****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
*************
SEORANG anak saya calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Beberapa hari menjelang peperiksaan, pentadbiran sekolahnya menganjurkan majlis bacaan Yassin sebanyak dua kali. Pada majlis kedua turut diadakan solat hajat - memohon pertolongan Allah SWT agar memberikan kejayaan kepada anak-anak. Syabas diucapkan kepada pengurusan sekolahnya.
Guru-guru telah banyak berkorban - melakukan yang terbaik untuk kejayaan anak-anak. Namun apa yang saya perhatikan dunia pendidikan kita terlalu mementingkan kejayaan akademik ternasuk di peringkat sekolah rendah - antara perkara ditekankan bagaimana prestasi sekolah, peratusan lulus dan satu soalan paling menakutkan: "berapa (jumlah) pelajar dapat '5A'?" Ada sekolah hanya seorang dua dapat '5A'; ada sekolah belasan murid dapat '5A', ada pula sekolah lebih 50 murid dapat '5A'.
Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, si anak akan ditanya 'soalan maut' - "dapat berapa A?" Kalau dapat 5A terpancarlah wajah kegembiraan tetapi jika dijawab "4A" serta merta wajah 'semua orang' termasuk guru, ibu bapa apatah lagi murid itu sendiri bermuram duka, seolah-olah 'dunia sudah kiamat' hakikatnya keputusan '4A' adalah 'terbaik juga'. Namun nampaknya 'semua orang' mahu '5A'.
Kecenderungan mencatatkan 'deretan A' inilah antara penyebab dan dorongan pentadbir pendidikan (seperti jabatan), sekolah, guru, ibu bapa dan murid 'sanggup berkorban' melakukan 'apa saja' bagi membolehkan sekolah mencatatkan 'keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang'. Mungkin, ada yang 'terlebih berkorban' sehingga berlakulah kebocoran kertas UPSR membabitkan Bahasa Inggeris serta Sains dan perkembangan terbaru menyatakan Matematik dan Bahasa Tamil juga terlibat.
Alhamdulillah, solat hajat dan bacaan Yassin yang dilakukan di sekolah secara beramai-ramai adalah antara usaha terakhir yang amat baik; malah ada sekolah yang menghimpunan ibu bapa pada ketika anak-anak menduduki peperiksaan. Kumpulan bapa-bapa dihimpunkan untuk membaca Surah Yassin manakala golongan ibu berkumpul di tempat khas menyediakan makanan berzat untuk anak-anak ketika mereka rehat daripada peperiksaan.
Seorang bapa yang sama-sama menghadiri majlis bacaan Yassin di sekolah anak saya mengulas: "Dahsyat sekarang ini, semua orang mahukan anak mereka dapat '5A', tapi yang sedihnya "kita ini sanggup melakukan apa saja kerana hal-hal dunia, yalah untuk anak-anak kita dapat '5A' kita berkorban segala-gala tetapi adakah itu matlamat utama pendidikan?"
Saya diam saja, tetapi dalam hati dan minda berfikir: "Betul juga rungutan si bapa ini," lantas teringat sesi soal jawab saya dengan beberapa anak murid kelas tuisyen yang saya kendalikan pada hujung minggu; saya bertanya mereka tentang solat, subuh itu mereka solat atau tidak. Hampir semuanya menjawab tidak solat.
Saya melanjutkan pertanyaan kepada solat waktu lain - mereka jawab tak solat juga; ada sekali sekala apabila teringat hendak sembahyang, barulah mereka sembahyang. Masya-Allah, apa hendak jadi dengan generasi baru kita ini; jadi betullah satu kajian di sekolah-sekolah di sebuah negeri tidak lama dulu mendapati 80 peratus pelajar tidak konsisten dalam menunaikan solat lima waktu.
Demikianlah, adalah bagus untuk mengusahakan kejayaan anak-anak dalam pelajaran dengan menghimpunkan ibu bapa dan anak-anak melakukan solat hajat dan bacaan Yassin; tetapi teramatlah penting seluruh institusi pendidikan kita (termasuklah ibu bapa dan guru) untuk berusaha daripada peringkat paling awal mengasuh anak-anak untuk kenal akan Tuhan mereka. Apabila sudah kenal Tuhan, insya-Allah mereka akan kenal diri dan tujuan mereka berada di dunia ini. Insya-Allah, mereka akan kekal bersolat setiap waktu dan bukan hanya 'apabila dekat peperiksaan' saja!
Berceloteh mengenai soalan bocor UPSR, ada 'soalan bocor' yang tidak ramai orang ambil penduli mengenainya...itulah soalan Munkar Nankir yang akan dihadapkan kepada mayat dalam kubur. Jika UPSR ada lima kertas, Munkar Nankir juga akan menanyakan lima soalan yang 'sudah sedia bocor' iaitu siapa Tuhan kamu, Nabi kamu, Imam kamu, Kiblat kamu dan saudara kamu. Menghafaz jawapan untuk soalan bocor ini adalah perbuatan sia-sia; yang akan menjawabnya adalah amalan seseorang.
Rasulullah s.a.w. bersabda, yang maksudnya: ”Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka mula menyoalnya..."(Abu Daud, Abu Hurairah)
Tidak mengambil 'pot' soalan bocor apatah lagi kerisauan sama ada boleh menjawabnya atau tidak di dalam kubur nanti, adalah antara penyumbang kepada permasalahan 'soalan bocor peperiksaan' termasuk UPSR sekarang ini. 'Jenayah soalan bocor' ini hanyalah 'puncak ketulan ais' (iceberg) kepada kebejatan, kejahatan dan maksiat lain dahsyat yang semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat.
Apabila pemimpin tidak peduli akan soalan bocor ini (kubur), mereka menjadi pengkhianat (tidak amanah), kaki rasuah dan melakukan aneka kejahatan lain termasuk melakukan penipuan dalam pilihan raya. Apabila pemimpin khianat rakyat pun menjadi penipu kerana undang-undang oleh Yang Berhak (Allah SWT) tidak terlaksana.
Tidak mengingati mati menyebabkan anggota masyarakat terdedah kepada pendekatan Machiavelli - the ends justify the means - lakukan apa saja asalkan matlamat tercapai - ini tidak terkecuali dalam kes kebocoran kertas UPSR kerana semua mahu mencatat kejayaan 'cemerlang, gemilang dan terbilang'. Ya, inilah akibatnya apabila kebanyakan anggota masyarakat kita tidak 'ambil pot' soalan kubur yang sudah pun bocor!
No comments:
Post a Comment