DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
ALHAMDULILLAH baru-baru ini saya dan isteri berkesempatan menghadiri majlis konvokesyen seorang anak kami di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.
Sebelum penyampaian skrol kepada graduan, Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berucap; salah satu isu disentuh beliau adalah kepentingan pelestarian alam sekitar dalam pembinaan bangunan.
Beliau berkata sekarang ini sudah timbul kesedaran untuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan...yalah bagaimana datuk nenek kita dulu membina bangunan yang mesra alam tetapi hari ini hampir semuanya bersifat komersial - yang dipentingkan keuntungan lantas mengetepikan keselesaan penghuni apatah lagi alam semula jadi.
Lantas Rektor UIAM itu menggesa graduan seni bina UIAM bersedia menyumbang pemikiran dan tenaga semampu mungkin dalam menjadikan pembinaan bangunan sebagai benar-benar bermanfaat bagi semua pihak termasuklah dari segi pelestarian alam sekitar.
Bercakap mengenai pembinaan bangunan ini, saya teringat sebuah rencana televisyen yang saya tonton baru-baru ini menunjukkan sejumlah negara Arab/Islam sedang 'bertarung hebat' bagi membina pencakar langit super - insya-Allah tidak lama lagi Jeddah Tower di Arab Saudi akan disiapkan - ketinggiannya adalah 1,000 meter = 1 kilometer menjulang ke langit mengatasi Burj Khalifa di Dubai (UAE) yang tingginya 828 meter.
Malaysia pun tidak kurang hebat, banyak pencakar langit sudah dan sedang dibina; Menara Kembar Petronas dengan ketinggian 452 meter pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dulu.
Apa yang menarik dalam rencana ini, pengkritik bertanya "apakah banyak faedah" negara Arab/Islam membina bangunan-bangunan hebat ini dengan kos berbilion-bilion dolar Amerika sedangkan wang yang banyak itu dapat dimanfaatkan untuk membantu ramai umat Islam yang hidup menderita di seluruh dunia. Adalah diketahui umum, sejumlah negara Islam terletak di bahagian bawah senarai negara termiskin dunia.
Pengkritik mendakwa pihak membina bangunan hebat ini adalah untuk menyombong diri sedangkan keperluan sebenar kewujudan bangunan ini adalah tidak mendesak. Kos untuk menyelenggara bangunan super tinggi adalah tersangat mahal manakala pengguna dan premis perlu disesuaikan dengan persekitaran - misalnya udara dan tekanan di puncak yang terletak satu (1) kilometer ke atas adalah tidak sama di permukaan bumi.
Kembali kepada isu pembinaan bangunan terutama rumah kediaman di negara kita, antara isu terhangat sekarang adalah kecenderungan pemaju mengejar untung berlipat ganda bukan membina rumah ikut kemampuan rakyat.
Baru-baru ini didedahkan bahawa sebahagian besar daripada rumah-rumah tidak terjual di seluruh negara terdiri daripada rumah yang berharga RM250,000 dan ke atas dengan nilainya mencecah RM22.5 bilion. Ertinya pemaju membina rumah bukan untuk didiami rakyat kebanyakan tetapi untuk mereka 'mampu lihat' saja!
Rumah berharga RM250,000 di bandar besar mungkin kecil saja dari segi saiznya tetapi bagi rakyat kebanyakan harganya terlalu tinggi dan di luar kemampuan mereka...ya bank pun tidak mahu membiayai pembeliannya bagi orang awam yang bergaji atau berpendapatan kecil.
Dulu pun sebuah kajian oleh Khazanah (Institut Penyelidikan Khazanah - KRiS) menyatakan rumah-rumah di Malaysia berharga berganda lebih mahal daripada kediaman di Singapura hatta di Amerika Syarikat dari segi perbandingan gaji.
Menurut penemuan KRiS dalam bukunya bertajuk 'The State of Households' (Keadaan Isi Rumah) rumah-rumah di Malaysia berharga 5.5 kali ganda daripada pendapatan median tahunan (annual median income), menjadikannya berganda lebih mahal daripada kediaman hatta di Singapura dan Amerika Syarikat.
Berdasarkan senario sekarang ini, saya berpendapat adalah sangat relevan apa yang diperkatakan Prof Dr Dzulkifli pada konvokesyen UIAM itu - semua pihak perlu merujuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan-bangunan kita terutama rumah kediaman. Ya, kita tak perlu terikut-ikut negara lain atau 'menyombong' dalam membina rumah atau memilikinya (seperti sesetengah negara Arab/Islam yang membina menara super) tetapi apa yang kita mahukan semua pihak 'berada dalam keadaan selesa'.
Penulis sebagai 'orang asing' dalam ilmu seni bina dan pembinaan tidak dapat membincangkan lebih lanjut mengenai hal ini tetapi menyerahkannya kepada profesional di bidang ini seperti arkitek, perancang dan jurutera untuk menilai, mengkaji serta mengaplikasikan pandangan serta cadangan yang diutarakan oleh Rektor UIAM itu.
No comments:
Post a Comment