Wednesday, January 15, 2014
Cerita sedih rakyat mahu berjimat cermat...
***************************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ****************************** Renungan ******************************* Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." *******************************
DALAM artikel terdahulu dalam blog ini ada saya celotehkan (tajuknya; 2014: Berjimatlah tapi jangan sampai bahayakan diri...) antara kaedah saya mahu berjimat bagi menghadapi 'pesta kenaikan' harga barangan dan perkhidmatan mulai tahun baharu 2014 adalah dengan menyuruh seorang anak saya menunggang basikal ke sekolah.
***********************
Sebelum ini anak saya menaiki bas sekolah yang tambangnya RM50 sebulan. Saya tidak bimbang menyuruhnya ke sekolah pagi dan petang (sekolah agama) dengan berbasikal kerana jaraknya tidak jauh - tidak sampai pun sekilometer.
******************************
Biasanya pada sebelah pagi, si anak akan menaiki kereta ibunya. Si ibu akan menghantar si anak dan kemudian terus ke sekolah tempat dia mengajar. Berdasarkan 'peraturan' ini, menjadi 'tugas baru' saya untuk 'menghantar' basikal ke sekolah agar anak saya dapat menaikinya apabila pulang nanti.
*************************
'Untuk menghantar' basikal kecil itu tidak menjadi masalah bagi saya. Semasa saya pergi ke masjid untuk solat zuhur, saya boleh memuatkannya di dalam kereta Iswara saya dan 'menurunkan' serta menguncinya sebelum pergi sembahyang. Sekolah dan masjid terletak bersebelahan, pintu pagarnya sentiasa terbuka kecuali pada waktu malam. Jadi tiada masalah untuk anak saya mengambil basikal itu untuk pulang.
***********************************
Manusia boleh merancang tetapi Allah penentu segala-galanya. Pada petang Rabu, 1 Januari (sehari sebelum hari pertama persekolahan) saya dapati enjin kereta Iswara saya bermasalah. Jadi tidak bolehlah saya memuatkan basikal kecil anak saya. Saya pun pantas mencari jalan penyelesaian.
*****************************
Terlintas di otak saya untuk menunggang motosikal saya dan sambil memegang basikal itu di bahagian 'handle' beriringan untuk dihantar ke kawasan sekolah.
****************************
Esoknya, perkara inilah yang saya lakukan. Mula-mulanya ia berjalan lancar. Namun selepas lebih 100 meter, tiba-tiba saya terlebih tekan pemutar minyak, menyebabkan basikal bergerak laju dengan rodanya mendahului roda motosikal. Apa lagi, saya pun hilang keseimbangan; 'tergolek' ke bumi dengan motosikal itu menghempap kaki saya.
*****************************
Aduhhh, terasa pedih di bahagian keting kaki kanan. Ya, Allah terkena ekzos panaslah tu. Hujung kaki kiri yang tersembam ke permukaan jalan berdarah pula. Saya cuba gagahkan bangun sebelum datang beberapa penunggang motosikal lain membantu.
*******************************
Selepas menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan seperti menghantar basikal anak saya dan menguruskan pemergian ibu saya ke hospital bagi memenuhi temu janjinya di sana, saya pun pergi ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan.
***************************
Saya ingat doktor akan memberikan saya suntikan antibiotik dan ubat luka dan selepas itu bolehlah saya balik, sebaliknya dia mengarahkan seorang pembantunya membersihkan luka saya.
*************************
Pada bahagian kulit terkena eksos dan mula menggelupas, pembantu itu menggunakan penyepit, menarik dan mengguntingnya. Aduhhh, tak tertahan sakit rasanya. Rupanya, sakit juga 'terjatuh motor' ini, bisik, hati saya.
**************************
Itu baru 'jatuh motor' bagaimana agaknya mangsa kemalangan teruk; putus tangan atau kaki atau tertusuk besi atau kaca? Ohh, saya tidak dapat bayangkan...alangkah ngerinya jika ada mangsa cedera parah, terbunuh termasuk yang rentung...Ya Allah jauhkan kami daripada bala seperti itu...
*************************
Selepas diberi ubat, saya diberikan bil rawatan RM45. Itulah 'nasib seorang rakyat' mahu berjimat RM50 daripada membayar tambang bas sekolah, kini perlu mengeluarkan RM45 pada hari pertama persekolahan!
*************************
Kemalangan itu membuatkan saya bermuhasabah diri. Ya, Allah, mungkin niat saya tak betul; sewajarnya saya membuat sesuatu kerana Allah SWT semata-mata dan bukan mahu 'save' (jimat) duit atau sebagainya. Jika mahu 'save' duit; mungkin kita tidak dapat apa-apa, buktinya pada hari pertama saja duit saya sebanyak RM45 'sudah terbang'. Namun jika membuat sesuatu kerana Allah SWT demi keredaan-Nya, insya-Allah Dia akan membantu kita.
***********************
Namun saya tidak menyalahkan diri saya saja kerana saya tahu ramai lagi 'orang di luar sana' melakukan pelbagai pendekatan penjimatan bagi menghadapi 'pesta' kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini.
*************************
Seorang tua dilaporkan berjalan kaki 40 kilometer pergi balik hospital bagi mendapatkan rawatan sekali gus menjimatkan wang tambang; manakala satu pemandangan paling mengharukan saya ialah apabila melihat dengan 'mata kepala' saya sendiri bagaimana seorang pramugari 'seksi' sebuah syarikat penerbangan terkenal dan glamor, membuka .'tupperware' makanan yang mungkin dibawanya dari rumah dan dengan selamba makan di depan penumpang! Orang ramai nampak pramaguri penuh glamor tetapi 'derita' mereka siapa tahu dan ambil tahu?
**********************
Aduhai, demikian episod sedih bagaimana rakyat mahu berjimat ketika 'pesta kenaikan' sekarang ini! Bagi diri sendiri, luka di kaki saya masih berdenyut-denyut sakitnya ketika saya menulis artikel ini, selepas dua minggu kemalangan! Ya pembaca, tolonglah doakan saya cepat sembuh. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment