Monday, May 9, 2016

PM/KM seluruh rakyat; bukan BN saja

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) 

DI tepi sebuah persimpangan jalan berlampu trafik, saya lihat ada satu papan tanda gergasi memaparkan gambar Perdana Menteri (PM) Najib Razak. Perkataan yang ditulis menyatakan sokongan satu Umno Bahagian kepada PM. Di bawah sekali ada ditulis #Respect My PM (Hormati PM Saya).

Saya memikir-mikirkan maksud slogan itu. Ya, ada yang tak kena. 'Respect My PM' boleh bermaksud meminta seseorang atau sesuatu pihak itu 'menghormati PM saya'...orang atau pihak yang diminta menghormati PM itu seolah-olah ada PM mereka sendiri.

Pada pandangan hamba yang daif ini, slogan itu seharusnya ditulis 'Respect Our PM'. Barulah ia bermaksud 'saya' dan 'kamu' perlu menghormati PM kita. Sekalipun 'kesilapan' (maklum balas daripada pakar-pakar bahasa amat dialu-alukan) slogan itu dari segi bahasa dan kefahaman mungkin dianggap kecil sesetengah pihak, tetapi menyingkap bahawa ada di kalangan kita terlalu taksub berpolitik sehingga terlupa pemimpin yang menang dalam pilihan raya seterusnya dilantik untuk sesuatu jawatan dalam kerajaan seperti Perdana Menteri adalah PM untuk semua rakyat bukan PM Umno atau PM BN dan sebagainya.

Jadi, jika PM mewakili semua rakyat; adalah janggal untuk memakai slogan #Respect My PM. Seseorang itu mungkin berkata, "itu PM awak, awak punya pasallah...buat apa aku 'respect' sebab aku ada PM sendiri."

Bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei nanti, pemimpin yang dipilih sebagai KM perlulah ingat bahawa beliau adalah KM bagi seluruh rakyat Sarawak bukan KM BN atau KM Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tidak lama dulu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin beriltizam menjadi Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan bukan Menteri Belia BN. Permintaan Khairy untuk menjadi seorang menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mengukuhkan lagi dakwaan bahawa selama ini pemimpin BN termasuk PM dan anggota Kabinetnya berkhidmat untuk kepentingan BN. 

Berdasarkan situasi ini, wujudlah pelbagai masalah dan pihak paling teruk menerima akibatnya adalah rakyat. Ini kerana bukan semua rakyat mendapat perkhimatan sama rata - banyak pihak termasuk kerajaan negeri tersisih semata-mata kerana mereka tidak sealiran politik.

Keazaman Khairy untuk menjadi menteri bagi semua, adalah satu lonjakan ke arah politik baru yang insya-Allah akan membuka dimensi baru senario politik tanah air. Sekalipun PM dan anggota Kabinet selama ini banyak berkhidmat untuk kepentingan BN, kita tidak mengharapkan politik balas dendam sebaliknya mengesyorkan pemimpin BN bermuhasabah diri; Khairy sudah menunjukkan jalan, mulai sekarang berkhidmatlah sebagai PM dan menteri untuk semua rakyat.

Sebagai pemimpin semua rakyat, adalah wajar untuk mereka menghentikan segala amalan kurang sihat seperti menafikan hak kerajaan negeri dalam Persekutuan, hak ahli Parlimen dan Adun pembangkang mendapat peruntukan pembangunan dan mengamalkan politik peras ugut yang berleluasa ke atas agensi dan kakitangan kerajaan. Sewajarnya PM bertindak sebagai seorang negarawan dan bukan pemimpin parti politiknya. PM dan barisan kepimpinannya perlu dapat membezakan antara 'negara', 'kerajaan' dan 'parti politik'. 

Sesebuah masyarakat bakal mengundang krisis sekiranya gagal membezakan ketiga-tiga identiti ini. Misalnya Umno adalah sebuah parti politik dan jika ia dan gabungannya ditakdirkan diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi sebuah kerajaan, maka kerajaan ini perlulah berkhidmat untuk semua rakyat termasuklah mereka yang menyokong dan menentangnya.

Sebarang kemudahan termasuk peruntukan disediakan adalah untuk semua rakyat; ini kerana dana awam diperolehi adalah sumber negara yang dimiliki semua rakyat. Penentang Umno tetap membayar cukai seandainya Umno-BN memerintah. Sesiapa sahaja boleh menegur dan menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya bebas dan adil, tetapi menentang kerajaan tidak bermaksud antinegara. Rakyat menegur dan mengkritik kerajaan demi kebaikan negara. 

Namun apa yang berlaku selama ini, rakyat dikelirukan untuk mempercayai bahawa parti politik yang menang pilihan raya (Umno BN) adalah kerajaan dan negara; justeru itu siapa saja penentang Umno-BN dianggap sebagai pengkianat kepada kedua-dua identiti ini. 

Media massa arus perdana mempromosi seolah-olah Umno BN itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno BN. Sebarang percubaan mengkritik atau langkah untuk menggantikan Umno BN sekalipun melalui pilihan raya dilabelkan sebagai tindakan pengkhianat sedangkan pihak yang bertindak sedemikian melakukannya dalam kerangka demokrasi berperlembagaan yang menjadi teras sistem pemerintahan negara.

No comments: