Monday, February 17, 2014
Helah sang singa tua mahu terus jadi raja...
******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*******************
Renungan
******************
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
*********************
Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia; dapatkan kita memuzakarahkan isu semasa.
********************
Kali ini kita ingin menyentuh perilaku pihak berkuasa yang bertindak bagaikan raja singa di hutan rimba. Sebahagian besar tindak tanduknya adalah demi kepentingan diri, jika berbuat baik terhadap haiwan-haiwan lemah (rakyat) di belantara, ada udang di sebalik 'mi' (batu).
************************
Kini sang singa sudah tua, sokongan rakyat hatta daripada kalangan tikus pun diperlukan. Selepas dapat berkuasa (selepas PRU lalu), singa tua menguak dada, mengaum hebat; segala yang sedap-sedap mahu dihimpunkan di sisinya. Maklumlah mandat baru diberi, jadi dinaikkan harga pelbagai keperluan rakyat - daripada gula, petrol malah cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pun diketengahkan.
*****************************
Rakyat bangkit, tanpa disangka singa tua terperangkap dalam sandiwara bikinan sendiri. Singa sekalipun sudah tua adalah pemaging; tidak makan dedaun apatah lagi sayur kampung.
**************************
Tetapi singa tua tercakap sejenis sayur kampung kononnya sudah murah harga, tidakkah rakyat mahu memuji usaha kerasnya itu - malangnya rakyat sudah muak dengan sayur itu, mereka tidak ingin tiru gaya hidup mewah singa sebaliknya hanya mahu hidup selesa - cukup makan, ada tempat tinggal, pakaian dan serba serbi aspek kehidupan seperti pendidikan anak-anak, mudahnya perjalanan dan mendapat perkhidmatan kesihatan. Singa tua malu besar, tetapi tetap mahu 'menyingga'.
**********************
Kebangkitan rakyat bertambah semarak apabila secara tiba-tiba akan diadakan pilihan raya kecil. Singa tua tidak menduga, fikirnya pemilihan lama lagi; kini perlu diadakan dalam masa terdekat pula. Tergaman sang singa. Namun singa tetap singa sekalipun sudah tua. Maka untuk 'mempasung' rakyat, sang singa mengorak langkah 'manis berbisa' - salah satunya menangguhkan kenaikan kadar tol.
*************************
Kata singa tua, pihaknya sanggup berkorban RM400 juta untuk dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya. Singa tua amat memahami derita rakyat, langkah ini adalah untuk melegakan beban rakyat. Pelik sungguh kerana dulu singa tua beriya-iya mahu menaikkan kadar tol bersama-sama apa ia dakwa pengurangan dan penghapusan subsidi gula dan minyak.
****************************
Selama ini kebanyakan rakyat ingat singa tua kuat - rupa-rupanya singa tua takut pilihan raya. Ya dalam pilihan raya, rakyat akan membuat pilihan. Jadi singa tua takut rakyat termasuklah 'tikus-tikus' sebenarnya.
************************
Jadi ini sudah diketahui rahsianya, ayuh 'tikus-tikus', sekalipun kecil dan lemah, mari kita bersatu kukuh, kita gulingkan singa tua durjana yang bijak bersandiwa mahu kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya.
***********************
Berdasarkan perkembangan terkini, tahulah kita betapa singa tua takut jika rakyat 'membuat bising'. Dulu rakyat senyap saja, tetapi dengan kemajuan teknologi komunikasi mereka sudah berani ke depan.
***************************
Dulu mereka hanya dikenali sebagai 'the silent majority'. Kini golongan majoriti yang diam inilah yang yang perlu disuntik semangat mereka untuk bangun menyuarakan ketidakpuasaan hati terhadap pembahagian kekayaan negara yang tidak adil.
***************************
Identiti kebanggaan negara seperti Petronas dan Tenaga Nasional dikatakan mencatat keuntungan berbilion-bilion ringgit, tetapi kenapa 'kekayaan' ini tidak dapat dikongsi bersama rakyat sebaliknya harga minyak dan tarif elektrik dinaikkan.
********************
Harap-harap rakyat tidak lagi digula-gulakan dengan cerita keuntungan besar (berbilion-bilion ringgit) syarikat milik kerajaan melalui media massa tetapi hakikatnya kebanyakannya terpaksa mengikat perut untuk menunaikan tanggungjawab asas seperti makan minum, tempat tinggal dan menyekolahkan anak-anak.
************************
Kepada 'tikus-tikus' di rimba, akhirilah sikap rendah diri yang sudah berdekad-dekad membelenggu diri, membiarkan singa tua meratah daging, hati dan jantung sedangkan 'kita' makan tulang atau lebih malang lagi 'sup kangkung'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment