Saturday, April 6, 2013
Panduan pilihan raya: Fakta lebih kuat daripada kata-kata...
**********************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***********************
Renungan
*************************
"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)
***************************
DI ambang pilihan raya ini banyak terhambur kata-kata manis dan molek-molek 'di mana-mana saja'. Demikian juga dengan perbuatan; misalnya bagi menunjukkan dia berjiwa rakyat ada pemimpin yang turun padang merelakan susuk tubuhnya beraksi menggoreng mi, menjual ikan, malah menoreh pokok getah dan makan bersama keluarga di gerai terbuka!
******************************
Berkenaan hal ini saya teringat apa ditulis oleh tokoh reformis Islam Mesir paling berpengaruh, Muhammad Abduh yang menyatakan terkejutnya beliau melihat percanggahan di antara prinsip-prinsip Eropah yang murni dengan agenda kolonialisnya. "Kami orang Mesir pernah mempercayai liberalisme Inggeris dan simpati Inggeris, namun kami tidak lagi mempercayainya kerana fakta lebih kuat daripada kata-kata. Kami melihat keliberalan kamu hanya untuk diri kamu sendiri, dan simpati kamu terhadap kami umpama serigala untuk biri-biri yang ia ternak untuk dimakan."
*******************************
Berhubung apa yang diutarakan Muhammad Abduh ini terpulanglah kepada pembaca untuk mentafsirkannya. Ada pepatah Inggeris berbunyi, 'action speaks louder than words' (tindakan atau kelakuan lebih kuat daripada kata-kata). Jadi bagi menilai seseorang pemimpin itu, lihatlah kepada tindakan atau gaya hidupnya bukan semata-mata apa yang dicakap untuk ungkapkannya. Ini kerana lidah tidak bertulang, manusia membelitkan kata-kata, pandai bermain lidah, bersandiwara dan sebagainya.
***************************
Bagi saya, perlakuan politikus (sesetengah pemimpin pemerintah) yang 'begitu bermurah hati' kepada rakyat dengan pelbagai 'hadiah' seperti BR1M dan 'sejenis dan sewaktunya' terutama di ambang pilihan raya ini bagaikan sama seperti diungkapkan oleh tokoh reformis Mesir itu: "simpati kamu terhadap kami umpama serigala untuk biri-biri yang ia ternak untuk dimakan
**************************
Seperti British yang ada udang di sebalik batu pada setiap kebaikannya, saya bimbang sesetengah pemimpin kita juga bersikap demikian. Masakan tidak kerana pernah terhambur kata-kata seperti, "I help you, you help me" (Saya tolong kamu, kamu tolang saya). Apabila terkeluar ungkapan seperti ini, bermakna setiap kebaikan perlu dibalas. Apakah bentuk balasan itu, melainkan "kamu undilah saya atau pihak saya pada pilihan raya nanti." Itulah yang sebenarnya dikehendaki walaupun sesetengahnya pandai bermain lidah dengan berkata "ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya!"
****************************
Fakta adalah lebih kuat daripada kata-kata - demikian ungkap Muhammad Abduh. Berdasarkan ini, marilah kita selidiki serba sedikit apa yang ungkapkan (kata-kata) pemimpin kita hari ini adalah fakta atau 'auta' (bohong). Saya tidak mempunyai statistik tetapi menulis berdasarkan pengamalan dan pengamatan. Pemimpin berkata, orang Melayu telah tertolong sejak Umno-BN berkuasa; saya membuka mata saya untuk melihat persekitaran kehidupan masyarakat Melayu di kampung saya hari ini.
************************
Jika dulu (tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, keluarga saya (termasuk saya membanting tulang) mengusahakan sebidang sawah, hari ini tanah itu bukan milik kami lagi. Tanah itu dan tanah-tanah penduduk kampung lain telah di ambil alih sebuah agensi kerajaan negeri bagi memajukan tanah-tanah adat Melayu. Semasa urusan pengambilan tanah, penduduk kampung dipujuk pemimpin pemerintah kononnya tanah itu perlu dimajukan demi masa depan orang Melayu sendiri.
*******************************
Hari ini terdirilah sebuah taman perumahan dan rumah-rumah kedai di bahagian hadapan taman. Apa yang menakjubkan tanah yang dulunya milik orang Melayu, apabila dibangunkan dengan ribuan rumah kediaman; hanya sejumlah kecil keluarga Melayu yang mendiaminya. Lebih malang, hampir tiada kedai di bahagian hadapan menempatkan orang Melayu sebagai pemilik atau penyewa.
*********************************
Hakikatnya (berdasarkan penglihatan mata dan pengalaman saya sendiri) tanah sawah itu dulunya hak orang Melayu 100 peratus. Tetapi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa? Mereka mendabik dada kononnya mereka pembela bangsa dan agama paling hebat; mereka telah membangun dan memajukan orang Melayu tetapi hakikatnya tanah-tanah orang Melayu semakin rakus diambil alih. Tahun demi tahun semakin banyak tanah dan kampung orang Melayu di pinggir bandar diambil alih; seolah-olah orang Melayu tidak layak duduk di bandar hatta kawasan pinggirnya. Mungkin mereka layak duduk di pinggir atau dalam hutan layaknya.
****************************
Demikian betapa benarnya, kata-kata Muhammad Abduh - fakta lebih kuat daripada kata-kata. Wahai pemimpin, memang benar desa kami telah mengalami pembangunan yang sangat hebat. Jalan rayanya lebar dan cantik dengan tali arus kenderaan yang tidak mengenal siang dan malam; bangunan dan perusahaan sungguh banyak didirikan; tetapi bukalah mata seluas-luasnya, tiadalah anak bangsa yang berniaga di kedai-kedai besar itu; mereka yang gigih masih di kedudukan sama - di gerai atau menjual pisang goreng dan air kelapa di tepi-tepi jalan.
******************************
Jadi tertolongkah seluruh bangsa atau sebilangan kecil kroni membesarkan tembolok dengan tergamak menjual dan mengadai tanah tak sekangkang kera anak bangsa dan negeri?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment