Friday, January 31, 2014
Kos perubatan tinggi gusarkan rakyat marhain...
************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************************ Renungan ************************* "...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah) **************************
HIDUP perlu diteruskan sekalipun terpaksa 'makan nasi berlauk kangkung'. Dalam meneruskan kelangsungan kehidupan ada kalanya kita dan anak isteri jatuh sakit dan memerlukan rawatan. Bagi insan bekerja di jabatan kerajaan dan agensi swasta, mereka boleh menjalani rawatan yang biasanya dbiayai oleh majikan dan mendapat 'MC" tetapi bagaimana nasib mereka yang bekerja sendiri atau 'tidak bekerja' seperti suri rumah?
***********************
Seorang anak saudara saya, seorang doktor pelatih, menangis dan menyatakan betapa sedihnya menyaksikan seorang 'nenek' gagal mendapatkan rawatan hemodialisis di sebuah hospital kerana gagal menyediakan biayanya. Kos menjalani hemodialisis yang dilakukan tiga kali seminggu bukan murah, seorang sahabat saya berkata setiap satunya adalah lebih RM200.
****************************
Ini bermakna pesakit kegagalan fungsi gingal (buah pinggang) ini memerlukan RM600 seminggu atau RM2,400 sebulan. Jumlah wang ini sungguh banyak, menggusarkan' rakyat kebanyakan, alhamdulillah dalam sejumlah kes, ada pihak prihatin daripada sektor swasta dan kerajaan sedia membantu.
*************************
Rawatan bagi 'sakit biasa' seperti demam dan selesema di klinik swasta juga memerlukan kos tinggi. Adalah biasa untuk sekali rawatan, seorang pesakit dicaj sebanyak RM40 (termasuklah ubat-ubatan). Awal bulan ini selepas mendapat rawatan luka-luka akibat terjatuh motosikal, penulis dicaj RM45, kemudian bagi rawatan susulan di sebuah klinik lain dicaj RM45 lagi.
***************************
Berhubung kos perubatan tinggi ini, penulis teringat lawak seorang rakan. Beliau berkata seorang sahabatnya dihantar ke sebuah hospital swasta terkenal untuk menjalani rawatan. Apabila mengetahui deposit rawatan adalah sebanyak RM1,000; si pesakit tiba-tiba berkata dia sudah sihat dan tidak jadi dirawat di situ.
*********************
Penulis tidak memeriksa kesahihan perkara itu; tetapi tidak lama dulu apabila ibu penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta, barulah penulis tahu ia bukan bahan lawak tetapi sesuatu yang serius kerana deposit untuk dirawat di situ juga RM1,000!
*************************
Selepas menjalani rawatan selama dua setengah hari, cajnya kira-kira RM4,500; membuat penulis mengakui bahawa rawatan perubatan sebenarnya sudah menjadi satu industri membuat duit.
**************************
Tidak lama kemudian bapa penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta terkenal bagi menjalani rawatan masalah prostatnya. Kos pembedahan secara laser dan rawatannya mencapai angka RM20,000 namun bersyukur kepada Allah SWT bapa penulis kembali sihat selepas itu.
*************************
Kini sedarlah penulis bahawa bidang perubatan sudah menjadi satu industri kepada 'si bijak' atau 'diambil kesempatan untuk menangguk di air keruh' bagi sesetengah pihak.
***************************
Dalam bidang ini, semakin banyak pihak menggunakan istilah hospitaliti malah ada banyak kolej menawarkan kursus dalam bidang ini. Malah ada agensi kerajaan dan swasta sudah memperkenalkan 'pelancongan-perubatan' di mana hospital-hospital swasta sedia melayani kehendak warga asing kaya dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei bagi menjalani rawatan di sini.
***************************
Berdasarkan situasi ini, penulis tidak terkejut apabila membaca sebuah berita baru-baru ini mengenai sebuah pusat rawatan swasta yang menolak kemasukan seorang wanita yang mahu bersalin sehingga akhirnya bayi beliau dilahirkan dalam kereta keluarga berkenaan yang diparkir berhampiran.
****************************
Kini dengan peningkatan taraf hidup rakyat di samping gaya hidup mereka yang berubah (seperti tidak mempunyai masa terluang untuk ke hospital kerajaan), pusat rawatan swasta bercambah bagaikan cendawan selepas hujan apatah lagi banyak syarikat menginsuranskan pekerja mereka dari segi kesihatan dan rawatan. Malah ramai orang mempunyai insurans perubatan persendirian.
*************************
Berhubung bayaran tinggi hospital swasta ini, penulis teringat sebuah filem Inggeris yang penulis tonton di televisyen, mengisahkan bagaimana seorang bapa nekad menawan hospital tempat anaknya dirawat kerana dia tidak mampu menyediakan wang rawatan diminta.
******************************
Dalam filem yang tajuknya tidak lagi diingati penulis, si bapa selepas kecewa dengan sikap pengurusan hospital yang menangguh-nangguhkan pembedahan kerana dia gagal menyediakan ratusan ribu dolar yang diminta, akhirnya berjaya menyelamatkan si anak melalui pembedahan itu selepas dia mengacukan pistol ke kepalanya dan juga kepala doktor.
*********************************
Nampaknya kisah ini sudah ‘menghampiri’ masyarakat kita. Perkhidmatan perubatan dan rawatan kini menjadi satu industri; hospital dan klinik kerajaan semakin diabaikan termasuk dari segi mutunya dan kelewatan merawat sesuatu kes disebabkan giliran pesakit terlalu panjang; bukan saja pesakit ‘lari’ ke pusat rawatan swasta malah doktor-doktor turut berhijrah bagi mendapat pulangan lumayan.
******************************
Kos perubatan yang amat tinggi mengusarkan rakyat marhain. Jatuh sakit bukan sesuatu yang boleh dijangka, namun bijak pandai menyatakan 'sediakan payung sebelum hujan'. Namun berdasarkan jumlah pendapatan kita (misalnya RM2,000 sebulan) ditolak perbelanjaan sebanyak RM2,000 atau mungkin juga RM2,500 sebulan (kena pinjamlah tu), ternyata 'payung kita telah tersedia bocor sebelum berlaku hujan'!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment