Wednesday, June 11, 2014

Dirogol 38 lelaki: Hukum hudud penyelamat manusia

**************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
**************
Renungan
***************************
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan..." (Yasin, ayat 12)
****************************


Kita amat bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kes rogol berkumpulan terbaru membabitkan 38 lelaki di Ketereh, Kelantan membuktikan bahawa undang-undang jenayah sedia ada tidak memadai untuk pencegahan.
***********************
Tuan Ibrahim berkata kejadian tersebut membuktikan penjenayah tidak takut dengan undang-undang yang ada, kerana eleman pencegahan daripada Allah hanya ada dalam sistem yang diturunkan Allah.
*********************
"Kepada mereka yang menentang perundangan Islam, khususnya hudud - apa perasaan anda kalau yang dirogol oleh 38 lelaki itu adalah anak gadis anda?" katanya dalam satu kenyataan. Dalam kejadian pada 20 Mei itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Krai dan gadis berusia 17 tahun yang tidak bersekolah dari Ketereh itu mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki.
***********************
Bagi kita kejadian rogol membabitkan sejumlah besar penjenayah adalah satu amaran keras betapa masyarakat sudah rosak sebenarnya. Jenayah termasuk membabitkan seks yang dilakukan bagaikan 'kenduri' atau 'pesta' - membayangkan dunia sudah dipenuhi 'syaitan bertopengkan manusia' - bagaimana dalam sekumpulan besar manusia itu tiada seorang pun yang mempunyai walau sedikit pun nilai kemanusiaan.
**************************
Kejadian tersebut membuktikan orang ramai apatah lagi penjenayah tegar tidak gentar mahupun gerun terhadap sistem perundangan yang ada kini. Keberkesanan sistem perundangan yang ada semakin diragui apabila kadar jenayah dalam negara tidak berhenti meningkat. Kes rogol, penderaan seksual, pembuangan bayi, penderaan kanak- kanak, peningkatan ketagihan dadah dan arak di kalangan remaja adalah gejala yang wajib diberi perhatian semua pihak bagi mencari jalan membendungnya.
**************************
Dalam merungkai pemasalahan kronik yang menimpa masyarakat, umat Islam tiada pilihan kecuali menegakkan hukum-hakam Allah yang dalamnya ada kehidupan. Hari ini kes jenayah berleluasa malah terlalu buruk seperti kes rogol membabitkan 38 penjenayah ini. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah?  Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak. 
***********************************
Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Insaflah apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri. 
*************************
Namun dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga.
************************
Hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, insya-Allah tidak akan berlaku jenayah yang seperti tidak masuk akal seperti kes rogol membabitkan 38 penjenayah!

No comments: