Wednesday, September 10, 2014

Guru kencing 'duduk', anak murid pun kencing 'duduk'...

*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Setiap kata yang diucapkan, tentu di sampingnya ada malaikat pencatat. (Surah Qaf 50: 18)

*****

SELEPAS saban tahun melalui malam Merdeka yang membingitkan terutama gangguan deruan dan enjin motosikal yang sengaja dibunyikan kuat-kuat menjelang detik 12.00 tengah malam, untuk sambutan kali ke-57 tahun ini, saya 'menikmati malam mendamaikan'.

Saya juga tidak nampak kumpulan anak-anak remaja 'berdedai-dedai' menunggang basikal dengan bendera besar di jalan-jalan raya. Demikian juga kumpulan anak-anak muda penunggang motosikal yang bersiap sedia untuk berlumba - ada yang beraksi 'willie' (angkat motosikal) dan memecut sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Pendeknya, 'malam Merdeka' kali ini agak sunyi sekalipun jumlah kenderaan di jalan raya lebih banyak berbanding hari lain (ini hanya pemerhatian saya, orang lain tak tahulah). Bersyukurlah, ulang tahun kemerdekaan negara yang disambut secara sederhana tahun ini memungkinkan sesetengah orang seperti saya menikmati suasana mendamaikan pada malam Merdeka. Ini memungkinkan saya tidur dengan aman, dan bangun keesokan harinya segar bugar.

Kali ini pemimpin terpanggil mengadakan sambutan sederhana dan memansuhkan banyak acara lara seperti konsert hiburan ambang Merdeka dan pesta melaungkan kiraan detik 12.00 malam secara terbalik - "10, 9,8,7,6,5,4,3,2,1...Merdeka," di mana lelaki dan perempuan bercampur gaul secara bebas; kerana bagi menghormati perasaan dukacita ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH17 dan kehilangan pesawat MH370. Ringkasnya sambutan Merdeka kali ini diadakan dalam keadaan seluruh negara berkabung.

Tragedi memberi pengajaran kepada sesetengah kita. Ramai berubah kepada kebaikan, tetapi ramai juga kembali kepada tabiat asal selepas 'luka di hati semakin lama semakin sembuh'. Hendaknya kita berubah semata-mata kerana Allah, insya-Allah perubahan ini dapat dikekalkan sepanjang hayat tetapi berubah kerana tujuan duniawi, dikhuatiri ia bersifat sementara saja.

Sambutan 'malam Merdeka' boleh dijadikan 'indikator' bagaimana sikap dan perlakuan pemimpin, begitulah tindak tanduk rakyat terutama generasi muda. Jika pemimpin asyik dengan 'gangnam style' atau 'goyang gerudi', anak muda akan lebih dahsyat lagi stail mereka. Pepatah Melayu ada menyatakan 'jika guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari...'

Kali ini, alhamdulillah, pemimpin kencing duduk (hakikatnya kencing bertinggung), maka rakyat pun kencing duduk. Syukur, jika guru kencing duduk, anak murid pun kencing duduk. Baik pemimpin, baiklah rakyat;  jahat pemimpin jahatlah rakyat.

Ada sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: "Telah bersabda Rasulullah s.a.w.; 'Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama)'.”

Anak-anak muda yang rosak akhlaknya, secara tidak langsung menggambarkan perihal pemimpinnya. Mereka cerminan pemimpin. 'Bapa borek anak rintik'; 'bagaimana acuan begitulah kuihnya', 'apa yang disemai itulah yang dituai'. 

Jika pemimpin tanpa malu naik ke pentas menari 'gangnam style' termasuk dengan penari berpakaian separuh bogel dari Korea, apa yang hendak diharapkan daripada anak-anak didiknya? Mereka pun akan 'gangnam style' malah lebih buruk daripada itu. Kepada pemimpin, jika hendak 'gangnam style' dengan anak bini buatlah di rumah sendiri sepuas hati anda, tetapi jangan lakukan di tempat awam, semuanya akan ditiru oleh generasi muda.

Beberapa tahun lalu ada pemimpin negara mempamerkan contoh buruk dengan menggalakkan budaya asing K-pop atau berjoget semasa merayakan Aidilfitri. Jadi tak hairanlah jika anak muda kita pun terkinja-kinja akan K-pop, budaya songsang yang cuba diterapkan dalam masyarakat. Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi. 

Hari ini terserlah ramai pemimpin pandai cakap tetapi tak pandai bikin (tak praktikkan apa yang mereka syarahkan). Misalnya, mereka mengesyorkan rakyat hidup secara wasatiyyah (sederhana) tetapi mereka hidup boros, termasuk 'menghanguskan' wang kerajaan bagaikan harta milik sendiri. 

Ada pemimpin melaungkan ikut cara Islam, tetapi anak isteri mereka sendiri berpakaian tidak menutup aurat sepenuhnya (ini perkara asas), jadi apa cerita ini?  Apabila pemimpin cakap tak serupa bikin, rakyat pun cakap tak serupa bikin; jika pemimpin zalim, rakyat pun zalim; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama. 

Jika pemimpin melakukan pembunuhan; pembunuhan pun akan berleluasa dalam negara. Jika pemimpin kaki rasuah, rakyat juga gemarkan rasuah. Jika pemimpin kaki judi, kaki betina, rakyat pun mempunyai kecenderungan yang sama. 

Jika pemimpin negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun belajar 'main kotor'. Jika pemimpin berdusta melalui media massa pengampu, rakyat juga akan berdusta melalui media sosial yang berlambak sekarang ini.

Jadi, ingatlah wahai diri sendiri dan semua terutama pemimpin, jika guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid (rakyat) kencing berlari, jika pemimpin kencing 'duduk' (bertinggung), insya-Allah, rakyat termasuklah generasi muda akan juga kencing duduk.

Tragedi pesawat penerbangan MH370 dan MH17 adalah peringatan daripada Yang Maha Kuasa; hanya masa akan menentukan sama ada kita berubah kepada kebaikan semata-mata kerana-Nya atau kita hanya mahu bersandiwara (berlakon) di pentas dunia-Nya yang fana ini!

No comments: