*************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua-dua ibu bapamu dengan penuh rasa sayang." (Maksud Surah al-Israk, ayat 23-24)
*****************
Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia bagi memuzakarahkan isu semasa dan pada ketika Pakatan Rakyat menghadapi detik sukar sekarang ini, kita cuba menyorot kepentingan kewujudan dua komponen parti yang kuat dalam sesebuah negara pengamal demokrasi yang insya-Allah diyakini dapat membawa keuntungan (rahmat dan manfaat) kepada semua rakyat.
Hujah kita adalah berdasarkan contoh pilihan raya Amerika Syarikat dan Britain di mana hanya dua parti dominan bersaing untuk mentadbir negara. Di Amerika, persaingan adalah antara Republikan dan Demokrat manakala di Britain adalah antara Konservatif dan Buruh.
Adalah menarik untuk melihat bagaimana sistem dua parti (Republikan dan Demokrat) mendominasi pemikiran rakyat Amerika. Tentunya sistem dua parti sukar terlaksana di Malaysia tetapi dengan terbentuknya Pakatan Rakyat yang disertai PAS, KeADILan dan DAP selepas PRU12 pada 2008, ia adalah komponen parti terbaik sejak Merdeka untuk menghadapi dominasi Perikatan (kemudian ditukar kepada Barisan Nasional, BN) yang terus memerintah negara ini sejak Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Berdasarkan keputusan pilihan raya umum Mei 2013 (PRU13), jelas sebahagian besar rakyat sudah muak dengan legasi pemerintahan dan propaganda murahan BN. Kajian menunjukkan kira-kira 53 peratus sokongan pengundi (undi popular) adalah kepada Pakatan Rakyat manakala BN 47 peratus. Namun disebabkan sistem politik negara berasaskan perolehan jumlah kerusi Parlimen, BN terus mengekalkan kuasa tetapi dalam keadaan amat tertekan.
Rakyat pada alaf baru ini, terutama generasi muda adalah kaya maklumat yang tidak lagi mendapat menerima slogan-slogan murahan kompenan parti pemerintah seperti 'BN menang rakyat senang', 'Selamat, Aman dan Makmur' serta 'Umno - dulu, kini dan selamanya'.
Rakyat bukan lagi dapat didendangkan dengan filem-filem Hindustan yang melekakan sebaliknya mahukan bukti. Sebagai contoh, jika 'BN menang rakyat senang', betulkan rakyat boleh senang pada ketika harga barangan, tol dan minyak semakin meningkat manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan awal tahun depan?
Apabila rakyat menolak propaganda murahan mainan Umno-BN dengan menafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen di samping berkuasa di beberapa negeri, terbukalah ruang kepada situasi seakan sama dengan sistem politik dua parti di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.
Sesuai dengan negara kita yang mahu mencapai status negara maju pada 2020, persiapan wajar dilakukan ke arah sistem dua parti atau setidak-tidaknya komponen parti dua kumpulan seperti sekarang (BN dan Pakatan Rakyat). Berdasarkan perkembangan semasa termasuk di peringkat global, bukan parti saja perlu dievolusikan (seperti meniadakan sebutan parti pemerintah dan pembangkang), tetapi dalam hampir semua bidang kehidupan.
Kewujudan dua parti (atau dua komponen parti) yang kuat adalah landasan ke arah usaha penambahbaikan kehidupan rakyat. Misalnya, semua institusi termasuk di bidang pendidikan seperti universiti boleh diusahakan untuk dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian sebaliknya dijadikan pusat keilmuan dan keintelektualan. Akan timbul peluang terbaik untuk menghapuskan kegiatan pantau memantau yang hanya menjejaskan kesuburan keintelektualan sebaliknya menjumudkan modal insan (siswazah).
Kewujudan dua komponen parti yang kuat juga boleh mengakhiri ketakutan, kejumudan dan 'ketololan' dalam bidang media massa. Media massa perlu bebas dalam laporan mereka. Tidak timbul lagi isu media massa menjadi budak suruhan BN, tetapi ia bebas memberi liputan kepada kedua-dua pihak kerana yang dipentingkan wibawa dan 'track record' calon dan parti. Media massa Amerika, British malah negara jiran Indonesia, mungkin dapat dijadikan sempadan.
Kejayaan pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri-negeri telah membantu menghapuskan ketakutan dan fobia di kalangan rakyat. Slogan-slogan seperti 'Hanya BN mampu memerintah', 'pembangkang cetus huru-hara' dan ugutan 'kalau pembangkang menang, rakyat makan ubi kayu' mula terhapus daripada minda rakyat. Sehubungan itu melalui pencapaian cemerlangnya pada PRU12 dan PRU13, gabungan PAS, KeADILan dan DAP perlu membuktikan kemampuan mereka memerintah lebih baik daripada BN. Berdasarkan ini setiap parti perlu berusaha keras memberi yang terbaik kepada rakyat.
Apabila gagal, mereka akan disingkirkan pada pilihan raya berikutnya. Perkembangan ini akan mewujudkan perimbangan (check and balance), memberi keuntungan kepada rakyat sepanjang masa. Inilah antara ciri-ciri negara demokrasi maju idaman rakyat namun amat malang seandainya cita-cita murni Pakatan Rakyat terburai di tengah jalan! Jadi berhati-hatilah!
1 comment:
boleh tak saudara ulas soal ISIL di Iraq. benarkah mereka tajaan amerika?
Post a Comment