Friday, February 21, 2014
Kisah ulang tahun perkahwinan ke-25, 55...
**************************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************************
Renungan
***************************
"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)
******************************
FEBRUARI meninggalkan banyak kenangan pada saya. Namun harap tidak silap...mengaitkannya dengan sambutan Hari Valentine pada 14 Februari yang diasosiasikan dengan hari berkasih sayang atau kekasih oleh sesetengah pihak.
*******************************
Pada tanggal 17 Februari saya dilahirkan, pada bulan Februari 1989 saya berkahwin dan baru-baru ini ibu bapa saya mengambil kesempatan cuti Tahun Baharu Cina untuk membuat kenduri kesyukuran perkahwinan mereka yang ke-55 tahun.
******************************
Saya dan isteri pula meraikan hari perkahwinan ke-25 tahun; dulu perkahwinan kami dilangsungkan pada masa cuti Tahun Baharu Cina yang kerap jatuh pada bulan Februari, jadi ia tidak ada kena mengena langsung dengan sambutan Hari Kekasih!
******************************
Namun kasih sayang adalah intipati sebuah cinta, sebuah perkahwinan. Selepas 25 tahun apa yang saya rasakan? Demikian juga dengan ibu bapa saya, apa yang mereka ingin luahkan selepas 55 tahun?
*************************
Beberapa hari lalu, saya mengikuti kuliah seorang tok guru yang memuzakarahkan salah satu Asma al-Husna Allah SWT iaitu 'Al-Halim'. 'Al-Halim' bermaksud, Yang Maha Tetap Menahan Marah. Allah SWT menahan balasan seksa-Nya terhadap orang yang sepatut telah menerimanya. Balasan seksa ditangguhkan-Nya, ada kala tidak diberi seksaan langsung, ada kalanya dimaafkan ada kalanya disegerakan seksaan-Nya. Semua ini merupakan persoalan azali dan bergantung kepada iradat dan ilmu-Nya.
************************
Berdasarkan Al-Halim Allah SWT ini, seorang penzina terus sihat walafiat, seorang perasuah semakin kaya, seorang pemimpin zalim terus berkuasa; Allah menahan balasan seksa-Nya, termasuk memberi peluang pelaku maksiat bertaubat.
***********************
"Namun, apa yang kita selalu saksikan dalam kehidupan manusia?" tanya tok guru. Seorang pemimpin zalim tak sabar-sabar menghukum rakyatnya yang dituduh bersalah, seorang guru besar berlagak 'diktator' di sekolah dan dalam rumah tangga, sang suami bagaikan raja singa, sedikit saja kesalahan anak isteri habis disepak terajangnya. Ya, kuasa baru ada ke atas seorang dua insan, tetapi lagaknya, nauzubillah...
**************************
Itulah, Allah SWT bersifat Al-Halim, tetapi saya sebagai seorang suami dan bapa bagaimana keadaannya? Segala sifat yang negatif ada pada diri ini - panas baran, tidak sabar, tamak haloba, kikir, perasan baik, sentiasa mahu menang (terutama ketika masa muda dulu)...senarai ini panjang; dulu semasa muda kita terlalu sibuk (atau buat-buat sibuk) menyebabkan tiada masa memikirkannya.
**************************
Bangun pagi, kita 'sudah berdesup' ke pejabat dan balik rumah sudah lewat malam atau dinihari ketika anak isteri sudah lama lena, jadi apa yang boleh kita fikirkan? Pada hujung minggu malah pada cuti awam pun bertungkus lumus di pejabat atau di lapangan...ya apa nak jadi dengan diri ini yang 24 jam kerja, kerja, kerja. Malah ada rakan-rakan kita solat pun tak ada masa, yang wajib pun tunggang-langang apatah lagi yang sunat...
*************************
Kini, pejam pelik mata, sudah 25 tahun saya berkahwin...ini suatu tempoh masa yang panjang. Anak sulung pun sudah berusia 24 tahun; pemuda ini masih bujang namun ramai rakan-rakan seangkatan saya anak mereka sudah berkahwin malah ada sudah bergelar datuk manakala isteri mereka nenek atau opah...oh, ada seorang rakan saya melawak - akhirnya "aku tidur dengan seorang opah!" Dulu begitu mengerikan memikirkannya...kini sudah menjadi kenyataan.
***************************
Demikianlah perasaan pasangan sudah berkahwin suku abad yang kini 'belajar-belajar' untuk menjadi datuk dan nenek, bagaimana pula perasaan ibu dan bapa saya yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-55?
*************************
Ibu saya sempena hari bertuah itu menukilkan sebuah nasihat untuk anak cucu yang antara lain berbunyi: "Selepas melalui zaman kanak-kanak, kita memasuki usia remaja sehingga 20 tahun, kemudian dewasa dan matang pada usia 40 tahun. Pada usia 60 tahun sudah menjadi tua. Saya bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan rahmat dan nikmat-Nya ke atas saya menjangkau 70 tahun dan suami 77 tahun - hidup bersama selama 55 tahun. Emak dan bapak kamu sudah memasuki peringkat 'kun' (pikun?) umur lebih banyak daripada Nabi Muhammad s.a.w."
***************************
Beliau lantas memetik maksud Surah Al-Asr yang bermaksud: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian...(sehingga habis)." Kemudian menyambung: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya..."
*************************
Ya, semua orang jika tak mati muda, akan memasuki usia tua. Kata tok guru jika seseorang tidak membersihkan jiwanya sejak muda, apabila memasuki usia tua perangainya akan menjadi lebih teruk lagi.
**************************
Jika dulu apabila baran, kaki dan tangannya 'cepat naik' ke muka dan badan orang terutama anak isteri namun apabila tua ketika tenaga hampir sudah habis dan badan sentiasa sakit-sakit dan tak kuat lagi, mulutnya akan menjadi jahat - itulah sebabnya orang tua yang kurang imannya akan selalu menghambur kata-kata kesat, memaki hamun dan sebagainya terhadap anak dan cucu.
*******************************
Namun jika dibajai iman sejak muda...hati dan mulutnya akan sentiasa basah, berzikir mengingati Allah, Allah, Allah sehinggalah maut menjemput-Nya. Berusahalah untuk menjadi orang tua sebegini jika kita dipanjangkan usia oleh-Nya. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment