DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
BAGI sesetengah pihak tersungkurnya Umno pada PRU-14 Mei lalu membenarkan sebahagian dakwaan bahawa zaman Ketuanan Melayu sudah berakhir.
Majoriti rakyat sudah ke depan dalam menolak parti berasaskan perkauman seperti Umno, MCA dan MIC...mereka memberi mandat kepada parti pelbagai kaum, sekali gus memberi kuasa pemerintah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).
Berdasarkan senario ini ada asas untuk Menteri Belia dan Sukan yang masih muda remaja, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman melontarkan pandangan bahawa zaman Ketuanan Melayu berakhir sudah diganti konsep perjuangan kesaksamaan kepada semua kaum.
Namun difikirkan ada manfaat besar untuk Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu atau PPBM) itu 'menginsuranskan' mulutnya kerana isu panas ini telah menyebabkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menenangkan keadaan dengan mengeluarkan ulasan berlapik bahawa kenyataan Syed Sadiq telah disalahtafsirkan.
Muhyiddin yang kini Menteri Dalam Negeri sudah cukup matang dalam sepak terajang politik bertindak matang dalam meredakan keadaan...ya hal-hal berkaitan Ketuanan Melayu sebahagian besar orang sudah maklum bahawa ia sebahagian 'sandiwara' digunakan parti tua untuk kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya (syukurlah akhirnya ia tersungkur pada PRU-14 Mei lalu).
Ya, mungkin tidak banyak faedah untuk menteri yang muda belia, Syed Sadiq membuka isu sensitif ini sekarang kerana kebanyakan rakyat sudah maklum perkara ini...misalnya KEADILAN sudah jelas menyatakan bahawa ia memperjuangan Ketuanan Rakyat...bukannya mengikut acuan pemikiran pemimpin Umno yang dapat dirasai dan diselami memperalatkan konsep Ketuanan Melayu itu!
Umum perlu sedar, sekalipun gagal berkuasa, Umno masih parti terbesar di Parlimen - selepas PRU-14 ia ada 54 kerusi tetapi kini kurang daripada itu akibat adanya ahli Parlimennya meninggalkan parti - hal ini bermakna masih ramai orang Melayu tidak bersedia melepaskan 'bantal busuknya' yang bernama Umno ini.
Orang Melayu terlalu bergantung kepada perkara disanjungnya; mengkaji kecenderungan sesetengah kanak-kanak kepada bantal busuk (dalam kes ini Umno) mungkin dapat melerai persoalan bersediakah orang Melayu meninggalkan Umno dalam menghadapi zaman baru yang lebih mencabar.
Jika sesetengah kanak-kanak tidak lekang dengan bantal busuknya, demikian juga orang Melayu, tidak selesa untuk meneruskan kehidupan tanpa pegangannya. Daripada zaman kecilnya sehinggalah hampir ke liang lahad, sebahagian Melayu memerlukan wira, idola, tokoh, legenda dan ikon semasa (termasuklah Umno) untuk dijadikan dahan, tempat berpahut sama seperti seorang kanak-kanak mendambakan bantal busuknya.
Hang Tuah adalah antara idola dan ikon Melayu. Sama ada dia benar-benar wujud atau tidak, Hang Tuah tetap membawa kehebatan dan keperkasaan Melayu yang juga mahu dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Seguntang Mahameru.
Zaman berubah, sepanjang sejarahnya, Melayu berusaha mendekatkan diri dengan idolanya. Idola Melayu turut berubah daripada Hang Tuah yang digambarkan sentiasa berkeris kepada 'pahlawan' Melayu berkot dan bertali leher atau sesekali berpakaian Melayu.
Melayu baru adalah jelmaan Melayu lama. Ia tidak berubah sepenuhnya kerana sebahagian ciri, sifat dan sikapnya masih kekal. Ia masih mengekalkan pemujaan idola Hang Tuahnya (perhatikan bagaimana Melayu baru tetap bangga dengan keris seperti yang dipertunjukkan dalam perhimpunan agung parti Melayu).
Melayu baru yang mendakwa kontemporari masih mengekalkan cara hidup Melayu lama, jadi tidak hairanlah semoden mana seseorang Melayu itu, ia mengekalkan 'apa-apa yang diajarkan datuk neneknya'. Jadi tidak mudah membuangkan apa-apa yang Melayunya daripada orang Melayu terrmasuk apa yang diistilahkan sebagai Ketuanan Melayu.
Jadi kepada tokoh muda seperti Syed Sadiq...berhati-hatilah dalam percakapan anda...ya tak rugi jika anda tak sentuh isu sensitif ini pada masa yang sensitif ini! Ya benar, Umno kini tidak boleh lagi berselindung di sebalik agenda Ketuanan Melayunya (ia sudah berakhir) tetapi bab Ketuanan Melayu ini adalah satu perkara berlainan.
Bercakap mengenai Ketuanan Melayu ini...kepada orang muda rujuklah kepada perjanjian taat setia Raja dan Rakyat dalam Sejarah Melayu. Kitab ini memuatkan kisah permulaan akan keturunan kebanyakan Raja-Raja Melayu yang ada hari ini. Dalam 'Alkisah Cetera Yang Kedua' Sejarah Melayu, ada dimuatkan 'perjanjian antara rakyat dan raja' yang antara lain mencatatkan:
"Maka sembah Demang Lebar Daun (kepada Sang Sapurba). "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak."
Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, Tuanku?"
Maka titah Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah."
Maka titah Sang Sapurba. "Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu." Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.
Jikalau ada seorang raja memberi memberi aib seorang hamba Melayu, maka alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya."
No comments:
Post a Comment