Monday, April 22, 2013

Kelip-kelip Kg Kuantan 'dengar' kebaikan wakil PAS...

********************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan ********************** Hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;“Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama).” ********************* Kemasyhuran kelip-kelip Kuala Selangor (lebih tepat lagi Kampung Kuantan) sudah diketahui penulis melalui pembacaan sejak puluhan tahun lalu. Walaupun berhajat menyaksikan dengan mata kepala sendiri fenomena kehebatan alam yang membuktikan betapa hebat dan agungnya Sang Pencipta, penulis tidak sampai di Kampung Kuantan sehinggalah beberapa hari lalu ketika gegak gempita pilihan raya menguasai suasana negara. ********************************** Dipendekkan cerita, maka naiklah penulis sekeluarga tiga beranak di atas sebuah perahu dengan seorang anak muda sebagai pendayung, menyusuri Sungai Selangor bagi menyaksikan keajaiban makhluk serangga ciptaan Illahi itu. Kembara di permukaan air sungai selepas solat jamak maghrib/isyak di Masjid Kampung Kuantan yang terletak bersebelahan 'taman kelip-kelip' sungguh mendamaikan, langit gelap tetapi sejumlah bintang dan anak bulan kelihatan. ************************* Kelip-kelip, ya apa yang penulis tahu tentang serangga yang juga dikenali sebagai kunang-kunang ini? Selain lagu Si Kunang-Kunang oleh Francissa Peter, lama dulu semasa menaiki kereta api mel malam dari selatan ke utara ketika penulis menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air, melalui tingkap terpandanglah satu dua 'cahaya' (kelip-kelip) berterbangan di pucuk-pucuk kayu; tetapi kali ini apabila penulis memandang ke langit memerhatikan pucuk-pucuk kayu, tidak kelihatan pun 'cahaya-cahaya' itu. ************************ Mana pula kelip-kelip Kuala Selangor ini, getus penulis. "Sana tu bang," tunjuk isteri penulis ke rumpunan pokok rendang. Pelik, kelip-kelip Kampung Kuantan ini bukanlah 'di atas' seperti agakan penulis tetapi berada di rimbunan pokok yang kemudian diberitahu oleh si anak muda pendayung sebagai pohon berembang. Kumpulan kelip-kelip itu 'mengelipkan' cahaya bagaikan serentak, senada; terpesona mata melihatkan pesta alam yang bagaikan 'pohon Krismas' itu. *************************** Ada muda pendayung membetulkan tanggapan penulis dengan berkata, kelip-kelip itu tidaklah mengerlipkan cahaya secara serentak tetapi oleh kerana terlalu banyaknya serangga itu, cahaya yang keluar dilihat sebagai serentak, senada. Hakikatnya ada serangga yang tidak mengerlipkan cahaya ketika 'rakan mereka' berbuat demikian. ************************** Suatu ketika sedang menikmati keindahan malam dihiasi cahaya kelip-kelip, kedengaran azan isyak berkumandang di udara, ooh, alangkah syahdunya suasana ketika kami berada di permukaan air Sungai Selangor itu. ************************* Demikianlah, dari sepokok ke sepokok perahu lintasi bagi membolehkan kami melihat secara dekat kelip-kelip. Ketika inilah kami berbual-bual pelbagai hal dengan si pendayung yang tanpa ditanya dan duga, beliau memuji wakil rakyat PAS yang katanya bekerja kuat di kawasan berkenaan. ************************* Saya pun berfikir siapa wakil rakyat yang dimaksudkan itu (sebelum Parlimen dibubarkan pada 3 April lalu) melainkan Dr Dzulkefly Ahmad (ahli Parlimen Kuala Selangor) kerana ketiga-tiga Adun dalam Parlimen Kuala Selangor bukannya daripada PAS. Mereka adalah Khalid Ibrahim (wakil rakyat Ijok yang juga MB Selangor) manakala Bukit Melawati wakil rakyatnya Muthiah Pillay daripada KeADILan dan wakil rakyat Jeram adalah Amiruddin Setro daripada Umno-BN. ************************ Jadi, sahlah yang berbuat baik itu Dr Dzul, tahniah Dr, jasa Dr dipuji oleh orang tidak dikenali dan tiada berkepentingan yang sudah pasti tidak mengharapkan apa-apa balasan pun. Apapun kelip-kelip Kampung Kuantan 'juga ada mendengar' pujian kepada Dr. ********************** Sehubungan itu didoakan Dr mencapai kemenangan gemilang pada PRU13 ini dan pastikan Dr tidak lupa berbakti dan berjasa termasuk kepada 'pemuda pendayung' dan rakannya dalam industri berkenaan serta 'kelip-kelip' Kuala Selangor!

No comments: