*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kerana itu ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) padamu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku." (Makna ayat 152 Surah Al-Baqarah)
*****
KETIKA sesetengah daripada kita sibuk mengurus, membantu dan menghantar ayah bonda dan saudara mara yang berangkat ke Tanah Suci, saya terserempak seorang rakan lama di sebuah warung. Kerana sudah lama tidak bertemu, banyak perkara diperkatakan. Turut disentuh ialah mengenai masa depan ummah dalam menangani cabaran baru dunia.
Katanya, umat Islam masih kerap membahaskan perkara remeh-temeh. Misalnya, ketika Ramadan lalu, ramai yang bertegang urat mengenai rakaat sembahyang tarawih - sama ada lapan atau 20 rakaat.
Katanya, banyak lagi perkara remeh-temeh terus menjadi perbahasan sedangkan ia hanya membekukan pemikiran dan membazirkan masa dan tenaga. Dia bertanya mengapa kebanyakan orang Islam tidak melihat permasalahan secara lebih meluas. Misalnya isu berkaitan ekonomi dan politik terutama di peringkat global.
Ekonomi orang Islam bukan berada pada tahap membanggakan. Perdagangan sesama negara Islam juga jauh daripada kedudukan menggembirakan sekalipun kebanyakan negara Islam dilimpahi pelbagai sumber kekayaan semula jadi, peratusan perdagangan sesama negara Islam kecil saja.
Tidak lama dulu, dilaporkan hanya enam dan tujuh peratus saja perdagangan negara Islam dilaksanakan sesama sendiri daripada sejumlah besar urusan perdagangan mereka. Kini angka itu dipercayai tidak lebih 15 peratus. Pusat Islam Bagi Kemajuan Dagangan (ICDT) melaporkan perdagangan sesama negara Islam tidak melebihi RM500 bilion. ICDT ini terletak di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memayungi 47 negara Islam.
Dalam menempuh cabaran di dunia tanpa sempadan dengan adanya konsep langit terbuka, sewajarnya negara Islam memperkukuhkan perdagangan sesama mereka yang akan membuka jalan bagi membangunkan ummah secara keseluruhan.
Adalah penting untuk negara Islam yang kaya dan berpengrauh berkerjasama mengumpul sumber kekayaan bagi menyumbang modal untuk membiayai projek pembangunan negara Islam yang miskin. Diharapkan negara Islam memberi tumpuan terhadap usaha mewujudkan kekayaan dan menggalakkan pembangunan ekonomi di kalangan negara Islam yang mundur dan dibelenggu masalah kelaparan, serangan penyakit dan kemiskinan.
Sahabat saya berpendapat medan paling utama untuk menyedarkan ummah ialah ketika perhimpunan tahunan di Makkah - haji. Saya mendengar saja tanpa membantah atau mengiyakan. Katanya, dengan kehadiran 3-4 juta jemaah, haji adalah medan paling sesuai dan berkesan untuk mengingatkan ummah mengenai kelalaian dan ketidak-sepakatan mereka terutama dari segi ekonomi dan politik.
Hujah beliau mengingatkan saya mengenai kecenderungan pemimpin dan jemaah haji Iran untuk mengadakan bantahan anti-Amerika dan Israel di Tanah Suci. Tunjuk perasaan boleh mencetuskan suasana huru-hara dan keadaan tidak terkawal. Misalnya dalam peristiwa berdarah 31 Julai 1987, lebih 400 jemaah haji, kebanyakannya dari Iran, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Arab Saudi. Sepanjang musim haji selepas itu, pihak berkuasa Riyadh bertindak keras menghalang jemaah haji Iran daripada mengadakan perarakan bantahan di Tanah Suci.
Haji adalah pertemuan terbesar ummah. Sehubungan itu, sudah pasti ia medan terbaik untuk orang Islam bertukar-tukar pandangan termasuk isu ekonomi. Ekonomi ummah mesti dimajukan. Ini termasuklah perdagangan sesama negara Islam yang peratusannya sungguh kecil. Bagaimanapun, saya berpendapat keperluan untuk bertukar-tukar pandangan tidak sewajarnya menjadi alasan untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi mempamerkan kekuatan kerana jemaah ke Tanah Suci untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu haji yang melarang sama sekali umat berbantah-bantahan.
Kita bimbang jika ini dibiarkan, ia boleh berakhir dengan tragedi seperti yang berlaku sikit masa dulu. Tragedi ini tidak sewajarnya dirintis jalan untuk ia berulang, sebaliknya ibadat haji perlulah dijadikan landasan bagi membuktikan kesatuan ummah. Tentunya dalam isu berkaitan politik, ada perbezaan pandangan dan semuanya perlu diraikan dalam suasana yang penuh kasih sayang.
Namun kita tidak lihat tiada sebab untuk umat Islam meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang kehidupan yang lain seperti ekonomi. Membicarakan ekonomi global, saya percaya hampir semua jemaah pasti dengan kehadiran premis syarikat gergasi global seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) berhampiran pintu Masjidilharam.
Ya, jika KFC dapat menembusi Tanah Suci orang Islam dan menjadi sebutan di sana di kalangan jemaah haji, alangkah moleknya jika syarikat-syarikat orang Islam mendapat pengiktirafan global dengan produknya aktif di pasarkan di negara maju dan kaya seperti Kumpulan G-7 yang merangkumi negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Itali!
Ya, siapa dan pihak mana yang mahu memulakan usaha ini? Amat molek jika diwujudkan kerjasama antara pelbagai masyarakat dan negara umat Islam bagi menujukkan kita bukan saja 'bersatu' dalam ibadat (seperti haji) tetapi juga dalam bidang kehidupan termasuklah dari segi ekonomi dan menjadi jalan keluar daripada perbalahan politik.
No comments:
Post a Comment