Sunday, January 19, 2014
Agamawan, berhati-hatilah ketika bercakap, bertindak...
********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
********************
Renungan
***************************
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah At-Taubah, ayat 105)
**********************
NABI yang kita kasihi, Muhammad s.a.w. tidak makan dhab. Tetapi baginda tidak melarang umatnya makan dhab, Sehubungan itu dijadikan hukum boleh makan dhab. Nabi s.a.w. tidak solat sunat sebelum maghrib, tetapi tidak melarang sahabat melakukannya. Jadi boleh solat sunat sebelum maghrib.
*************************
Ulama adalah pewaris Nabi s.a.w. Orang kita menggelarkan golongan agamawan sebagai ustaz dan ustazah. Pada sepanjang zaman, perilaku (percakapan dan tindakan) ustaz dan ustazah menjadi perhatian dan ikutan masyarakat.
*****************************
Sekarang ini masih musim kenduri (walaupun cuti sekolah sudah tamat). Pada hujung minggu, adalah orang buat kenduri kahwin, kenduri arwah, kenduri 'cukur jambul dan sebagainya'.
**********************************
Seorang ustazah melangsungkan perkahwinan anaknya. Di rumah ustazah ada pelamin berhias indah, dia mahu sandingkan anak perempuan dengan menantu barunya. Pada hari 'langsung', anak dan menantu ustazah di pelamin 'ditepung tawarkan' dan 'direnjis-renjis'.
**************************
Perkara ini berlaku di rumah ustazah, jadi orang kampung pun buat kesimpulan, bolehlah dirikan pelamin di khalayak ramai, termasuk di laman rumah, manakala pengantinnya direnjis-renjis dan 'ditepung-tawarkan'. Hai, bukankah ustazah yang buat, kata mereka, takkan mereka tak boleh pula.
************************
Seorang ustaz pula diundang ke majlis 'cukur jambul'. Apabila bayi 'disuakan' kepadanya, sang ustaz pun menggambil gunting dan menggunting sedikit rambut bayi lalu mencelupkan tangannya beserta helaian rambut tadi dalam air buah kelapa. Apabila ustaz membuat perkara itu, orang kampung pun membuat kesimpulan, boleh saja majlis cukur jambul cara sedemikian; kan ustaz yang buat...
**************************
Demikianlah betapa kuatnya pengaruh golongan agamawan kepada masyarakat, kata seorang tokoh agama dalam majlis tazkirahnya yang saya hadiri baru-baru ini. Sehubungan itu beliau mengingatkan ustaz dan ustazah untuk berhati-hati dan cermat dalam sebarang tindakan mereka termasuklah dari segi percakapan supaya sentiasa sejajar dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana percakapan dan tindakan mereka akan menjadi ikutan masyarakat.
*************************
Sempena musim Maulidur Rasul sekarang ini, tokoh agama ini memberi peringatan kepada penganjur majlis sambutan supaya tidak berlebih-lebihan menyemarakkan karnival mereka misalnya meneruskan persembahan nasyid dan pelbagai pengisian lain sekalipun laungan azan bagi solat waktu sudah berkumandang di udara. "Hentikan semua ini, sambutlah seruan azan dan utamakan untuk pergi solat," katanya.
****************************
Hakikatnya, tiada hal yang lebih penting daripada memenuhi panggilan Illahi untuk solat apabila aungan azan kedengaran, lebih-lebih lagi pentas karnival adalah di sebelah masjid atau berkongsi kawasan dengan masjid.
****************************
Beliau bimbang jika itu dilakukan, anak-anak muda akan membuat kesimpulan "bolehlah meneruskan program mereka sekalipun sudah kedengaran azan kerana ustaz dan ustazah pengelola karnival pun buat perkara yang sama."
***************************
Demikianlah betapa kuatnya pengaruh ustaz dan ustazah hatta golongan agamawan lain seperti tok imam dan bilal dalam kehidupan masyarakat kita. Golongan agamawan dihormati, apa saja percakapan dan tindakan mereka dilihat sebagai 'pengesahan' (approval) untuk mereka melakukan sesuatu. Jadi adalah teramat penting untuk golongan agamawan berhati-hati dalam percakapan dan tindakan mereka.
***********************
Baru-baru ini tindakan seorang mufti menggunakan istilah 'bughah' ke atas peserta demonstrasi pada malam tahun baru (1 Januari 2014) diberi reaksi hangat oleh masyarakat. Itulah percakapan dan tindakan golongan agamawan (seperti ustaz dan ustazah apatah lagi mufti) menjadi panduan masyarakat.
******************************
Mufti ini cakap mereka 'bughah' selepas ada pihak mendakwa mereka mahu menggulingkan kerajaan. Lantas apabila dibidas, bagi menguatkan hujahnya sang mufti memetik Ayat 9 Surah Al-Hujurat yang bermaksud: “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah. Jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
****************************
Mufti membuat kesimpulan peserta demonstrasi 'bughah' kerana mereka mahu menggulingkan kerajaan. Persoalannya, daripada mana mufti tahu mereka mahu menggulingkan kerajaan? Daripada 'media massa penyebar fitnah dan pengadu-domba'? Mengapa percaya bulat-bulat, sebagai seorang agamawan yang dihormati semua pihak, tidak mahukah membuat penyiasatan?
**********************
Bukankah dalam Ayat 6 Surah Al-Hujurat, Allah SWT sudah memberi ingatan yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment