*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Ayat 21, Surah Ar Rum)
*****
Artikel lama LanH
*****
TANAH runtuh, 700 penghuni 4 flet dipindah - demikian tajuk di muka depan sebuah akhbar harian 10 Oktober (17 Ramadan) beberapa tahun lalu. Menurut laporan itu, lebih 700 penghuni empat blok flet kos rendah Seksyen 10 Wangsa Maju, dipindahkan serta-merta selepas berlaku tanah runtuh bersebelahan dua blok lima tingkat flet berkenaan dipercayai akibat hujan lebat, kira-kira lima minit masuk waktu berbuka puasa, 9 Oktober.
Membaca berita itu menarik perhatian penulis mengimbau kembali kehidupan di salah sebuah blok di Seksyen 10 Wangsa Maju. Kenangan di Blok B2 Seksyen 10 menimbulkan pelbagai perasaan, kerana di situlah penulis mula membina keluarga - daripada berkelana seorang diri, menjadi dua, bertiga dan apabila berpindah sudah berempat!
Penulis mula menyewa rumah dua bilik di tingkat empat (sudah lupa nombor rumah) pada Disember tahun 1988 daripada seorang rakan. Sewanya RM200 sebulan. Penulis juga dikenakan kos perkhidmatan (kerja-kerja pembersihan) RM10.00. Jadi keseluruhahnya, termasuk bil elektrik dan air, penulis kena bayar kira-kira RM250.00 sebulan.
Mulanya penulis seorang diri. Kemudian membawa masuk seorang isteri yang dikahwini pada Februari 1989. Kemudian daripada dua, menjadi tiga pada hujung tahun itu dan kemudian menjadi empat apabila seorang lagi anak lahir pada tahun 1991. Akhirnya selepas kira-kira tiga tahun berada di situ, penulis pun mengucapkan 'sayonara' kepada Seksyen 10 Wangsa Maju.
Seksyen 10 Wangsa Maju terletak di kawasan berbukit. Blok-blok bangunan dibina di kawasan diratakan dengan lereng bukit agak curam. Pada masa penulis menghuni Wangsa Maju dulu, lereng-lereng bukit itu kelihatan kemas dan kukuh dengan rumput dan pokok berdiri jitu.
Namun selepas hampir 15 tahun tidak ke sana, dalam kunjungan terakhir, penulis hampir tidak kenal lagi Seksyen 10 Wangsa Maju. Jalan raya di kawasan berkenaan sudah berselirat manakala di kiri kanannya bangunan begitu banyak didirikan. Penulis hampir hilang panduan untuk Masjid Ubaidah Al Jarah yang terletak dekat Seksyen 10. Masjid ini sebenarnya berada dalam kawasan Taman Seri Rampai.
Ketika penulis meninggalkan Wangsa Maju dulu, akademi penyiaran (TV3) belum ada lagi. Kawasan itu adalah hutan tetapi mempunyai sebatang jalan lasak (dirt road). Di situlah penulis kerap 'joging' seorang diri ketika bujang, kemudian sekali-sekala membawa si isteri selepas kahwin dan kemudian membawa si anak kecil yang baru belajar berjalan.
Di penghunjung 'dirt road' itu, ada jalan untuk ke puncak bukit, dan percaya atau tidak di atas bukit itu ada sebuah takungan air yang digunakan oleh buruh-buruh Indonesia yang sedang membikin sebuah projek perumahan sebagai sumber air mereka! Mereka memasukkan 'kepala' hos getah ke dalam takungan itu, dan airnya disalurkan ke kediaman kongsi mereka di kaki bukit. Air di takungan itu sungguh jernih. Penulis pernah berfikir, 'kalau aku kencing dalam kolam ini, tentulah semua 'Mat Indon' itu minum air kencingku'. Tetapi tentulah tidak tergamak penulis melakukan perbuatan zalim itu.
Hari kehijauan di sekitar Seksyen 10 sudah menjadi sejarah. 'Dirt road' yang penulis dan ramai lagi penduduk Wangsa Maju gunakan untuk 'joging' sudah bertukar menjadi lebuh raya. Malah di tanah kosong (macam padang) di depan Seksyen 10 itu sudah didirikan bangunan, manakala di sisi kiri, kanan dan belakang usah cakaplah. Pelbagai bangunan dan perumahan baru muncul membuatkan penulis tidak cam lagi mana satu blok yang penulis huni lebih 15 tahun lalu.
Jadi dengan pelbagai projek pembangunan, termasuk kerja-kerja 'membotakkan' bukit di sekelilingnya, penulis tidak terkejut apabila mendengar laporan kejadian tanah runtuh di Seksyen 10 Wangsa Maju. Apabila kerja-kerja merosakkan persekitaran semula jadi berlaku dengan dahsyatnya, tidak menjadi kejutan lagi apabila tanah di kawasan berkenaan runtuh. Ini adalah sebahagian daripada proses alam.
Apa yang menyentuh hati penulis bagaimanakah nasib penghuni flet di Seksyen 10 ini. Mungkin ada antara mereka adalah sahabat dan kenalan lama penulis. Daripada tuan punya rumah terdahulu, penulis dimaklumkan pemilik rumah flet ini membelinya dengan harga RM25,000 seunit. Rumahnya kecil saja, kata orang 'nak masuk dua tiga orang dalam dapurnya tidak muat'.
Mungkin ada penghuni yang disuruh keluar selepas kejadian tanah runtuh ini, belum beres membayar wang pembelian. Tetapi sekarang, mahu tidak mahu mereka terpaksa keluar, meninggalkan satu-satunya harta besar yang mereka miliki di Kuala Lumpur ini. Bagi penyewa, masalah mereka mungkin kurang berbanding pemilik tetap, tetapi semuanya akan merasakan kepayahan dalam menyambut Aidilfitri dan Deepavali yang akan menjelang.
Dalam kejadian tanah runtuh ini, pelbagai golongan pemimpin turut menziarahi. Mereka terdiri daripada menteri sehingga pegawai bandar raya. Mereka akan datang dan pergi tetapi yang benar-benar akan menanggung sengsara adalah penghuni flet ini. Kebanyakannya orang berpendapatan rendah, sebab itulah flet dengan harga RM25,000 ini diperuntukkan kepada mereka.
Sebagai bekas penghuni flet ini, penulis tahu latar belakang sebahagian bekas jiran. Jiran penulis dulunya seorang askar berpangkat rendah manakala seorang lagi, seorang penganggur India yang kerjanya hari-hari meminta simpati (sedekah) daripada orang ramai. Ada ketua rumah lain menganggur manakala ramai juga pesara.
Jadi bolehlah penulis andaikan sebahagian besar penghuni flet yang terbabit dalam bencana kali ini adalah golongan miskin. Rumah flet ini adalah 'syurga' kebanyakan mereka. Dengan hampir runtuhnya 'syurga' ini, tentulah mereka menghadapi kesukaran dengan masa depan yang kelihatan suram. Tetapi dengan semangat Ramadan, lebih-lebih lagi dengan tepatnya kejadian pada malam 17 Ramadan (Nuzul Quran), tentulah ada terselit rahsia Allah SWT berhubung kejadian ini yang perlu dijadikan iktibar semua pihak, termasuklah oleh kerajaan dan masyarakat Islam.
No comments:
Post a Comment