Tuesday, February 25, 2014
Agama dipermain, hanya hukum Allah penyelamat manusia
*********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*********************
Renungan
********************
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka apabila disebut Allah, takutlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Surah Al-A'raf: 2)
***************************
Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh sensitiviti agama membabitkan individu dan pihak tertentu sehingga mengusarkan masyarakat manakala kita dibimbangi semakin jauh daripada rahmat Allah SWT.
*****************************
Kita cemas dengan perkembangan semasa di mana agama dipermain sehingga ada kecenderungan individu dan pihak tertentu yang menyimpang jauh daripada akidah seperti menolak hadis, muncul individu mengaku rasul Melayu dan lebih dahsyat lagi tuhan Harun. Amat malang sekali golongan sesat atau sudah murtad ini mempunyai ramai pengikut malah diberi 'pengesahan' dan 'dibela' oleh tokoh besar dan diikuti cendekiawan termasuk dari pusat-pusat pengajian tinggi.
****************************
Selain kesesatan ini, jenayah termasuk yang dahsyat seperti membunuh dan membunuh diri semakin menjadi-jadi, kita amat khuatir ini terjadi kerana kita semakin jauh daripada rahmat Allah SWT kerana gagal menjalankan hukum-hakamnya. Hukum Allah SWT adalah penyelamat manusia, menolaknya kita amat bimbang sudah termasuk golongan sesat manakala jika tidak melaksanakannya kita cemas kita semakin jauh daripada-Nya.
************************
Hakikatnya, setiap Muslim tidak akan terlepas daripada ditanya usaha mereka dalam menunaikan kewajipan agama termasuklah menjayakan hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.
**************************
Jika individu Muslim akan ditanya, apa pula yang akan dijawab oleh pemimpin dan juga pemerintah jika gagal melaksanakan hukum-hakam-Nya. Ini kerana melaksanakan hukum jenayah hudud, qisas dan takzir terletak di tangan pemerintah atau negara.
*****************************
Hari ini kes jenayah berleluasa. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Mengapa orang tidak takut berzina dan membuang bayi? Dan lebih dahsyat lagi, mengapa orang berani murtad dengan menolak hadis, mengaku nabi Melayu ataupun tuhan Harun?
*****************************
Bukankah jenayah murtad ini termasuk dalam hukum hudud yang pelakunya wajar disuruh bertaubat dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesiapa yang menukar agamanya (murtad),maka bunuhlah dia.” (Hadith Riwayat Bukhari)
*******************************
Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.
***************************
Ambil contoh ketegasan hukum qisas. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.
**************************
Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga. Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.
************************
Allah SWT berfirman maksudnya: " Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (Surah al-Maidah ayat 45)
*******************************
Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, pencurah asid akan menerima pembalasan dicurah asid ke mukanya pula manakala yang mengelar tubuh mangsa, akan dikelar juga tubuhnya.
***************************
Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak daripada melaksanakan hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment