DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
KETIKA musim panas dua bulan yang hampir menyebabkan kemarau pada awal tahun ini, ramai daripada kita mengeluh. Masakan tidak begitu, ramai kepanasan dan lebih berat lagi ada penduduk yang terpaksa melalui keperitan catuan bekalan air.
Pada ruangan ini pada musim sukar itu ada saya nyatakan dua jenis pokok yang kelihatan segar bugar sedangkan rerumput malah lalang 'yang amat liat' itu pun sudah bertukar kekuningan dan kecoklatan, menandakan tumbuhan ini hampir menemui kematian.
Pokok segar yang saya amat-amati itu adalah pohon mangga dan sejenisnya seperti bacang dan kuini dan pohon bunga kertas. Hampir semua pokok mangga mengeluarkan bunga lebat manakala pohon bunga kertas menghasilkan bunga-bunga aneka warna yang terang benderang.
Pada akhir musim panas itu, beberapa jenis lagi pohon seperti sakura dan sena mengeluarkan bunga yang banyak dan apabila bunga-bunga ini jatuh ke jalan raya, pemandangan sungguh indah sekali.
Kini, di hampir setiap tempat, buah mangga boleh didapati. Di pohon-pohon, banyak buah mangga 'bergantungan ' - jika dilihat dari jauh bagaikan 'bintang-bintang di angkasa raya'. Di gerai, di pasar, buah mangga berlonggok-longgok; sehingga ada daripada kita 'sudah tak larat lagi makan buah mangga' yang di sesetengah tempat, buahnya 'bergelimpangan' di pangkal pohon.
Demikianlah musim panas menyukarkan, tetapi ia adalah keadaan paling baik untuk tumbesaran sesetengah pohon dan pengeluaran buah-buahan seperti mangga. Ya, dulu kita susah, sekarang 'sedap' pula kita menikmati buah mangga. Demikianlah selepas didatangkan kesusahan, ada kesenangan di sebaliknya. Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian, demikian antara lain bunyi peribahasa Melayu. Begitulah selepas kesusahan ada kesenangan. (Surah Al-Insyirah, ayat 5)
Untuk berjaya dalam kehidupan pun termasuklah dalam penulisan, alangkah molek seseorang itu bersedia menghadapi kepayahannya dulu. Teguran yang membina sewajarnya diterima dengan hati terbuka, kita belajar daripadanya, bukankah pantun Melayu yang masyhur itu ada menyatakan:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Kadang-kadang kita ditunjukkan dengan cara yang pedih, tetapi orang berjiwa besar, menerimanya dengan hati terbuka. Contohnya, di sekolah kita diperlekeh oleh rakan dan guru kerana prestasi kita tak sebaik mana tetapi, 'perlekehan' mereka itu menyuntik semangat membara; akhirnya kita muncul pelajar terbaik.
Berbalik kepada artikel siswa siswi, apa agaknya berlaku jika pelajar tidak ditegur? Penulis menerima sejumlah artikel yang topiknya hampir sama - bayangkan jika 10 pelajar menulis topik semasa seperti 'Israk dan Mikraj' yang ditulis 'macam khutbah', kemungkinan besar hanya satu saja disiarkan, yang lain tidak relevan lagi melainkan jika penulisnya dapat memfokuskan pada sisi 'unik' berdasarkan wawancaranya dengan tokoh semasa dalam bidang berkenaan.
Ya, wawancara dalam penulisan tersangat penting, lihatlah artikel-artikel agama yang ditulis wartawan dalam akhbar arus perdana sekalipun, mereka menulis sesuatu topik itu berdasarkan wawancara dengan tokoh-tokoh relevan; jika tidak pun mereka mengutip bahan-bahan daripada seminar, forum, ucapan dan sebagainya.
Malah ramai yang 'bergadai nyawa' pergi ke zon konflik untuk menyaksikan sendiri sesuatu kejadian di samping mewawancara penduduk dan tokohnya. Mereka ke Bosnia, Somalia, Iran, Iraq, Kashmir dan sebagainya. Ada yang mati ketika bertugas, jadi sudah tentu mereka tidak pandai-pandai menulis berdasarkan 'apa yang mereka tahu' semata-mata.
Berceloteh mengenai menulis berdasarkan 'apa yang mereka tahu' ini, mengingatkan penulis teguran seorang pensyarah di kelas kewartawanan penulis puluhan tahun lalu bahawa jika kita tidak ke medan sumber berita, sebenarnya kita adalah 'wartawan atas katil'. Yalah, dari atas katil, kita boleh menyiapkan tugasan kita, ertinya kita tak payah 'jumpa orang' dan 'lihat peristiwa', sebaliknya kita terus menerus menaip artikel kita di atas katil dengan rujukan buku di sekeliling kita.
Bagi menyiapkan berita pun, seseorang itu boleh melakukannya dari atas katil! Itulah sebabnya suatu hari seorang rakan sekuliah saya menghantar berita bertajuk 'Bomba Shah Alam padam kebakaran di...' sedangkan pada ketika itu di Shah Alam tiada balai bomba. Pensyarah mengangkat salinan berita itu sambil menjerit: "Nak menipu pun, 'be smart' (menipulah dengan bijak)!"
No comments:
Post a Comment