunakan sepenuhnya untuk menggapai keredaan-Nya.

Dari segi politik negara kita, tahun 2018 memberi impak (kesan) besar kepada banyak pihak, termasuk parti politik dan pemimpinnya. Ada ke kemuncak kuasa. Ada yang kecundang, ada yang kembali berkuasa, tidak kurang juga yang tersembam (tersungkur) tak bangun-bangun lagi. Sebaliknya ada yang 'bangkit' (bangun) dari 'kubur'. Ramai yang menyangka karier politiknya sudah tamat, rupa-rupanya dia kembali ke puncak kuasa.

Menyedari semua daripada kita akan mati (semua yang bermula akan berakhir), ketika masih hidup ini tidak kiralah sama ada kita rakyat marhaen, pemimpin rumah tangga, pemimpin di pejabat, institusi pendidikan, kampung, daerah, negeri, negara, hatta dunia sekalipun persoalkanlah sama ada tindakan dan perbuatan kita selama ini selaras dengan kehendak agama atau tidak.

Semasa hidup inilah kita hendak mempersoalkan segala tindak tanduk kita, tidak guna kita mahu muhasabah diri apabila sudah masuk dalam kubur (mati). Hidup kita yang sementara itu hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan keredaan Yang Maha Kuasa.

Bagi mendapatkan keredaan-Nya, kita perlu berada di jalan-Nya yang lurus. Rujuklah al-Quran (Surah Al-Asr) yang menyatakan semua manusia berada dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Orang beriman akan melakukan semua tugas termasuk melakukan ibadat khusus dan bertindak secara ikhlas dan mengikut cara Nabi s.a.w. Jika tiada dua ciri ini, semua pekerjaan kita adalah tertolak, tidak membawa sebarang erti. Dalam kita sibuk menyambut Maulidur Rasul, pastikan kita berada di jalan-Nya yang lurus.

Demikianlah dalam menangani sebarang permasalahan termasuklah apabila tersungkur daripada puncak kuasa, bertindaklah berdasarkan kehendak Allah dan Rasul-Nya bukan melayani nafsu sendiri seperti gilakan publisiti atau mencari 'personal and political millage' (keuntungan peribadi dan politik).

Jadi sentiasalah beringat, setiap yang bermula (baharu) pasti akan berakhir, Yang kekal selama-lamanya adalah Zat-Nya Yang Maha Berkuasa! "Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)

Ya, semuanya akan berakhir. Pada era moden ini, di peringkat antarabangsa, kuasa besar dunia Soviet Union yang gagah perkasa itu 'hancur menjadi debu' pada akhir abad lalu. Selama 70 tahun empayar ini yang menjadi saingan Amerika Syarikat, akhirnya berkecai jua.

Di negara kita, Umno-BN yang berkuasa 60 tahun juga hancur digantikan kerajaan Pakatan Harapan yang menguar-uarkan slogan 'Malaysia Baharu'. Sama seperti Umno-BN, identiti baharu ini juga akan hancur; tiada yang kekal dalam dunia ini. Jadi kepada semua termasuk diri ini bersedialah untuk menghadapi 'kehancuran diri' - persiapkan diri untuk bekalan mati - ya tiada yang boleh LARI daripada ketentuan ini!

Tuesday, January 8, 2019

Usah dibazir wang rakyat...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SELAMAT Tahun Baharu. Semoga diberkati Illahi dan dipanjangkan usia. Berbekalkan semangat tahun baharu, diharapkan pemimpin dan rakyat dapat bergandingan bahu membangunkan negara ke peringkat tertinggi; antara perkara terpenting memberikan keselesaan kepada rakyat terbanyak.

Kepada pemimpin, kurangkan atau lebih baik lagi meminimumkan 'politiking' apatah lagi yang bersifat kepartian atau perkauman. Menjelang tahun baharu pun, ramai tokoh termasuk Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dan bekas menteri, Daim Zainuddin mengingatkan agar nasib rakyat marhaen dibela bukan asyik menyalahkan rejim lama.

Ya, ringankan bebanan rakyat. Kasihan mereka, sempena tahun baharu ini sebahagian besar daripada ketua keluarga dan pasangan mereka telah banyak berkorban termasuk dari segi kewangan seperti menyediakan peruntukan besar untuk menyekolahkan kembali anak-anak, 

Ini diikuti perbelanjaan 'besar' musim perayaan - Tahun Baharu Cina akan disambut tidak lama lagi...demikianlah banyak keperluan kewangan perlu disediakan sesebuah keluarga khasnya ketua keluarga.

Untuk membantu rakyat, kerajaan (pemimpin) perlu berwaspada dalam perbelanjaan negara. Kurangkan atau boleh hapuskan pembaziran. Berbelanja hanya pada yang benar-benar perlu saja...ya adalah perlu untuk agensi kerajaan berjimat cermat dalam membelanjakan wang rakyat.

Dulu, kita amat-amati setiap hujung tahun hampir semua institusi, agensi dan jabatan kerajaan ‘membalun’ habis-habisan peruntukan kewangan masing-masing, semuanya perlu dihabiskan sebelum permulaan tahun baharu. Akan timbul pelbagai istilah kurang menyenangkan seperti “jika wang diperuntukkan tidak dihabiskan bermakna institusi berkenaan tidak tahu berbelanja” dan “lecehlah mahu buat kira-kira bagi mengembalikan wang peruntukan itu kepada Perbendaharaan.” 

Akibat daripada kecenderungan ini, kita perhatikan wang rakyat dihamburkan tidak tentu hala, banyak projek yang tidak diperlukan dijayakan pada saat-saat akhir. Jalan raya yang baik ditar semula, longkang yang sudah baik saliran airnya dipecahkan dan dibikin baru, demikian juga dengan tandas masjid dipecahkan dan di atas runtuhannya dibikin tandas baru. 

Bagi kakitangan jabatan pula terlalu banyak program dijayakan pada hujung tahun, termasuklah lawatan sambil belajar dan seminar dan pertemuan yang dirasakan tidak perlu tetapi semata-mata untuk menghabiskan semua peruntukan kewangan yang telah diterima. Ada pegawai yang begitu sukar ditemui pada bulan Disember kerana mereka kerap mengikuti program-program dianjurkan jabatannya. 

Bagi kita menghabiskan semua wang peruntukan ini bagi menghadapi tahun baharu termasuk melaksanakan projek-projek tidak perlu dengan alasan kononnya “pandai dan bijak berbelanja” adalah kecenderungan buruk yang wajar diperhalusi dan diberhentikan. 

Berbelanja ‘sakan’ pada hujung tahun menjayakan projek tak perlu adalah bertentangan dengan konsep jimat cermat yang bukan hanya perlu diterapkan kepada diri dan keluarga (duit sendiri) tetapi juga semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang diamanahkan membelanjakan wang rakyat. 

Apakah seseorang ketua keluarga (biasanya suami) yang pada setiap hujung tahun akan berhabis-habisan menghamburkan lebihan wang peruntukan untuk keluarga untuk projek-projek tidak berfaedah semata-mata untuk mendapat gelaran ‘pandai berbelanja’ adalah seorang ‘bijaksana’ berbanding seseorang yang mengumpul wang lebihan itu melaksanakan pelbagai aktiviti berfaedah pada tahun-tahun berikutnya?

Bagi kita mereka yang mengambur-hamburkan wang ini tersasar jauh daripada konsep berjimat cermat serta amanah dalam apa-apa pemberian anugerah Allah SWT kepada mereka. 

Berhubung dengan tindakan berhati-hati dan berjimat cermat dalam mengguna serta menguruskan wang rakyat ini, kita tertarik dengan sebuah laporan bergambar dari London tidak lama dulu yang menunjukkan Ratu Elizabeth II dalam satu mesyuarat Kabinet British di No 10 Downing Street, sanggup duduk di kerusi ‘biasa’ bersebelahan Perdana Menterinya dalam sebuah bilik ‘yang biasa-biasa saja’.

Berdasarkan situasi ini, dapat kita simpulkan betapa orang Barat (termasuk pemimpinnya) amat berhati-hati dalam segala hal berkaitan dengan wang rakyat. Mereka dipertanggungjawabkan di atas setiap sen wang rakyat yang mereka gunakan untuk perbelanjaan kerajaan. Mereka tidak menghamburkan wang rakyat untuk melaksanakan projek mengikut suka hati masing-masing kerana semuanya akan direkodkan dan ada kira-kiranya. 

Kita berpendapat adalah mustahil Ratu Elizabeth dan anggota Kabinet British tidak mampu untuk mendapatkan kerusi dan bilik yang gah dan mewah tetapi itulah kelebihan mereka – mereka kelihatan bersederhana sekali walaupun berada di kedudukan tinggi; wang rakyat tidak akan sesekali mereka persia-siakan! 

Saturday, January 5, 2019

Jangan lari... (24): Berjaya, kecundang adalah cerita biasa manusia...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
SELAMAT menyambut tahun baharu 2019. Pada hari-hari terawal tahun baharu ini, adalah bermanfaat kita merenung dan bermuhasabah prestasi kita sepanjang tahun lalu, terutama usaha kita untuk mendekati Yang Maha Kuasa.
Sebagai makhluk-Nya yang lemah, ada kehendak dan impian kita tercapai dan ada yang tidak. Ya, pada tahun lalu betapa banyak azam kita tidak tercapai-capai jua. Kita merancang, yang menentukannya Allah SWT.
Tidak lama dulu, ketika tertonton 'highlight' (babak menarik) sebuah drama Cina di televisyen, tersentak hati saya sebentar ketika mendengar perbualan dua gadis. Seorang daripadanya merungut-rungut kerana banyak kehendaknya tidak tercapai. Jawapan si temannya mengejut dan menyentak jiwa saya. Antara lain katanya, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu dipenuhi kamu jadilah tuhan!"
Ya, Allah-lah Yang Berkuasa, kita tidak ada (punya) apa-apa. Tidak semena-mena saya menjadi insaf...sekalipun kata-kata ini diucapkan oleh seorang gadis Cina tanpa tauhid, terasa terpukul diri ini bahawa kita ini hanya HAMBANYA; Namun kita 'berlagak', berperasan kita boleh buat itu dan ini, berperasan kita berjaya kerana usaha kita.
Kita terlupa Allah SWT-lah penentu segala-galanya. Dia boleh memberi kita berjaya atau tidak, Dia juga penentu sama ada kita boleh mendapatkan sesuatu atau tidak. Semuanya terletak pada-Nya...namun kita selalu terlupa. Kita nakkan berjaya saja, tak dapat terima gagal atau segala perkara yang dianggap negatif lain seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan hilang pangkat dan jawatan.
Adakah dalam hidup ini kita mahu terima yang 'best' (baik-baik saja)?Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya dilalui secara pergiliran - ada kehendak kita dipenuhi ada yang tidak; ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang. 
Pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat. 
Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk). 
Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari
Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja. 
Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka! 
Kita perlu sedar dunia dan segala isinya sentiasa berubah. Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..." 
Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu). 
Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa!