Saturday, February 22, 2014
'Datuk...boleh tolong' - hadiah hari jadi 'terindah'...
**********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*********************
Renungan
*********************
"...dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang-orang beriman." (Surah al-Nisa' ayat 141)
**********************
SEORANG anak lelaki saya, pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh kira-kira 50 kilometer dari rumah mengirim surat meminta saya (ibu bapa) datang ke sekolahnya pada hari Sabtu, 15 Februari lalu. Agendanya, mesyuarat agung PIBG dan paling penting pertemuan dengan guru kelasnya bagi membincangkan prestasi pelajaran.
**************************
Saya tidak dapat mengelak. Disebabkan isteri ada kursus hari itu dan dia pergi dengan keretanya, terpaksalah saya pergi sendirian dengan menunggang motosikal. Menunggang motosikal buruk sejauh 50 kilometer? Ya nampaknya macam tak mampu saya lakukan pada usia 52 tahun (tarikh lahir saya 17 Februari), tetapi demi semangat orang muda (saya terbalikkan angka itu menjadi 25 tahun), saya memulakan perjalanan selepas solat subuh.
**********************************
Biasanya dengan berkereta, perjalanan ke sekolah itu mengambil masa kira-kira 45 minit tetapi dengan motosikal tua, saya mengambil masa lebih tiga jam! Yalah, saya banyak berehat termasuklah singgah di sebuah surau untuk solat duha dan membereskan urusan alami.
****************************
Ketika duduk-duduk di tangga surau, bersedia untuk 'blah', saya terpandang sampah sarap banyak bertaburan di halaman surau. Saya pun mengambil bungkusan plastik dan memulakan kerja mengutip sampah-sampah itu.
*************************
Ketika asyik 'bekerja', kemunculan dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan dalam usia 10 tahun begitu mengejutkan saya yang sedang terbongkok-bongkok, apabila salah seorang daripada mereka menegur saya: "Datuk, boleh tolong...?" Hiss, budak-budak ini, sudahlah dipanggilnya saya datuk, nak mintak tolong pulak tu...
****************************
"Tolong apa?" tanya saya. "Tolong datuk kutip sampahlah..." Terasa panas muka saya menahan malu. Malu kerana tersalah sangka, saya ingatkan mereka mahu minta tolong tetapi mereka mahu menolong - sama-sama mengutip sampah sekeliling surau dan kemudian saya lihat mereka memberus longkang dan mengangkat bongkah batu dan ketulan kayu yang terbiar.
*******************************
Tercengang saya di pagi cerah itu. Terasa betapa indahnya dunia. Matahari saya rasakan seakan-akan 'tersenyum', angin menderu lembut, rerumput dan tanah berbau harum sekalipun dunia dan isinya 'didera' dengan cuaca membahang setelah tidak hujan hampir dua bulan.
**************************
Ya, inilah kali pertama dalam hidup saya menemui kanak-kanak secara spontan dan sukarela menawarkan diri membantu kerja-kerja 'orang tua' seperti saya.
*************************
Oooh, saya tidak pernah menemui situasi ini, peri laku kanak-kanak itu sungguh menggembirakan saya pagi itu, bagi saya mereka telah memberikan harapan bahawa 'ada esok' sebenarnya dalam kehidupan ini pada ketika kita meniti hidup yang masyarakatnya semakin kasar dan kejam. Ya, kanak-kanak itu telah membuat saya riang sepanjang hari.
***************************
Perbuatan mereka telah 'makes up my day'! Tak apalah jika mereka memanggil saya 'datuk'. Mudah-mudahan tak lama lagi saya akan bergelar datuk juga (jika anak saya berkahwin dan dapat anak) atau pun 'datuk yang satu lagi' iaitu Dato'.
***************************
Di surau itu saya telah saksikan 'satu sinar' - sinar harapan. Bagi saya inilah hadiah hari jadi paling indah pernah saya dapat. 'Hadiah' ini membuatkan pemberian berbentuk material dan kata-kata indah pada kad ucapan yang saya terima selama ini kelihatan amat kecil malah mungkin tidak bermakna. Ya, apa ertinya jika ia hanya indah pada kata-kata tetapi tidak disertai perbuatan?
***************************
Akhirnya saya telah ketemui keindahan kata-kata diterjemahkan menjadi perbuatan. Saya menyaksikan dengan mata kepala ini sendiri bagaimana kanak-kanak itu dapat menterjemahkan apa yang dipelajari di rumah dan sekolah; tentang budi bahasa, tentang sifat tolong menolong yang 'berbuih-buih' diajar oleh ibu bapa dan guru di sekolah secara praktik tanpa disuruh, tanpa dipaksa.
*****************************
Menemuii insan dewasa apatah lagi kanak-kanak yang ikhlas membantu orang lain memang sukar. Ini kerana sejak kecil anak-anak kita dilatih dengan upah, mengharapkan ganjaran pada penghujung sesuatu usaha. Misalnya berpuasalah, nanti bapak bagi duit, belajarlah bersungguh-sungguh nanti anak akan dapat 5A dalam UPSR, 9A dalam PMR dan 11A dalam SPM.
*************************
Semuanya menjanjikan ganjaran, tetapi peristiwa "datuk, boleh tolong...?" di sebuah surau nun di sebuah kawasan pedalaman, menyedarkan saya bahawa 'generasi muda kita masih boleh diselamatkan' - ayuh marilah kita, terutama orang yang terbabit terus dalam bidang pendidikan seperti 'cikgu' berusaha sepenuh jiwa membimbing generasi muda kita ke jalan-Nya yang lurus!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment