Monday, January 20, 2014
Teladani Rasul; henti jadi pemimpin 'perasmi' saja...
********************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) ***************************
Bersyukur kita dilanjutkan usia maka dapatlah kita memuzakahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh hal kepimpinan semasa dan mengaitkannya dengan peribadi dan teladan ditunjuki Rasulullah s.a.w. sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebahagian kita meraikannya dengan begitu gah sekali.
**********************
Dalam Perang Ahzab, kota Madinah dikepung oleh gabungan tentera musuh. Seorang sahabat, Salman Al-Farisi mengesyorkan agar digali parit yang besar dan dalam di sekeliling kota Madinah. Maka orang Muhajirin dan Ansar pun bertungkus-lumus membina 'kubu pertahanan' yang belum pernah dipraktikkan orang Arab. Pemimpin mereka iaitu Nabi kita yang dikasihi, Muhammad s.a.w. pun bersama-sama menyertai mereka; menggali parit dalam perit sinar mentari dan ada kalanya dalam keadaan yang sungguh lapar dan kehausan.
***************************
Itu Nabi kita; tetapi bagaimana sikap dan tindakan pemimpin kita hari ini? Ya, mereka datang untuk merasmikan sesuatu majlis atau projek, selepas itu mereka dijamu sama ada perut atau mata dan telinga; selepas sejam dua mereka 'mengucapkan selamat jalan'. Sekalipun hanya 'menggayakan jentera pemecah tanah' atau 'meletakkan batu asas' sesuatu projek, hakikatnya mereka tidak sama-sama merasai derita rakyat, namun ironinya 'usaha mereka yang tidak seberapa itu' mendapat liputan meluas media massa, kononnya merekalah pemimpin berjiwa rakyat dan sebagainya.
*********************************
Nabi kita, Muhammad s.a.w. telah menunjukkan suri teladan yang terbaik, baginda mengotakan segala apa diucapkannya. Ia bukan cakap-cakap saja seperti yang hampir menjadi amalan sebahagian besar pemimpin hari ini, tetapi mempraktikkannya. Dari segi amalan seperti yang digariskan dalam al-Quran seperti solat, puasa dan sedekah; Nabi yang kita kasihi, melakukannya lebih daripada umatnya. Jika seorang Muslim diwajibkan solat lima waktu sehari semalam, Nabi melakukannya sebanyak lapan kali demikian juga puasa melebihi umatnya yang hanya diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan.
******************************
Adalah biasa untuk rumah Nabi 'tidak berasap selama beberapa hari' (bermakna tiada makanan), dan tiada hari berlalu tanpa baginda tidak makan. Pakaian Nabi ada tampalan, rumahnya sederhana saja - diperbuat daripada bata lumpur, manakala katilnya daripada bahan kasar dan ada kalanya baginda tidur di atas hamparan kasar yang menyebabkan belakang tubuhnya berbekas.
****************************
Itulah Nabi kita; hari ini kita mahu bertanya bagaimana kehidupan dilalui pemimpin kita. Pemimpin kita ramai yang berani berkata (terutama ketika majlis sambutan Maulidur Rasul) kata-kata yang 'muluk-muluk' seperti 'Teladanilah Rasul', 'Hiduplah Secara Wasatiyah' dan 'Ikutilah Rasul', tetapi apakah mereka sudah amalkan apa yang ditunjuki Rasul yang kita kasihi?
***********************
Apakah pemimpin kita hanya 'berbakat' sebagai perasmi saja atau 'memperagakan' kemahiran 'menggoreng mi' atau 'menggacau bubur lambuk' atau 'pandai berkain pelikat menghirup kopi' ketika kempen pilihan raya, tetapi tidak turun bersungguh-sungguh menyelami pahit getir rakyat seperti yang ditunjukkan oleh Rasul kita? Berhentilah dariada menjadi pemimpin 'touch and go' sebaliknya selamilah betul-betul derita rakyat.
****************************
Kerana gagal menyelami derita rakyatlah, maka pemimpin 'tersasul' dalam menyebut hal-hal berkaitan rakyat marhain seperti 'sayur kangkung', ikan kembong, cencaru, gelama serta duri. Mungkin pemimpin tidak pernah tahu atau ambil tahu harga harga bahan makanan yang sinonim dengan golongan marhain ini sehingga mereka yang 'mahu tunjuk pandai' terperangkap dalam 'sandiwara' mereka sendiri.
*****************************
Ingatlah ada satu 'permainan bahasa' berbunyi 'ikan senohong, ikan duri, pandai berbohong, lama-lama jadi menteri...'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment