Saturday, June 21, 2014

Tips penulisan: Amat-amatilah 'house-style' sesebuah penerbitan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

 "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

PADA kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada 'anak-anak dan adik-adik yang saya kasihi dari USIM' kerana menghantar artikel mereka ke Harakah untuk disiarkan. Ini kerana memilih Harakah sendiri adalah 'satu perjuangan dan pengorbanan hebat' kerana tidak semua siswa siswi institusi pengajian tinggi (IPT) ada keberanian sedemikian.

Hakikatnya untuk membeli dan membaca Harakah pun satu perjuangan. Akhbar dwi-mingguan ini bukan boleh dibeli di sebarangan kiosk akhbar tetapi diperolehi daripada pengedar dan penjual tertentu. Saya sendiri membeli Harakah daripada seorang penjual yang menyorokkannya daripada tatapan umum; apabila diminta barulah dia mengeluarkan naskhah berkenaan. Pendeknya macam mahu membeli barangan haram pula layaknya.

Kisah Harakah dirampas manakala pembacanya di kalangan kakitangan kerajaan dan pelajar dikenakan tindakan ada dilaporkan. Pernah juga Harakah digantung penerbitannya manakala jualannya dihadkan kepada akhli-ahli PAS saja. Ini membuktikan betapa bimbangnya sang penguasa terhadap pengaruh akhbar alternatif nombor satu ini, jadi 'kepercayaan' pelajar IPT kepada Harakah amat wajar dipuji, sekali lagi saya mengucapkan syabas di atas perjuangan dan pengorbanan anda semua.

'Perjuangan menghidup dan menyemarakkan'  Harakah di kalangan pengurusan dan kakitangannya juga tidak sama dengan media massa arus perdana. Berhubung hal ini, saya teringat pesanan seorang pemimpin tertinggi akhbar ini ketika mula bertugas belasan tahun lalu.

Beliau berkata bekerja di sebuah organisasi media 'pembangkang' seperti Harakah yang boleh pada bila-bila masa boleh diperlakukan 'sesuka hati' oleh sang penguasa seperti dibatalkan permit KDN-nya, digantung penerbitannya manakala akhbarnya dirampas dan pejabatnya digeledah, tentunya tidak sama dengan mengurus dan mengendalikan media arus perdana.

Pemimpin itu bertanya saya; adakah saya tahu akan taktik perang gerila seperti dijayakan oleh pejuang Vietnam (Vietcong), Ho Chinh Minh? Ibarat angkatan perang askar Amerika sofistikated yang dianggapnya sebagai gajah dengan gerila Vietnam serba daif yang dianggapnya sebagai harimau kumbang, sudah pasti harimau tidak mampu menghadapi gajah secara berhadapan tetapi menunggu peluang.

Apabila gajah tidur atau leka, sang harimau menyerang, melukakan gajah selepas itu menghilangkan diri. Apabila gajah bersiap sedia, harimau tidak muncul-muncul. Apabila lalai, dilakukan serangan lagi, melukakan gajah dengan lebih parah. Begitulah dilakukan tanpa mengenal putus asa; lama-lama Amerika pun mengaku kalah, meninggalkan Vietnam dengan membawa 'malu besar'.

Jadi fikir-fikirkanlah kedudukan, peranan dan pendekatan Harakah berdasarkan dicontohkan pemimpin berkenaan - janganlah mengharapkan yang 'enak-enak saja' - tetapi siap sedia menghadapi kejutan dan pancaroba dalam perjuangan. Tidak ada istilah 'lembik' dalam perjuangan, kalau tak berani hadapi ombak jangan buat rumah di tepi pantai...

Perkara terakhir yang ingin saya sampaikan kepada 'anak-anak serta adik-adik dari USIM yang saya kasihi sekalian', buatlah sedikit kajian atau 'paling lekeh' pun amat-amati konsep perjuangan, kecenderungan dan gaya penulisan (house-sytle) akhbar ini sebelum kita menulis artikel kita dan menghantarnya kepada editor untuk disiarkan. Baca dan hayatilah bahan yang disiarkan bagi kita mendapat gambaran berkenaan.

Ingatlah 'akhbar politik' ini adalah suara parti (PAS) tetapi sekarang sudah diperluaskan konsepnya merangkumi inspirasi Pakatan Rakyat dan rakyat secara keseluruhannya. Jadi kebanyakan bahan disiarkan menjurus ke arah itu, namun satu hal yang tidak boleh ditinggalkan PAS juga adalah sebuah gerakan dakwah, jadi artikel-artikel mengenai Islam juga mendapat perhatian. Itulah sebabnya, bahan-bahan 'anak-anak dan adik-adik' mengenai ehwal Islam seperti Israk Mikraj, sedekah, pendidikan dan isu muda-mudi juga disiarkan.

Wahai 'anak-anak dan adik-adik yang saya kasihi sekalian', pesanan terakhir saya, amat-amati dan usahakan untuk mengikuti gaya penulisan (house-style) sebuah penerbitan itu sebelum menulis. Untuk menulis tesis universiti pun ada gayanya - UKM dengan gayanya (malah ada buku panduan mengenainya), begitu juga saya percaya dengan USIM, UiTM, UM dan sebagainya.

'House-style' sesebuah akhbar boleh diketahui jika kita peka dan meneliti bahan yang disiarkan. Memanglah 'pokok penulisan' adalah berdasarkan 'gaya DBP' dan apa dipelajari di sekolah dan universiti (supaya ada keseragaman dalam penulisan bahasa Melayu standard) tetapi setiap penerbitan ada gaya penulisan masing-masing.

Gaya ini termasuk dalam menulis sesuatu perkataan itu seperti 'byline' (nama penulis ditulis dengan huruf besar) dan singkatan - misalnya dalam Harakah cetak - PAS ditulis dengan huruf besar dan Umno dengan huruf kecil. Perhatikan, bagi Parti Keadilan Rakyat tetap ditulis sebagai KeADILan sedangkan hampir semua media cetak menulisnya sebagai PKR!  Itulah antara gaya tersendiri (unik) Harakah yang dipertahankan untuk sekian lama!

No comments: