Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kemudian Kami jadikan kamu di atas suatu jalan yang lurus (syariah) maka hendaklah kamu mengikutinya. Dan jangan sekali-kali mengikut kehendak mereka yang tidak mengetahui." (Maksud ayat 18 Surah Al-Jasiah)
ASSALAMUALAIKUM wbt sidang pembaca yang dihormati dan disayangi sekalian. Sudah 12 tahun sejak saya menunaikan haji dan apabila kembali dari Tanah Suci tercetus idea untuk memulakan ruangan 'Kisah Dari Tanah Suci' yang memberi peluang kepada pembaca yang berkesempatan ke Makkah dan Madinah untuk mencoretkan kisah bagi kita berkongsi pengetahuan, ilmu dan mengambil iktibar.
Dua belas tahun adalah suatu tempoh agak panjang; anak perempuan saya yang dilahirkan beberapa hari sebelum saya berangkat ke Tanah Suci dulu dan dinamakan Fatima Az-Zahra bagi mengambil kebarakahan puteri Nabi s.a.w., kini sudah menjadi gadis sunti; jadi sempena kedatangan bulan barakah Ramadan Al-Mubarak 1435, saya berusaha menilai kembali diri ini dan ribuan umat Islam di tanah air yang sudah bergelar haji dan hajah.
Jika dulu sebelum dipilih menunaikan haji, ramai daripada kita semangatnya begitu membuak-buak; sebahagian daripada kita menabung dengan penuh gigih sejak muda lagi dan selepas bertahun-tahun malah puluhan tahun barulah impian kita tercapai. Tetapi, adakah semangat membara ketika berusaha melengkapkan Rukun Islam itu (haji sebagai Rukun Islam kelima) tetap berkobar-kobar bagi kita menegakkan Islam sebagai cara hidup termasuklah hukum-hakamnya seperti hudud selepas kita bergelar haji dan hajah?
Atau adakah ia sudah sampai ke kemuncak ketika kita menunaikan haji, dan selepas kembali ke tanah air semangat kita beransur-ansur kendur dan 'kita kembali ke perangai asal kita'.
Nampaknya semangat kita termasuk diri ini semakin lama semakin pudar dilihat bersesuaian dengan jarak waktu yang semakin jauh ketika kita menunaikan haji. 'Semangat haji' semakin lama semakin jauh daripada sebahagian kita kecuali sesetengah insan terpilih; mereka tetap berkobar-kobar menerapkan 'cara hidup' di Makkah dan Madinah ketika mereka menunaikan haji dulu.
Ambil contoh mudah persoalan solat; jika berada di Makkah dan Madinah dulu, kita bertungkus-lumus untuk seboleh mungkin menunaikan setiap solat waktu - subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak - secara berjemaah di masjid, tetapi apakah insan yang sudah menunaikan haji terutama abang dan pak haji istikamah untuk berjemaah di masjid?
Ya, Masjidilharam dan Masjid Nabawi menjadi saksi sebahagian daripada kita berlari-lari anak malah saya ada menyaksikan seorang jemaah tersungkur jatuh tetapi segera bangun semata-mata untuk dapat solat berjemaah di masjid. Tetapi kini adakah abang dan pak haji masih tetap setia ke masjid atau sibuk dengan mesyuarat dan bisnes kita yang tidak pernah habis-habis sekalipun azan sudah berkumandang di udara?
Bagi kak dan mak hajah, adalah penampilan menutup aurat kita masih sama ketika berada di Makkah dan Madinah dulu atau kita 'sudah kurang ingat lagi mengenainya'.
Untuk mengetahui penampilan kita sekarang ini menepati syarat menutup aurat atau tidak; bersediakah kita bersolat pada bila-bila masa dengan pakaian yang ada di badan kita tanpa mengenakan telekung. Jika tidak bersedia, seperti kita meremehkan hal yang dianggap kurang penting seperti tidak menutup kaki, bertudung singkat, berpakaian ketat atau nipis, bermakna kita sudah melupakan 'semangat Makkah dan Madinah kita'! Ingatlah pakaian yang diistilahkan menutup aurat adalah sama ketika kita solat atau di luarnya.
Setiap tahun hampir 30,000 jemaah ke Tanah Suci; dalam tempoh 10 tahun sudah ada 300,000 haji dan hajah di negara kita. Jika diambil tarikh sejak Merdeka pada 1957, mungkin ada jutaan haji dan hajah (sekalipun ditolak jumlah haji dan hajah yang sudah meninggal dunia) yang sewajarnya menjadi ejen kebaikan kerana mereka yang sudah melengkapkan Rukun Islam kelima itu kerap diumpamakan 'utusan' atau 'duta' kebenaran.
Namun dengan adanya jutaan haji dan hajah, mengapa hukum Allah SWT masih tidak tertegak di bumi bertuah ini sedangkan di negara jiran kita Brunei Darussalam yang hanya sebesar Negeri Sembilan dengan penduduknya lebih sedikit daripada negeri itu, telah mendaulatkan hukum Allah itu. Tentunya jumlah haji dan hajah di Brunei Darussalam adalah kecil berbanding jutaan haji dan hajah kita.
Selain itu, jenayah dan keadaan sosial masyarakat kita semakin hari semakin buruk sehingga Allah SWT membalakan kita dengan pelbagai kejadian luar biasa seperti hilangnya pesawat MH370 dan kemalangan jalan raya yang tidak putus-putus walaupun kita mengaku teknologi komunikasi dan perhubungan kita adalah antara yang terbaik di dunia. Jenayah begitu mengerikan, apakah masuk akal ada kejadian rogol membabitkan 38 penjenayah?
Persoalannya, apakah 'pak aji' dan 'mak aji' boleh berdiam diri sedangkan 'kejahatan' sudah memasuki kampung halaman kita seperti di tanah-tanah rancangan? Ya, wahai jutaan 'mak aji' dan 'pak aji' apakah kita masih boleh mendiamkan diri apabila tangan-tangan rakus menjarah kekayaan ekonomi negara kita sedangkan keadaan hidup kita masih seperti dulu atau mungkin lebih sedikit baik.
Kepada jutaan haji dan hajah, hidupkan kembali semangat semasa di Makkah dan Madinah dulu, mari kita imarahkan kembali masjid-masjid di tanah rancangan dan desa pedalaman yang kerap benar kosong kerana anak-anak muda sudah ke kota.
Kembalikan semangat Makkah dengan berlari-lari anak ke masjid setiap solat waktu; tetapi jika itu tidak dapat lagi dilakukan disebabkan kita semakin tua dan uzur, berilah peluang anak muda mencuba idea dan pendekatan baru; janganlah segera dicop mereka itu sebagai anak derhaka atau tidak mengenang budi!
No comments:
Post a Comment