Wednesday, November 21, 2018

Semarakkan lagi semangat Ali, Ah Kau, Muthu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


SEMPENA cuti Deepavali, saya sekeluarga pergi bercuti; alhamdulillah kami dapat menginap di sebuah rumah inap (homestay) di Sekinchan, Selangor. Kediaman ini terletak di lokasi 'lain daripada biasa' iaitu di tengah-tengah sawah; jadi banyaklah pengalaman termasuk yang mencuit hati dapat dirakam dan dicatatkan.

Suatu awal pagi selepas solat subuh, saya berjalan bersendirian berkilometer jauhnya...menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa terutama sang mentari yang mula menyinar. Pemandangan sawah padi yang luas terbentang dengan barisan rimpunan pokok padi sedang 'membunting' dan ada yang 'menerbitkan hasil', begitu mempersonakan.

Penanaman padi di Sekinchan ini begitu sistematik sekali - saya perhatikan ada papan tanda nama pada sejumlah petak padi termasuk disertakan nama petani, jenis padi dan tarikh padi mula ditanam. Hampir semua nama petani adalah orang Tionghua manakala bakinya adalah syarikat-syarikat.

Ya, hebat petani Cina Sekinchan menanam padi. Kesungguhan mereka dapat dirasai apabila saya melihat ada tali air (terusan) yang turut ditanam pohon padi. Kelihatan barisan panjang pohon padi sejajar dengan tebing terusan. Pendeknya petani memanfaatkan sepenuhnya kawasan bagi mendapatkan hasil yang banyak dan terbaik. Syabas petani-petani Cina Sekinchan!

Terfikir di benak saya, alangkah bagus jika bangsa-bangsa yang ada di tanah air kita dapat memanfaatkan (berkongsi) pengetahuan dan pengalaman...di sini pesawah Melayu mungkin dapat belajar sesuatu daripada petani Cina di Sekinchan iaitu bagaimana menghasilkan padi bermutu tinggi dan banyak pula secara sistematik. Saya tidak bermaksud pesawah Melayu 'tidak bagus' (di Kedah sawah petani Melayu adalah lebih besar saiznya) tetapi, ya tak salahkan  untuk saling belajar dan mengajar...

Demikianlah...dengan wujudnya pelbagai bangsa di tanah air kita apatah lagi pada era Malaysia Baharu sekarang ini, setiap kaum perlu membuka hati dan minda untuk menghebat atau menyemarakkan lagi semangat 'kekitaan kita' sebagai rakyat Malaysia. Alangkah indahnya jika Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain dapat saling tolong menolong dalam memajukan negara.

Berkenaan perkara ini, teringat saya akan buku-buku teks sekolah saya pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kerap memaparkan watak Ali, Ah Kau dan Muthu sebagai lambang perpaduan kaum. Kini dengan terciptanya Malaysia Baharu; 'semangat' Ali, Ah Kau dan Muthu boleh di-'upgrade'-kan ke peringkat lebih hebat agar Malaysia menjadi negara yang rakyatnya dikagumi di persada antarabangsa.

Saya juga teringat akan novel Melayu pertama ditulis oleh orang Tionghua. Ya novel 'Hidup Antara Duri' yang ditulis oleh Chong Chee Seong pada 1969 adalah lambang kerukunan hidup orang Melayu-Cina

Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan 50 tahun lalu.

Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.

'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.

Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.

Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu. Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.

Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Hari ini Malaysia Baharu memerlukan seramai mungkin
 Ang Chow, Hitam dan Pak Samad (Ali, Ah Kau dan Muthu) bergandingan tangan bagi melonjakkan negara ke tahap tertinggi!

No comments: