Saturday, August 9, 2014

Melayu gagal dakwah Cina, mengapa?

*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang salih daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah SWT akan memberi kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya." (Maksud Surah Al-Nur, ayat 32)

******
MAJLIS Aidilfitri kali ini menemukan saya dengan seorang pemimpin kanan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Organisasi ini sinonim dengan saudara kita (saudara baru) terutama di kalangan orang Cina. 

Banyak maklumat mengenai usaha dakwah Perkim diberitahu kepada saya. Namun disebabkan sekarang ini 'musim sesetengah orang Melayu ghairah' menyambut Aidilfitri selama sebulan, eloklah saya berceloteh usaha dakwah yang berkaitan Ramadan dan Aidilfitri sahaja.

Pemimpin Perkim berkenaan memberitahu, jumlah orang Cina Malaysia yang memeluk Islam kurang memberangsangkan. Katanya, ada lebih kurang 40,000 Cina Muslim di kalangan 28 juta rakyat negara ini sedangkan orang Cina sendiri berjumlah lebih 8 juta. 

Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti kurang atau gagal berdakwah kepada orang Cina? 

Pemimpin Perkim itu memberitahu saya ada dua kelompok orang Cina yang perlu difahami oleh pendakwah. Golongan pertama adalah di kalangan cerdik pandai (intelektual) dan kedua di kalangan orang umum.

Secara amnya, kata beliau golongan bijak pandai Cina tertarik dengan Islam kerana menyedari kebenaran Islam yang mencabar daya keintelektualan mereka sebaliknya di kalangan orang umum mereka melihat keindahan budaya dan cara hidup orang Melayu sebagai faktor mereka memeluk Islam.

Kata pemimpin berkenaan,ada bijak pandai Cina yang melihat cara sesetengah orang Melayu menyambut Ramadan dan Aidilfitri menyebabkan mereka tidak tertarik dengan Islam. Golongan orang Melayu ini kuat melakukan pembaziran sedangkan mereka difahamkan Islam menganjurkan umatnya bersederhana dalam semua soal termasuk makan minum tetapi sesetengah orang Melayu melampaui batas.

Bijak pandai Cina tertanya-tanya jika berpuasa itu adalah untuk mengurangkan nafsu makan tetapi mengapa pula orang Melayu Islam terutama di Malaysia 'makan sampai nak mati' ketika berbuka puasa. Daripada bazar Ramadan sampailah ke majlis moreh di masjid semuanya adalah berkaitan dengan makanan.

Demikian juga dalam bab berhari raya. Sesetengah orang Melayu berhari raya 'sampai nak mati' juga. Ada hari raya pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima sehinggalah hari ke-30. Bingung sesetengah bijak pandai Cina ini memikirkan; mereka yang sudah mendapat hidayah Islam cuba melarikan diri daripada 'cara hidup orang Melayu ini' sebaliknya cuba mempraktikkan apa yang sebenarnya Islam anjurkan.

Berlawanan daripada orang Cina intelektual yang mendapat hidayah Islam selepas menyedari kehebatan agama langit itu dari segi keilmuan, kebanyakan golongan awam Cina pula mendapat nur akibat tertarik dengan budaya dan cara hidup orang Melayu yang lemah lembut selepas mereka berkawan dengan orang Melayu atau menjadi anak angkat mereka.

Pemimpin Perkim itu berkata, pembawaan sesetengah orang Melayu yang patuh kepada ajaran agama termasuk dari segi pemakaian dan pemakanan mereka yang sederhana menyebabkan mereka tertarik kepada Islam. Perayaan seperti hari raya yang menyaksikan semua golongan dapat merayakannya, menambat hati mereka. Apatah lagi jika wujud penambat hati 'dalam bentuk' seorang gadis atau pemuda!

Sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa juga menambat hati sesetengah individu Cina kepada Islam. Ada juga yang tertarik kepada suasana damai di masjid malah kepada alunan azan yang lima kali sehari semalam dikumandangkan dari menara masjid.

Hakikat hanya ada 40,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina di negara ini membimbangkan dan mencetuskan pelbagai pertanyaan. Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti kurang berdakwah kepada orang Cina? 

Namun, alhamdulillah, akhir-akhir ini kita dapat saksikan betapa ramai orang Cina cuba mendekati dan memahami Islam terutamanya melalui parti Islam, PAS. Kini sudah ada kelab penyokong PAS di kalangan 'non-Muslim' malah golongan intelektual termasuklah di kalangan pemimpin DAP cuba memahami dan mengalami sendiri cara hidup orang Islam seperti menyertai pemimpin PAS bersahur dan berbuka puasa. Mereka juga cuba 'mendekati' masjid, malah sesetengahnya mengikuti majlis ilmu di situ.

Ini peluang terbaik untuk pemimpin Islam menunjukkan kesederhanaan Islam dalam semua bidang kehidupan. Pada pandangan saya dalam majlis makan minum, tidak perlulah berlebih-lebih dalam menjamu mereka, 'biarkan mereka lihat sendiri kesederhanaan kehidupan yang umat Islam harungi setiap hari sebagai seorang Muslim sejati'. 

Insya-Allah mereka akan tertarik kepada Islam yang umatnya mempamerkan kesederhanaan dan bukan melayan mereka 'secara pura-pura' bagaikan 'raja' seperti dilakukan sesetengah Melayu. Kalau tidak masakan ada peribahasa berbunyi - kera dihutan disusukan, anak dikendong mati kelaparan!

No comments: