Saturday, August 30, 2014

Meraikan tetamu atau meraikan diri sendiri...

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

*************

BULAN Syawal sudah berakhir; seorang ustaz dalam kuliahnya di sebuah masjid berhampiran rumah saya mengulas mengenai 'kesungguhan' sesetengah orang Melayu 'menyambut' hari raya sebulan lamanya sedangkan dakwanya hari raya Aidilifitri hanya sehari!

Orang Arab menyambut hari raya sehari saja, katanya, lantas mengkisahkan pengalaman lamanya di Syria menghadiri satu majlis jamuan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid yang mengundang orang ramai termasuk jemaah masjid sebagai tetamu.

Apa yang menariknya, ustaz itu berkata pihak pengurusan masjid (AJK masjid) 'benar-benar' (bersungguh-sungguh) dalam melayan tetamu; mereka berdiri bagaikan 'pak pacak', bersedia melayan kehendak tetamu. Mereka tak makan dan minum bersama tetamu; pendeknya mereka prihatin dalam meraikan tetamu yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat terdiri daripada orang kaya atau miskin.

Mungkin AJK ini hanya makan selepas semua tetamu yang mereka muliakan sudah berangkat pergi. Tetamu sangat dimuliakan, mereka dilayan bersungguh-sungguh kerana "mereka diundang, maka tidak sewajarnya kehadiran mereka tidak dihargai dan dipersia-siakan." Subhanallah, ada barakah dan ganjaran besar disediakan Allah untuk tuan rumah yang melayan tetamu secara bersungguh-sungguh.

Sungguh menarik apa yang diberitahu ustaz ini, tetapi apa yang dapat dikatakan mengenai majlis jamuan termasuk ketika sambutan Aidilfitri yang dianjurkan institusi awam seperti masjid dan pihak tertentu di negara kita - tetamu (orang ramai) tidak dilayan sebegitu istimewa sebaliknya AJK masjid dan tetamu VIP mempunyai tempat khas di mana mereka 'melayan' nafsu makan mereka tanpa mempedulikan sangat 'orang yang diundang mereka'.

Di kebanyakan lokasi majlis seperti ini, orang ramai dikerahkan di 'khemah awam' di mana mereka mungkin terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan tetapi AJK dan 'orang besar' makan di meja yang sudah dihidangkan makanan. Mereka ini tidak perlu beratur, makanan yang enak-enak dan minuman lazat sudah terhidang di atas meja mereka. Mereka makan dan ketawa berdekah-dekah; jadi apakah mereka ini diamanahkan untuk meraikan tetamu atau mereka meraikan diri mereka sendiri...

Pengalaman jemaah di Masjidilharam dan Masjid Nabawi ketika bulan Ramadan juga menunjukkan betapa orang Arab amat memuliakan tetamu yang mereka undang untuk bersama-sama berbuka puasa. Mereka bersungguh-sungguh mengajak dan melayan tetamu, 'perut tetamu lebih mereka utamakan daripada perut mereka sendiri'.

Mereka mungkin menangguhkan 'masa makan mereka' - bagi mereka keutamaan tetamu dan kebarakahan dalam melayan mereka tidak wajar dipersia-siakan.

Kepentingan melayan dan mengutamakan tetamu ada dikisahkan melalui perbuatan seorang sahabat miskin pada zaman Rasulullah s.a.w. yang di rumahnya ada sedikit makanan hanya cukup untuk dia, isteri dan anaknya tetapi demi memuliakan tetamu dia menghidangkan makanan itu dalam cahaya samar-samar untuk dimakan tetamunya sedangkan dia dan keluarganya berpura-pura makan. 

Masya-Allah, mereka sanggup berlapar kerana mengutamakan tetamu; perut tetamu perlu diutamakan daripada perut si pengundang namun kadang-kadang hal ini kita terlepas pandang maka berlakulah senario di mana tempat AJK dan VIP makan dipisahkan daripada rakyat marhaen.

Sang ustaz memberitahu ada satu majlis mengundang anak-anak yatim, malangnya anak-anak ini disuruh makan di tempat dan makanan 'third class' sedangkan VIP (yang sudah selalu makan enak-enak) dijamu di meja khas. Persoalannya, kita hendak memberi makan anak-anak yatim atau VIP yang tak payah berbaris mengambil makanan.

Namun hairan juga kita, apabila hampir pilihan raya, pemimpin bergelar VIP kerap benar 'difotokan' sedang berbaris bersama rakyat biasa untuk mendapatkan sesuatu misalnya, malah mereka 'cukup senang' untuk menoreh getah, menggoreng mi atau 'menjual ikan'.

Apabila tiada pilihan raya, tidak mahu pula mereka berbaris bersama rakyat marhaen mendapatkan sepinggan mi, semangkok cendol atau sejumlah cucuk sate. Enak saja mereka duduk-duduk bersama AJK dengan 'makanan disuakan ke muka mereka'!

Kalau kita amat-amati pada majlis kenduri perkahwinan orang Melayu/Islam; tuan rumah (bapa atau emak pengantin) tidak duduk dan makan-makan bersama tetamu sebaliknya kebanyakan mereka 'berdiri dari pagi sampai petang' bagi mengalu-alukan serta memuliakan tetamu; jadi tidak bolehkah AJK dan VIP 'berdiri atau duduk' melayan tetamu mereka pada majis hari raya dan perayaan lain?

Tetamu perlu diberi layanan istimewa kerana itu ajaran agama, dan siapa tahu daripada ramai-ramai tetamu itu (yang jarang ke masjid dan bukan Islam) ada hati yang dapat dijinakkan untuk mendekatkan diri dengan rumah Allah. Bukankah ini lebih baik daripada AJK dan VIP 'berlonggok beramai-ramai', makan secara berasingan daripada orang ramai dan di tempat istimewa pula?



No comments: